Jutawan kosmetik Datuk Sosilawati Lawiya telah dibunuh
dengan cara dibaringkan dan ditikam di tengkuknya oleh tertuduh kedua,
T.Thilaiyalagan sambil disaksikan oleh tertuduh pertama, N. Pathmanabhan
pada 30 Ogos 2010.
Demikian antara persoalan yang dikemukakan oleh Timbalan Pendakwa Raya
Ishak Mohd Yusoff dalam soal balas terhadap Thilaiyalagan di Mahkamah
Tinggi di sini hari ini.
Seterusnya, Sosilawati telah menjerit dengan kuat dan meminta tolong
dan Pathmanabhan juga telah mengarahkan Thilaiyalagan supaya membunuh
jutawan itu di hadapannya kerana dia ingin menyaksikan sendiri kejadian
itu.
Sementara tiga lagi lelaki yang bersama Sosilawati, pegawai bank
Noorhisham Mohamad, peguam Ahmad Kamil Abdul Karim dan pemandu
Sosilawati, Kamaruddin Shamsuddin turut dibunuh dengan cara yang sama.
Kesemua itu merupakan cadangan yang diberikan oleh Ishak kepada
Thilaiyalagan, 21, semasa menyoal balas tertuduh kedua itu pada
perbicaraan di sini.
Bagaimanapun, semua cadangan itu dijawab 'tidak setuju' oleh
Thilaiyalagan yang diperintah membela diri bersama bekas peguam
Pathmanabhan, 43, serta pekerja ladang R.Matan, 22, dan R.Kathavarayan, 32, atas tuduhan
membunuh Sosilawati, 47, Noorhisham, 38, Ahmad Kamil, 32, dan
Kamaruddin, 44.
Mereka didakwa melakukan perbuatan itu di Ladang Gadong di Lot 2001,
Jalan Tanjong Layang, Tanjung Sepat di Banting antara 8.30 malam dan
9.45 malam pada 30 Ogos 2010.
Mereka didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman mati mandatori, jika sabit kesalahan.
Terdahulu, Ishak mencadangkan kepada Thilaiyalagan bahawa terdapat dua
kereta jenis BMW telah masuk ke Ladang Gadong antara pukul 5 dan 6
petang, 30 Ogos 2010, dan tertuduh menjawab tidak setuju.
"Saya cadangkan dalam kedua-dua kereta itu ada seorang wanita Melayu
dan tiga lelaki Melayu bersama Pathmanabhan," kata Ishak dan tertuduh
menjawab tidak setuju.
Thilaiyalagan juga tidak bersetuju dengan cadangan Ishak bahawa selepas
Sosilawati, Noorhisham, Ahmad Kamil dan Kamaruddin tiba di ladang,
tertuduh telah diarahkan oleh Pathmanabhan untuk menangkap dan mengikat
mereka.
"Awak telah arahkan Matan dan K.Sarawanan (saksi ke-59 pendakwaan)
untuk ambil diesel di ladang dan diserah kepada awak setelah bunuh
Sosilawati, Noorhisham, Ahmad Kamil dan Kamaruddin," cadang Ishak dan
tertuduh menjawab tidak setuju.
"Kemudian awak bersama Sarawanan telah angkat empat orang itu dan letak
atas longgokan kayu yang telah disusun terlebih dahulu," cadang Ishak
dan Thilaiyalagan menjawab tidak setuju.
"Selepas itu awak, Matan dan Sarawanan letak kayu atas badan mayat dan
telah curahkan minyak atas mayat seterusnya bakar semua mayat itu,"
cadang Ishak dan tertuduh menjawab tidak setuju.
"Zink juga telah digunakan sebagai lapik di tempat pembakaran itu," cadang Ishak dan Thilaiyalagan menjawab tidak setuju.
Tertuduh juga tidak bersetuju dengan cadangan Ishak bahawa pada 31 Ogos
2010 kira-kira pukul 8 pagi, dia dan Matan telah memungut sisa
pembakaran mayat dan memasukkannya ke dalam sebuah tong biru.
Ketika ditanya sama ada dia ada berbincang dengan tertuduh lain
mengenai pembelaannya di mahkamah, Thilaiyalagan menjawab: "Saya tidak
pernah bincang pembelaan saya bersama tertuduh lain."
"Saya cadangkan awak bersama-sama tiga tertuduh lain telah merancang
untuk membunuh Sosilawati, Noorhisham, Ahmad Kamil dan Kamaruddin sejak
29 Ogos 2010," kata Ishak dan tertuduh menjawab tidak setuju.
Perbicaraan di hadapan Hakim Datuk Akhtar Tahir bersambung pada 6 November ini. - Bernama
No comments:
Post a Comment