Thursday, October 18, 2012

AES: Menteri Pengangkutan Perlu Letak Jawatan

Tindakan kerajaan memperkenalkan Sistem Penguatkuasaan Automatik atau Automated Enforcement System (AES), ke atas kenderaan yang dipandu melebihi had laju, tanpa kajian dan penilaian yang teliti merupakan tindakan bodoh menjelang pilihan raya umum. 

Setelah lebih dua minggu diperkenalkan, AES telah menjadi satu bebanan politik kepada Barisan Nasional dan kerajaan. Rata-rata rakyat biasa melihat pelaksanaan AES adalah satu cara kerajaan menambah perbendaharaan negara bagi menampung perbelanjaan dan subsidi kerajaan yang meningkat dalam beberapa tahun kebelakangan ini. Kini ramai yang memomokkan penerima “Bantuan Rakyat 1 Malaysia (BRIM)” sebagai penerima wang saman AES.

Kementerian Pengangkutan mendakwa AES diperkenalkan bagi mendidik pengguna jalan raya untuk mematuhi had laju. Alasan mereka banyak kemalangan maut terhasil akibat kenderaan dipandu melebihi had laju yang ditetapkan.

Alasan ini bukan sahaja belum dibuktikan secara tuntas tetapi juga menampakkan sikap kerajaan cuba merendah-rendahkan pemikiran rakyat seolah-olah menerima sahaja apa yang disuapkan kepada mereka.
Untuk tujuan perbahasan, kita kena akui bahawa kelajuan yag melampau hingga menyebabkan kenderaan hilang kawalan boleh mendatangkan kemalangan yang dahsyat. Ini merupakan hukum fizik yang tidak lagi boleh disangkal. Di sinilah perlunya had laju, pemantauan dan penguatkuasaan undang-undang supaya kita boleh mengukur tahap kelajuan melampau pemandu.

Kita juga kena akui bahawa kelajuan yang berlebihan dalam jarak yang dekat dengan kenderaan lain akan menyebabkan kemalangan. Ini tidak pernah diambil perhatian oleh pihak yang mahu membuat polisi mengenai had laju. 

Justeru adalah sangat menyakitkan hati apabila kita disaman kerana memandu di lebuh raya tiga lorong yang sunyi-sepi pada kelajuan 110 KM/J hanya kerana had laju tempat tersebut 90KM/J.

Apakah had laju yang ditetapkan oleh Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) telah telah dibuktikan secara saintifik sebagai titik kritikal dalam menentukan kemalangan di sesuatu kawasan? Saya fikir ia adalah merupakan satu hal yang sangat meragukan. Tinjaun penulis secara umum mendapati terdapat had-had laju yang ditetapkan langsung tidak masuk akal bagi sesetengah kawasan. 

Saya tidak berniat untuk membincangkan siapa yang mendapat kontrak dan siapa yang mendapat untung dalam perniagaan ini. Lumrah dunia jika berniaga mesti mahu untung. Namun terdapat tiga isu utama yang jelas menunjukkan pemasangan AES bukanlah bertujuan mengatasi kemalangan jalan raya tetapi untuk mengutip saman.

Pertamanya, terdapat corak yang jelas bahawa penentuan had laju di kawasan-kawasan tertentu sengaja direndahkan biarpun tidak mempunyai sebab fizikal jalan raya atau aliran trafik yang mewajarkan bagi pengurangan tersebut. Ambil contoh, Lebuh Raya Kuala Lumpur – Shah Alam (KESAS) yang mempunyai tiga lorong sehala tanpa banyak susur masuk dan keluar, had lajunya ialah 90KM/J. 

Had laju ini sama dengan beberapa Jalan Persekutuan yang hanya mempunyai satu lorong bagi setiap hala, tidak mempunyai pembahagi jalan dengan kenderaan dari arah bertentangan dan terdedah kepada kenderaan keluar masuk setiap masa.

Kita dapati di Kesas inilah paling kerap diadakan perangkap had laju. Sekarang di pasang AES bermakna setiap masa terdapat perangkap had laju ini. 

Demikian juga di Lebuh Raya Utara Selatan berhampiran Kajang, dalam keadaan fizikal yang serupa, had laju kenderaan tiba-tiba sahaja ditukar daripada 110 KM/J kepada 90KM/J. Di situlah diletakkan kamera penguatkuasaan otomatik ini. Seolah-olah jika kita bawa lebih dari 90KM/J kita akan terbabit dalam kemalangan.

Tindakan meletakkan kamera ini di kawasan yang had laju berkurangan dari kebiasaan had laju lebuh raya adalah satu manifestasi jelas kerajaan mahu menambah pendapatan negara melalui kompaun kesalahan jalan raya.

Boleh JPJ terangkan kepada kita mengapa terdapat lebuh raya atau jalan raya yang mempunyai dua atau tiga lorong sehala diletakkan had laju sekitar 70, 80 dan 90 KM/J yang setaraf dengan jalan persekutuan di kawasan luar bandar?

Pernahkan mereka yang menentukan had laju ini memandu sendiri dengan kelajuan tersebut di lebuh raya – lebuh raya terbabit? Di sesetengah tempat had laju lebuh raya dikurangkan sehingga 60 KM/J. Pernahkan mereka ini memandu dengan had laju bawah 60 KM/J terutama di Lebuh Raya Kuala Lumpur-Putrajaya atau di mana-mana lebuh raya 3 KM sebelum plaza tol?

Saya tidak menentang penentuan had laju, namunnya janganlah melampau-lampau dikurang seolah-olah disengajakan untuk tujuan menangkap mereka yang melebihi had laju.
Hujahan pertama ini juga menjawab mengapa kemalangan maut tetap berlaku biar pun saman perangkap laju sentiasa diadakan. “Tempat lain yang bernanah, tempat lain yang diubati.” 

Keduanya, tindakan menetapkan jumlah kompaun saman yang sama tanpa mengambil kira kelajuan menunjukkan tembelang sebenar pembuat polisi kerajaan. Semua orang yang faham logik akan tahu bahawa memandu kenderaan dengan kelajuan 110 KM/J tidak sama bahayanya dengan mereka yang memandu kenderaan pada tahap 170 KM/J atau 200 KM/J. 

Namun kerajaan menetapkan jumlah saman yang sama kadarnya ke atas mereka yang melanggar had laju yang ditetapkan tanpa mengambil kira jumlah kelajuan tersebut.

Sebagai contoh dalam sistem saman AES, sebuah kereta dipandu 110KM/J pada laluan had laju 90KM/J akan menerima jumlah kompaun yang sama dengan mereka yang memandu 200 KM/J pada laluan yang sama. Maaf cakap, hanya orang bodoh sahaja beranggapan memandu 110 KM/J sama bahaya dengan memandu 200KM/J. Dan kumpulan manusia ini berada di kementerian Pengangkutan sekarang ini. 

Dengan kadar kompaun yang sama tanpa mengambil kira had laju kenderaan ia menunjukkan kerajaan hanya berminat mengutip kompaun saman bukannya mahu mendidik rakyat atau mencegah kemalangan. 

Bertambah jelas niat kerajaan apabila jumlah kompaun dikurangkan mengikut kecepatan orang yang disaman membayar saman. Sekiranya bayar dua minggu awal jumlahnya hanya RM 150. Jika bayar dua minggu lewat jumlahnya 200. Jika bayar selepas sebulan kompaun dikeluarkan jumlahnya RM 300. 

Apakah bahaya memandu laju bergantung kepada berapa cepat bayar kompaun?Jika bayar cepat, bahayanya kurang?

Jadi jika sesiapa ada wang banyak macam “bapak-bapak Menteri, bapak-bapak Usahawan” bolehlah memandu Ferrari mereka selaju mana yang mungkin. Bayaran kompaunnya lebih murah daripada “penulis cabuk” macam saya yang hanya terlebih 15 KM/j daripada had laju. Ini kerana RM 150 bagi mereka hanya kos makan tengah hari, berbanding saya yang perlu menunggu gaji hujung bulan untuk bayar kompaun yang ketika itu sudah menjadi RM 300.

Ketiga, mengapa AES banyak dipasang di lebuh raya-lebuh raya berbanding jalan Persekutuan? Kebanyakan kemalangan maut membabitkan penunggang motosikal dan juga pengguna jalan Persekutuan. 

Sebaliknya JPJ lebih berminat menangkap mereka yang menggunakan lebuh raya kerana di sinilah orang ramai lebih mudah melebihi had laju kerana jalan yang elok dan tiada kesesakan terutamanya waktu malam.

Jadi apakah kesimpulan yang dapat kita buat terhadap keadaan ini? Kerajaan hanya mahu kutip saman. Inilah persepsi rakyat biasa. Tidak penting berapa banyak kenyataan Menteri Pengangkutan, hakikatnya rakyat melihat dan mempercayai sebaliknya. 

Bolehkah Menteri Pengangkutan yang garang di kaca televisyen mempertahankan AES menjawab persoalan-persoalan ini?

Jika benar AES bertujuan mencegah kemalangan bukannya mengutip wang rakyat bagi menambah perbendaharaan negara, kerajaan melakukan empat perkara berikut:

Pertama, AES hendaklah dipasang di jalan-jalan Persekutuan yang banyak membabitkan banyak kemalangan maut akibat kelajuan melampau. Kamera-kamera AES di lebuh raya seperti Lebuh Raya Utara-Selatan, Kesas dan Lebuh Raya Putrajaya wajar dikaji semula dan sebahagiannya perlu pindahkan kerana ia jelas bertujuan mengutip kompaun bukannya mencegah kemalangan.

\Kedua, jumlah kompaun hendaklah berbeza mengikut tahap kelajuan. Makin laju kenderaan melepasi had laju maka jumlah kompaun perlu lebih tinggi. Melalui kaedah ini barulah kerajaan memberi isyarat yang jelas mengenai bahaya memandu dengan kelajuan melampau. Jika jumlah kompaun sama sahaja akan wujud persepsi alang-alang langgar had laju baik terus ke maksimum sahaja kerana kompaun tetap sama.

Ketiga, kaedah AES sekarang tidak akan memperlahankan kenderaan kerana konsep “alang telah terperangkap, baik terus bawa laju” akan diguna pakai. Apa guna memperlahankan kenderaan jika ia telah pun dirakam dan akan disaman.Jadi mana mungkin hasrat kerajaan bagi mengurangkan kemalangan akan tercapai.

Jika benar kerajaan mahu pemandu memperlahankan kenderaan bukannya mengutip kompaun, kamera AES hendaklah di pasang sebanyak dua biji bagi setiap titik perangkap had laju.
Kamera pertama hendaklah merupakan satu bentuk amaran yang mengeluarkan pancaran cahaya (flash) bagi setiap kenderaan yang melebihi had laju.

 Kamera kedua diletakkan sekitar lima kilometer daripada kamera pertama dan berfungsi sebagai perakam sebenar kesalahan melebihi had laju.
Dengan kaedah ini barulah menunjukkan kerajaan benar-benar mahu mengurangkan kemalangan jalan raya, bukannya mengutip kompaun. Ini memberi peluang pemandu memperlahankan kenderaan.

Keempat, kerajaan perlu menubuhkan satu suruhanjaya khas yang bertanggungjawab memantau pelaksanaan AES.

 Suruhanjaya seperti ini telah ditubuhkan di beberapa negara maju termasuk Australia. Ia akan bertanggungjawab menerima aduan orang ramai dan menentukan sama ada wajar atau tidak AES dipasang di satu-satu tempat. Ini bagi mengelakkan AES dijadikan alat untuk mengutip kompaun bukannya mencegah kemalangan.

Saya berharap kerajaan akan memberi perhatian kepada perkara ini sebelum ia menimbulkan sentimen kemarahan rakyat kepada kerajaan dan Barisan Nasional. Rakyat bukan tidak mahu mematuhi undang-undang, namun undang-undang yang dibuat, penguatkuasaan yang hendak dilaksanakan hendaklah masuk akal. Jangan nanti sudah terhantuk baru tergadah!

Elok pecat sahaja Menteri Pengangkutan yang cakap serupa orang bodoh di dalam televisyen dan hanya menambah kemarahan orang ramai.

*Sebahagian artikel ini tersiar dalam Sinar Harian 18 Oktober 2012"
.Oleh Ab Jalil Backer

3 comments:

  1. Percaya lah kalau bn kalah dlm pru13 ni aes la salah 1 penyebabnya...9/10 org yg aku jumpa semua tak setuju benda ni selagi tak dikaji betul..salah 1 highway yg gunakan had laju 60 km/j ialah duke..kalau kerajan tak kaji benda ni penyokong kerajaan sendiri akan berpaling tadah...apatah lagi yg atas pagar...kalau dinilai kat luar bandar mungkin banyak penyokong kerajaan..tapi ada tak sesiapa yg kaji dalam bandar..jgn lupa rakyat yg memilih...

    ReplyDelete
  2. Aku sokong menteri pengangkutn dan jpj harus dibubarkan dan perlu kajian terperinci kerana apa yg dilihat wujudnya mereka ni menjadikan rakyat lebih tertekan..rakyat sengsara di bumi sendiri...hutang keliling pinggang...byr cukai utk elaun menteri...byr saman utk nikmat anak bini diorang..halal bg yg berkuasa...haram bg rakyat yg dibawah..itulah natijahnya...

    ReplyDelete

Blog Archive

Cili Api Bloggers

Politik N9

PRU13N9

Gerbang Tempur Puteri UMNO (Malaysia)

My Blog List 2

Popular Posts