Tuesday, October 9, 2012

M. Nasir yang terlupa asal-usulnya ???

Meor Yusof Aziddin adalah Malaysian folk singer/songwritter yang telah menghasilkan 10 album indipenden sejak tahun 2000 sehingga 2011. Juga penulis untuk buku tentang kehidupan, "Sembang Tepi Jalan" dan "Syurga Yang Hilang." Memblog di www.pestajiwa.net. Berkerjaya sebagai "professional busker" di KL Sentral di bawah pengurusan KTMB sejak tahun 2010 sehingga ke hari ini.

Menatap kejayaan dan kegemilangan yang dicapai oleh seniman M. Nasir (Datuk) atau nama sebenarnya Mohamad Nasir Mohamad (lahir 4 Julai 1957) hari ini sebagai pengkarya tersohor tanahair sepintas lalu, banyak perkara dan persoalan yang bermain di benak saya walau saya percaya hidup ini hanyalah sekadar musim yang datang dan pergi.


Jika penyanyi-penyanyi pop atau personaliti hiburan terkenal menjadi duta untuk satu jenama produk coklat yang terkenal, saya agak memahami, cuma kalau M. Nasir yang dipilih dan menerimanya demi ringgit , bagi saya ianya agak janggal dan melucukan juga.

Jika dipilih menjadi duta untuk barangan yang melibatkan seni dan muzik, jadi duta untuk mikrofon, gitar atau apa sahaja yang melibatkan kesenian dan budaya contohnya, itu lebih bersesuaian dengan statusnya sebagai seorang seniman.

M. Nasir adalah seniman hebat kelahiran Singapura yang mencipta nama sebagai komposer, produser dan penyanyi di Singapura dan Malaysia sejak hujung tahun 70an lagi.

Jasanya dalam industri muzik tanahair juga telah mendapat pengiktirafan negara dengan menganugerahkan gelaran “Datuk” baru-baru ini.

Saya adalah salah seorang pendengar dan membesar dengan kumpulan Kembara dan lagu-lagu mereka sewaktu zaman sekolah di awal 80an dulu sejak kumpulan trio yang dianggotai oleh M. Nasir, A. Ali juga Shahlan itu muncul dengan album pertama mereka yang berjudul “Kembara” tahun 1982 dulu.

Jadi kalau M. Nasir dan Kembara ni saya bolehlah bandingkan beliau dengan folk singer-songwriter favourite saya seperti John Lennon, Harrison, Al Stewart, Cat Stevens, Iwan Fals, Ebiet, Harry Chapin, Sting, Chiharu Matsuyama (Jepun), Mike Oldfield, Albert Hammond antaranya.

Singer-songwriter adalah penyanyi yang menyanyikan lagu-lagu ciptaan mereka sendiri dan juga menulis cerita di dalam lagu-lagu mereka tentang cinta kepada alam, Tuhan, manusia dan sebagainya dalam bentuk yang mereka selesa dan faham.

Ada antara mereka berjaya dengan konsep pop folk seperti Cat Stevens dan Chiharu Matsuyama (folk singer songwriter terkenal Jepun yang muncul dengan single pertamanya pada tahun 1977 dan seterusnya menjadi penyanyi terkenal negaranya sehingga hari ini ).

Cita-cita saya juga sejak awal proses mencipta lagu tahun 1982 dulu memang untuk menjadi folk singer seperti M. Nasir. Ianya tercapai pada tahun 1993 apabila saya diterima sebagai artis rakaman Luncai Emas pada tahun berikutnya selepas sesi ujibakat bersama M. Nasir di studio rakamannya yang terletak di Sungai Buloh.

Berbangga kerana sebagai seorang folk singer juga songwriter saya rasa saya telah melepasi tahap kelayakan dan mendapat pengiktirafan dari seorang produser dan komposer yang terkenal dan dihormati di negara kita waktu itu.

Ianya satu kepuasan yang maksimum bagi saya waktu itu.

Juga saya berbangga mengenalinya sewaktu beliau masih kekal dengan “attitude”nya sebagai ikon yang punya ciri-ciri rebel dalam diri sehinggalah isu kontroversinya “Siapa Mahathir” pada tahun 1996 yang telah mengakibatkan lagu-lagunya digam RTM.

Selepas itu bermulalah era keseimbangan seorang seniman yang bernama M. Nasir yang beransur-ansur diproseskan dari seorang ikon yang rebel sehinggalah menjadi seperti beliau yang kita lihat hari ini.

Hari ini saya hanya melihat M. Nasir hanya sebagai seorang penghibur yang telah hilang “roots”nya tentang apa yang diperjuangkan melalui lagu-lagu juga melalui filem yang dibintanginya seperti “Kembara Seniman Jalanan” yang diarahkan oleh Nasir Jani. Apa yang beliau miliki hanyalah semalam.

Apabila ditanya tentang apa saja, jawapannya adalah jawapan yang semalam. Beliau hanya menyanyikan lagu yang semalam. Segalanya tentang kenangan dan nostalgia, tidak lebih dari itu.
Selain menjadi selebriti untuk program-progam hiburan yang melibatkan glamour, materi dan tersengih sambil berposing di depan kamera, tidak ada apa yang boleh dibanggakan tentang M. Nasir hari ini.

Album terbaru beliau, “Sang Pencinta” (2006) adalah pelengkap kegagalannya sebagai seorang pengkarya yang telah hilang sentuhannya.

Karya beliau hari ini juga ternyata tidak dapat menandingi karya-karyanya yang terdahulu walaupun beliau menang anugerah juara-lagu baru-baru ini.

Tidak ada lagi lagu-lagu tentang kehidupan dan perjuangan seperti “Kawan”, “Lindungilah Kami”, “Perjuangan”, “Hati Emas”, “Bas No. 13”, “Jalan Sehala”, “Ekspres Rakyat” dan banyak lagilah.
Sebagai seorang komposer dan penyanyi yang mendapat bayaran kutipan royalti antara yang tertinggi dari MACP saban tahun, juga kejayaan demi kejayaan dalam bentuk komersial dan materi, beliau rasanya tidak punya masalah dalam bab kewangan malah boleh dianggap jutawan juga.

Tapi itulah, kita lebih tahu untuk apa kita hidup ini sebenarnya. Jika kita anggap hidup ini hanya satu perjalanan, maknanya ianya perlulah ke arah yang lebih bermakna berbanding materi dan kegemilangan dan jika itulah tujuan untuk hidup kita di sini, untuk apa lagu “Tanya Sama itu Hud-Hud dicipta”?

Sekurang-kurangnya saya lebih menghormati ikon muzik folk Indonesia Iwan Fals yang masih kekal dengan jati diri, konsep dan perjuangannya di dalam lagu-lagu walau pun kehidupannya semakin redup dan penuh dengan elemen keseimbangan hari ini.

Muzik sebenarnya berperanan dalam banyak hal dan perkara yang penting di dunia ini selain hiburan. Ianya melangkaui garis politik sekalipun. Itu seperti yang dilakukan oleh John Lennon, Cat Steven, Bono (U2) dan Iwan Fals antaranya di atas pengaruh mereka sebagai Ikon yang di hormati.
Materi membentuk dan mampu mempermainkan minda kita untuk berlegar di ruang nafsu yang berlebihan walau dalam elemen apa yang kita bawa sekalipun. Nafsu ada di dalam ketuhanan, keagamaan, politik dan kehidupan. Kita juga sering memanipulasi ilmu yang kita miliki untuk kepentingan dunia dan materi.

Saya masih lagi mengharapkan karya-karya M. Nasir yang merakyat seperti dulu waktu beliau masih berbaju western kotak dan berkasut jenama Fung Keong yang itu bagi saya musim-musim terbaiknya sebagai seorang seniman berjiwa Marhaen, juga mampu mewakili golongan tersebut.

Seperti nyanyinya di dalam lagu:
Manakah teman-temanku?
Yang sama berjuang dahulu?
Hilang sudah, hilang sudah...
Kebendaan menggelapkan .
Lupa dengan perjuangan, lupa sudah ..

Siapa orang Kita — M. Nasir dari album “Lagu-lagu dari filem Kembara Seniman Jalanan” (1986).
* The views expressed here are the personal opinion of the columnist.

AKU PETIK DARI SINI

No comments:

Post a Comment

Blog Archive

Cili Api Bloggers

Politik N9

PRU13N9

Gerbang Tempur Puteri UMNO (Malaysia)

My Blog List 2

Popular Posts