Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini
mencabar Pakatan Rakyat (PR) menubuhkan Kabinet bayangan sebelum
berangan-angan menubuhkan kerajaan sebenar dengan memenangi Pilihan Raya
Umum ke-13 (PRU13).
Katanya, sehingga kini janji PR mahu menubuhkan kerajaan bayangan masih
belum ditunaikan kerana takut mahu mengagih jawatan sesama sendiri.
"Jangan mahu tubuhkan kerajaan, tubuhkan dahulu Kabinet bayangan itu. Tetapi tidak ada kerana apa?
"Kerana takut mahu bagi jawatan apa kepada (Penasihat DAP) Lim Kit
Siang, (Presiden Pas, Datuk Seri) Haji Hadi (Awang) dan (Timbalan
Presiden Pas, Mohamed Sabu) Mat Sabu. Menteri Kewangan (atau)
Pendidikan?" katanya
ketika berucap merasmikan Persidangan Perwakilan Nasional 2012, pagi ini.
Najib juga berkata, PR sepatutnya mendaftar sebagai parti dan mempunyai
simbol yang sama tetapi mereka tidak berdaftar, malah tidak ada simbol
yang sama.
"Kita (Barisan Nasional) ada simbol yang sama. Semua calon kita
bertanding atas BN, komited ke atas BN dan jika berlaku perbezaan
pendapat, kita bincang dan hadapinya sebagai parti BN.
"Pembangkang ada imej bulan, roket dan mata. Imej roket itu kononnya
mahu bawa ke bulan dan bintang. Ada parti nampak mata, very funny
looking (rupa yang sangat kelakar)," kata beliau yang juga Pengerusi BN.
Beliau juga menyatakan bahawa pembangkang tidak mempunyai kredibiliti
untuk menguruskan sebuah kerajaan berikutan ketidaksefahaman, termasuk
dalam isu undang-undang hudud.
"Isu hudud, Pas kata kita tetap laksanakan, DAP kata No way! (Tidak
mungkin) dan Karpal Singh pula kata over my dead body (langkah mayat
saya).
"Mungkin Pas nak langkah mayat dia (Karpal). Mereka tidak ada kredibiliti untuk menguruskan sebuah kerajaan," katanya.
Katanya, pembangkang gagal menunaikan janji terhadap negeri Selangor
berikutan masih ada 75 peratus janji di negeri itu masih belum
ditunaikan.
"Pilihan raya akan datang merupakan pilihan raya yang meminta mandat
pada rakyat, akan ada banyak janji manis akan ditabur. Rakyat perlu
fikir.
"Pembangkang mempunyai tiga senjata iaitu kutuk, hasut dan janji.
Mula-mula kutuk kemudian mesti cucuk akhirnya, berjanji bulan dan
bintang malah galaksi," katanya.
Beliau juga menolak dakwaan mengatakan Bajet 2013 yang dibentang Jumaat lalu hanya bajet populis.
"Bajet itu bukan populis politik. Apabila kita bentang bajet, mereka
kata politikal gimik. Apa-apa yang kita buat mesti untuk rakyat, bajet
ini tentang rakyat.
"Jangan dodoikan rakyat dengan janji yang macam-macam," pesan Najib yang juga Menteri Kewangan.
Tambahnya, "mereka buat Bersih 2.0, kita buat BR1M 2.0."
Mengulas pemberian baucer buku kepada pelajar Institusi Pengajian Tinggi
Awam (IPTA), beliau menegaskan tujuan pemberian itu adalah kerana
kerajaan mahu mendidik golongan terlibat.
"Kita beri baucer buku kerana mahu mereka beli buku, baca buku, tambah
ilmu. Kita mesti ajar dan didik mereka. Bukan ajar hutang tak perlu
bayar.
"Mana ada hutang yang tak perlu bayar? Pinjaman PTPTN, mahu dimansuhkan.
Seseorang kena bayar. Siapa yang kena bayar? Kamu, rakyat kita melalui
cukai. Akan datang macam mana? Mereka yang sudah bayar akan tuntut duit
mereka," jelasnya.
No comments:
Post a Comment