Tuesday, October 30, 2012

AES: Jawapan Kepada “Bekas Setiausaha Sulit Idris Jala” (Bahagian 1)

aes



Oleh Ab Jalil Backer (jalil74@myjaring.net)

Setiausaha Sulit Kepada Menteri Datuk Seri Idris Jala (Menteri Pemandu), Muhammad Shaahidullah Shayaa, menulis artikel panjang lebar mempertahankan Sistem Penguatkuasaan Automatik atau Automated Enforcement System (AES). Artikel beliau boleh dibaca di sini.

Kita mengharapkan jawapan yang boleh menyenangkan hati rakyat, mendamaikan hati majoriti pemandu dan mententeramkan keadaan. 

 Sebaliknya, tulisan Muhammad Shaahidullah penuh kebongkakkan dan kebiadapan yang tidak mencerminkan sikap dan peri laku kerajaan yang menjulang slogan “Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan.” 

Pegawai ini juga tidak mengerti, memahami dan menghayati janji Perdana Menteri bahawa zaman kerajaan serba tahu sudah berakhir.

Tiga para pertama permulaan artikel bukan sahaja tidak mampu menyejukkan kemarahan ramai orang yang merasakan AES merompak mereka. Malahan ia umpama menjirus minyak ke atas api yang membara. Lihat tulisan beliau di empat para pertama:
Timbul pelbagai isu tentang Sistem Penguatkuasaan Automatik (AES) di dalam media sejak beberapa hari yang lepas, apabila ahli-ahli politik pembangkang memperbesarkan isu ini dan menjadikannya persis sebuah sarkas.

Kenapa kita begitu kuat mempertahankan pesalah-pesalah trafik? Bukankah kita menggunakan jalanraya setiap hari dan menyedari betapa tingkahlaku sesetengah pengguna-pengguna jalanraya adalah sangat menjengkelkan dan merbahaya?

Memandu melebihi had laju, melanggar lampu insyarat, memotong barisan, memotong di jalan garisan dua selari serta mereka yang memasuki jalan-jalan larangan pada waktu-waktu yang sibuk; ini semua adalah senario harian dalam pengalaman pemanduan kita semua.

Adakah kita ini semata-mata sebuah negara yang dipenuhi pengguna-pengguna jalanraya yang tidak bertimbangrasa sehinggakan kita harus menyuarakan ketidakpuasan hati kita kepada sebuah sistem baru yang boleh memastikan keselamatan jalanraya untuk kita semua?
Dalam empat para pertama ini beliau telah pun membuat andaian mereka yang membantah pelaksanaan AES ini sebagai pemandu yang cuai, biadap, tidak bertanggungjawab. Dengan kata lain setaraf “mat rempit” dan “samseng jalanan.” Apakah dengan tuduhan-tuduhan seperti ini boleh menyelesaikan masalah kemarahan rakyat kepada Kerajaan akibat AES?

Ramai rakyat tidak mempunyai masalah jika AES benar-benar mahu menangkap “samseng jalanan”, “mat rempit” dan mereka yang memandu secara merbahaya. Yang menimbulkan kemarahan rakyat ialah AES menangkap sesiapa sahaja yang memandu melebih had laju biar pun dalam keadaan laju yang reasonable

Kenyataan beliau bahawa AES merakam pelbagai kesalahan seperti dalam para 3 artikel tersebut adalah satu pembohongan, penipuan dan manipulasi fakta yang memberi gambaran salah kepada orang ramai. Sejak bila kerajaan melatih Setiausaha Sulit Menteri berbohong kepada rakyat?

AES hanya menangkap mereka yang memandu melebihi had laju dan melanggar lampu isyarat merah. Saya tidak mahu membahaskan isu melanggar lampu isyarat merah. Sungguhpun ia boleh dibahaskan namun ia tidak berguna apa-apa berbahas dengan otak mereka yang beku dan tepu. 

Mereka tidak memahami ketakutan pemandu apabila terpaksa berhenti di simpang lampu isyarat yang sunyi sepi di tengah malam bertemankan beberapa mat rempit di sebelah kiri dan kanannya. Ini kerana pembuat polisi ini mempunyai pemandu, pengawal peribadi dan pengikut yang sentiasa mengekori mereka.

Saya berminat sekali membicarakan isu had laju. Had laju di negara ini ditentukan oleh “jurutera-jurutera tidak berguna” yang memikirkan di mana tempat paling baik untuk melakukan saman ekor dan sekarang digunakan oleh AES. 

Terdapat corak yang jelas bahawa penentuan had laju di kawasan-kawasan tertentu sengaja direndahkan biarpun tidak mempunyai sebab fizikal jalan raya atau aliran trafik yang mewajarkan bagi pengurangan tersebut. Ambil contoh, Lebuh Raya Kuala Lumpur – Shah Alam (KESAS) yang mempunyai tiga lorong sehala tanpa banyak susur masuk dan keluar, had lajunya ialah 90KM/J. 

Had laju ini sama dengan beberapa Jalan Persekutuan yang hanya mempunyai satu lorong bagi setiap hala, tidak mempunyai pembahagi jalan dengan kenderaan dari arah bertentangan dan terdedah kepada kenderaan keluar masuk setiap masa. 

Kita dapati di Kesas inilah paling kerap diadakan perangkap had laju. Sekarang di pasang AES bermakna setiap masa terdapat perangkap had laju ini. 

Demikian juga di Lebuh Raya Utara Selatan berhampiran Kajang, dalam keadaan fizikal yang serupa, had laju kenderaan tiba-tiba sahaja ditukar daripada 110 KM/J kepada 90KM/J. Di situlah diletakkan kamera penguatkuasaan otomatik ini. Seolah-olah jika kita bawa lebih dari 90KM/J kita akan terbabit dalam kemalangan.

Tindakan meletakkan kamera ini di kawasan yang had laju berkurangan dari kebiasaan had laju lebuh raya adalah satu manifestasi jelas kerajaan mahu menambah pendapatan negara melalui kompaun kesalahan jalan raya. 

Boleh Setiausaha Sulit Menteri menerangkan mengapa terdapat lebuh raya atau jalan raya yang mempunyai dua atau tiga lorong sehala diletakkan had laju sekitar 70, 80 dan 90 KM/J yang setaraf dengan jalan persekutuan di kawasan luar bandar?

Pernahkan mereka yang menentukan had laju ini memandu sendiri dengan kelajuan tersebut di lebuh raya – lebuh raya terbabit? Di sesetengah tempat had laju lebuh raya dikurangkan sehingga 60 KM/J.

 Pernahkan mereka ini memandu dengan had laju bawah 60 KM/J terutama di Lebuh Raya Kuala Lumpur-Putrajaya atau di mana-mana lebuh raya 3 KM sebelum plaza tol?
Saya tidak menentang penentuan had laju, namunnya janganlah melampau-lampau dikurang seolah-olah disengajakan untuk tujuan menangkap mereka yang melebihi had laju.

Mengapa kemalangan maut tetap berlaku biar pun saman perangkap laju sentiasa diadakan. Jawapannya ialah “Tempat lain yang bernanah, tempat lain yang diubati.” 

Menurut bekas Pengarah Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya Malaysia (MIROS), Y. Bhg. Dato’ Ir. Dr. Radin Umar Radin Sohadi, dalam wawancara dengan Astro Awani baru-baru ini, jumlah kemalangan maut membabitkan isu kelajuan ialah sebanyak 25% daripada jumlah keseluruhan kemalangan maut di negara ini setiap tahun. Ini bermakna daripada lebih 6,000 kemalangan maut, hanya sekitar 1500 membabitkan isu kelajuan. 

Malangnya dalam 8 hari pertama AES diperkenalkan sebanyak 63,558 pesalah telah dirakamkan. Bayangkan jika setahun AES berfungsi berapa banyak yang akan ditangkap berbanding hanya 1500 kemalangan maut yang kita hadapi setiap tahun. Dan ini semua dianggap oleh Setiausa Sulit yang tidak lagi sulit sebagai orang yang tidak bertanggungjawab. 

Menurut Dr. Radin dalam wawancara yang sama, sistem ini bertujuan menangkap mereka yang benar-benar mengancam keselamatan jalan raya misalnya memandu melebihi had laju di selekoh berbahaya atau jalan tertentu yang telah dikenalpasti sebagai kawasan kemalangan maut akibat kelajuan. Namun hakikat ini tidak berlaku dalam AES yang dipasang sekarang. 

Justeru adalah sangat menyakitkan hati apabila AES merakamkan kesalahan kita di lebuh raya tiga lorong yang sunyi-sepi pada kelajuan 110 KM/J hanya kerana had laju tempat tersebut 90KM/J.

Apakah had laju yang ditetapkan oleh Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) telah telah dibuktikan secara saintifik sebagai titik kritikal dalam menentukan kemalangan di sesuatu kawasan? Saya fikir ia adalah merupakan satu hal yang sangat meragukan.

Saya akan mengulas bahagian lain dalam jawapan Setiausaha Sulit Menteri Pemandu ini pada siri kedua.

No comments:

Post a Comment

Blog Archive

Cili Api Bloggers

Politik N9

PRU13N9

Gerbang Tempur Puteri UMNO (Malaysia)

My Blog List 2

Popular Posts