MELAYU MURTAD?


 (Apakah Gereja Sidang Jemaat ALLAH di tengah kota Jakarta saperti ini akan muncul di Tanah Melayu jika orang Melayu salah perhitungan dalam PRU13 nanti?)
Salam 2 all.
Kenyataan Nurul Izzah Binti Anwar Ibrahim bahawa hak kebebasan memilih agama sepatutnya tidak terhad kepada non-Muslim tetapi juga kepada orang Melayu yang beragama Islam memcetuskan kembali satu isu fundamental, iaitu adakah orang Melayu beragama Islam boleh murtad?
Teman berpendapat samada Izzah bercakap dalam keadaan jahil, ataupun sengaja cuba mencetuskan isu yang boleh membangkitkan kemarahan umat Islam bangsa Melayu khususnya. Dan teman berharap Izzah tidak membuat kenyataan itu sekadar untuk meraih undi non-Muslim, terutamanya daripada kalangan penganut Kristian!
Persoalannya mengapa Izzah memilih membuat kenyataan tersebut?
Teman juga mendesak Izzah mengesahkan samada benar lapuran yang menyatakan ucapan dan dialog tersebut dianjurkan oleh sebuah badan pemikir kristian iaitu Oriental Hearts & Mind Study Institute dan diadakan di premis Gereja Full Gospel Tabenacle, Subang Jaya, Selangor?
Apa yang jelas, majlis itu diberi lapuran terperinci oleh sebuah laman web kristian iaitu www.1christians.blogspot.com! Laman portal pro-Anwar iaitu www.malaysiakini.com juga telah menyiarkan lapuran mengenai majlis tersebut!
Kalau ini benar, teman berasa sangat kesal kesempatan untuk menyampaikan risalah Islam yang sebenar tidak digunakan sebaik mungkin. Dan teman mendesak pihak Jabatan Agama Islam Selangor menyiasat kesahihan lapuran tersebut dan mengambil tindakan yang perlu menurut lunas undang-undang sedia ada.
Berbalik kepada isu memberi kebebasan kepada orang Melayu untuk memilih agama, Izzah sepatutnya mengetahui impak dan kesan kepada pandangan beliau itu iaitu:
1. Pertama yang perlu kita faham ialah kewujudan bangsa Melayu dengan status Melayu adalah kerana agama Islam. Hubungan Melayu dan Islam sangat sinonim, sehinggakan peruntukkan Perlembagaan dibuat di Artikel 160 bahawa salah satu ciri Melayu, selain mengamal adat resam Melayu dan berbahasa Melayu, ialah dia mesti beragama Islam!
Seseorang tidak boleh mengaku dia Melayu melainkan dia seorang Islam. Islam dan Melayu tidak boleh dipisahkan!
Menyatakan orang Melayu boleh menukar agama selain Islam adalah sama kesannya dengan menghapuskan bangsa Melayu itu sendiri!
Dan jika pandangan Izzah itu mahu diterjemahkan, maka Artikel 160 (2) Perlembagaan Persekutuan wajib dipinda dengan menghapuskan ciri "Melayu itu wajib Islam". Adakah PAS bersetuju dengan pandangan ini? Dan adakah itu yang diingini oleh umat Islam bangsa Melayu dalam negara ini? Tepuk dada tanyalah iman yop!
2. Kedua, pandangan Izzah dalam isu ini adalah sama dengan agenda yang didalangi oleh Majlis Peguam dalam usaha mereka mencadangkan penubuhan Suruhanjaya Antara Agama, atau lebih dikenali sebagai IFC, dengan sokongan beberapa NGO lain.
Antara lain agenda penubuhan IFC ini ialah semua warganegara Malaysia termasuk bangsa Melayu beragama Islam wajar diberikan hak memilih agama masing-masing! Persoalannya ialah adakah Izzah menyedari kenyataan beliau itu sekadar menterjemahkan agenda IFC itu?
Kedua, apakah pendirian para ulama dan pimpinan PAS! Teman ingat lagi betapa PAS mengambil pendirian sangat tegas menentang cadangan IFC ini. Malah PAS telah mengadakan bantahan besar-besaran terhadap cubaan yang dianggap mengkhianati dan menghina Islam ini! Hinggakan ada pemimpin kanan PAS yang ditangkap polis dan dikenakan pertuduhan jenayah dan dihukum! Begitu pemimpin PAS bertegas, hingga ada yang mengisytihar 'perang jihad' terhadap penganjur IFC ni!
Jadi teman nak tanya pemimpin PAS; apakah pendirian mereka sekarang dengan kenyataan Izzah ini? Adakah mereka bersetuju? Bersetuju bermakna mereka mentongsampahkan perjuangan dahulu. Kalau tidak bersetuju, mereka wajib mendesak meminta penjelasan dan kata-putus adakah itu dasar pakatan pembangkang? Jika benar memang menjadi dasar dan agenda pembangkang mahu memberi kebebasan memilih agama kepada orang Melayu, maka PAS tidak ada pilihan melainkan bermufarakah dan memisahkan diri daripada pakatan songsang ini!
3. Selanjutnya, isu kebebasan beragama ini sebenarnya adalah agenda pejuang kebebasan Barat! Ini tercatat dalam Artikel 18 Deklarasi Hak Asasi Manusia Bangsa-Bangsa Bersatu dimana ia menyatakan "tiap-tiap individu berhak memilih agama masing-masing dan mengamalkannya, dan tertakluk kepada hak untuk menukar agama itu"!
Persoalannya, adakah Izzah berkongsi pendapat dengan pejuang kebebasan Barat ini? Adakah pimpinan PAS juga turut berkongsi pendapat yang sama?
4. Sebenarnya isu hak kebebasan memilih agama ini adalah juga agenda perjuangan yang dibawa oleh segelintir umat Islam yang menganut fahaman liberalisme dan pluralisma! Fahaman liberalisme dan puralisma adalah satu fahaman baru yang telah difatwakan sebagai sesat, yang membawa idea bahawa semua agama adalah sama!
Maknanya Islam sama dengan Kristian, Hindu sama dengan Budha, Sikh sama dengan Yahudi, Kristian sama dengan Hindu, Sikh sama Yahudi, Islam sama dengan Budha! Pendekkata, semua agama sama! Tidak ada yang lebih, dan tidak ada yang kurang!
Berdasarkan fahaman liberal dan pluralisma ini, adalah tidak menjadi kesalahan bagi orang Islam menukar agamanya kepada agama Hindu, Kristian, Budha, Sikh, Yahudi atau lain-lain; sebab semua agama sama!
Begitulah sesatnya fahaman ini. Malah ada pengamalnya mempunyai keluarga yang cacamerba. Suami Kristian, isteri Islam, anak Hindu! Malahan kepercayaan penganut fahaman liberalisme dan pluralisma ialah mana-mana agama yang mengaku ianya benar dan lebih baik daripada agama lain "tempatnya di neraka"!
Persoalannnya ialah adakah Izzah berkongsi pandangan dan bersetuju dengan fahaman penganut liberalisme dan pluralisma ini?
5. Selanjutnya, kenyataan Izzah ini sama dengan pendirian bapanya iaitu Anwar Ibrahim. Dalam kes Azlina Jailani, seorang wanita Melayu beragama Islam telah murtad dengan memeluk agama Kristian dan mengambil nama Lina Joy! Kes ini menjadi satu isu besar dan dibawa ke Mahkamah!
Anwar Ibrahim, dalam satu wawancara oleh media asing telah ditanya apa pandangan beliau tentang isu murtad Azlina Jailani! Jawapan Anwar, Azlina Jailani berhak memilih agamanya! Maknanya Azlina Jailani boleh murtad daripada Islam untuk memilih agama lain!
Jadi, apabila Izzah membuat kenyataan bahawa orang Melayu juga patut diberi hak memilih agamanya, tujuan dan maksudnya sama saperti kenyataan bapanya!
Persoalannya, adakah ini kes "bapak borek anak rintik"?
RUMUSAN
Persoalan yang lebih besar untuk rakyat Malaysia, khususnya umat Islam bangsa Melayu ialah apakah dasar pakatan DAP-PKR-PAS dalam isu hak orang Melayu beragama Islam untuk murtad?
Nurul Izzah bukan calang orang! Nurul Izzah adalah anak Anwar Ibrahim, Ketum PKR! Nurul Izzah adalah anak orang yang diwar-warkan untuk menjadi PM oleh pembangkang! Nurul Izzah adalah anak kepada Presiden PKR! Nurul Izzah adalah Naib Presiden PKR! Nurul Izzah adalah Ahli Parlimen PKR! Dan pandangan Nurul Izzah sama dengan pandangan bapanya yang dikompangkan sebagai calon bakal PM untuk pembangkang!
Dalam keadaan itu, kenyataan yang dibuat Nurul Izzah boleh ditafsirkan sebagai mewakili suara, hasrat, rancangan, agenda & dasar PKR dan pakatan pembangkang!
1. Persoalannya, adakah menjadi dasar pembangkang akan meminda Artikel 160 (2) Perlembagaan Persekutuan untuk membuang ciri-ciri Melayu tidak termasuk "wajib beragama Islam?" untuk membolehkan Melayu mendapat hak kebebasan memilih agama sendiri selain Islam?
2. Adakah pembangkang akan menggubal undang-undang untuk memberi kebebasan kepada orang Melayu beragama Islam untuk murtad dan memilih agamanya?
3. Adakah menjadi dasar pembangkang akan menerima desakan Majlis Peguam bersama beberapa NGO lain untuk menerima tuntutan penubuhan IFC untuk. memberi kebebasan agama dan murtad kepada orang Melayu beragama Islam!
4. Adakah menjadi dasar pakatan pembangkang menerima pakai dan akan melaksanakan Artikel 18 Deklarasi Hak Asasi Manusia yang menerima hak kebebasan memilih agama, dan membenarkan murtad?
5. Persoalannya ialah adakah pimpinan dan para ulama dan ustad PAS sebagai parti rakan sebantal sekatil pembangkang ini bersetuju dengan pandangan dan pendirian Nurul Izzah ini?
Jika mereka bersetuju, teman cadangkan supaya satu muktamar khas diadakan bagi membolehkan ahli akar umbi PAS dimaklumkan mengenainya, dan untuk mendapat persetujuan mereka kerana ini membabitkan satu isu dasar yang sangat besar; iaitu satu dasar yang akan sekaligus menghapuskan bangsa Melayu itu sendiri!
Kenyataan Nurul Izzah tersebut jelas bercanggah dengan status dan kedudukan orang Melayu yang sudah diterima umum sebagai beragama Islam. Malahan sudah dimaktubkan begitu rupa didalam Perlembagaan Persekutuan.
Malahan bangsa Melayu wajar berbangga dan bersyukor kerana ia satu-satunya bangsa didunia ini yang bukan sahaja kewujudannya dikait-rapat dengan agama Islam; malah ia merupakan satu-satunya bangsa yang ditakrif ciri-ciri bangsanya dengan agama Islam saperti yang tercatat dalam Artikel 160 (2) dalam Perlembagaan Persekutuan!
Mencadangkan bangsa Melayu wajar diberi kebebasan memilih agamanya selain Islam, boleh murtad dari agamanya Islam sama saperti cuba menghapuskan bangsa Melayu itu sendiri! 
Ianya satu penghinaan kepada bangsa Melayu, agama Islam dan Perlembagaan Persekutuan. Malah ianya mencabar aqidah bangsa Melayu secara langsung!
Pada teman, cadangan, pandangan dan pendirian Nurul Izzah ini adalah sangat merbahaya kepada keharmonian agama dan kaum! Sudah pasti ianya akan mencetuskan satu polemik yang bakal mengundang rasa tidak puas hati dan kemarahan orang Melayu beragama Islam.
Kepada umat Islam bangsa Melayu, teman berharap dan berdoa supaya bukalah mata! Sudah terlalu banyak isyarat, keterangan dan bukti yang telah ALLAH hantarkan untuk menyedarkan kita! Sudah banyak solat hajat dan doa kita minta supaya ALLAH tunjukkan kebenaran!
Dan ALLAH telah pun menunjukkan kebenaran itu dengan pelbagai bukti, keterangan dan isyarat!!
Janganlah jadi kaum yang disebut ALLAH sebagai PBB-Pekak, Bisu & Buta kepada kebenaran!
Wallahua'lam & Wassalam.
Adios amigos, grasias senor!
Zulkifli Bin Noordin
Isnin
20 Zulhijjah 1433
05 Nov 2012

No comments:

Post a Comment

Blog Archive

Share It

Cili Api Bloggers

Politik N9

PRU13N9

Gerbang Tempur Puteri UMNO (Malaysia)

My Blog List 2

Popular Posts