Hiruk piruk seketika dunia maya dengan hamburan kemarahan
sesetengah pihak apabila Presiden MCA, Chua Soi Lek (CSL) menyatakan
sekiranya hasrat PAS mahu melaksanakan hukum hudud menjadi kenyataan
bakal menyebabkan kira-kira 1.2 juta orang kehilangan pekerjaan.
Kebanyakan reaksi balas dari pihak penyokong pro pembangkang, mereka
menyifatkan kenyataan CSL itu adalah satu penghinaan terhadap Islam dan
disebabkan itu UMNO perlu mengambil tanggungjawab di atas keterlanjuran
CSL itu.
Hakikatnya, bukan UMNO ataupun mana-mana pemimpinnya yang perlu
dipersalahkan berikutan kenyataan CSL yang sedikit bias itu, sebaliknya
Mursyidul Am PAS, Nik Aziz Nik Mat serta Presiden PAS, Hadi Awang yang
perlu mengambil tanggungjawab dan menanggung bebannya.
Seandainya para pembaca semua imbas semula pertikaian hukum hudud di
antara PAS dengan rakan sepakatannya DAP sejak sekian lama, Nik Aziz dan
Hadi Awang sebenarnya secara sedar atau sebaliknya, telah memberi
‘lesen’ untuk CSL berkata demikian mengikut pemahamannya.
Misalnya 12 Ogos 2009 yang lalu, Nik Aziz pernah mengeluarkan
kenyataan terbuka menganggap tentangan DAP terhadap Islam bukannya satu
kesalahan konon atas alasan DAP bukannya Islam.
“DAP kalau hina Islam pasal dia bukan Islam. Yang orang Islam tolak
Islam itu lebih menghina Islam,” demikian kata Nik Aziz kepada pemberita
di Kota Bharu semasa diminta mengulas tindak tanduk beberapa pemimpin
DAP yang seperti sengaja menghina Islam.
Reaksi selamba Nik Aziz itu sehingga kini tidak pernah dinafikan
olehnya, dan menariknya semenjak itu, segelintir pemimpin politik bukan
Islam kelihatan yakin dengan lampu hijau dari Mursyidul Am PAS itu,
sehinggakan kian ramai dari kalangan mereka khususnya dari DAP dengan
sewenang-wenangnya mempersendakan hukum hakam Islam.
Barangkali sudah ketentuan Illahi, ngam-ngam 3 tahun selepas Nik Aziz
memberi lampu hijau untuk DAP sesuka hati menghina Islam atas alasan
DAP bukan Islam, tanggal 12 Ogos 2012 yang baru sahaja dua bulan
berlalu, Presiden PAS, Hadi Awang pula telah mengeluarkan kenyataan
bahawa “DAP berhak untuk menolak hudud”.
Dalam kenyataan tersebut yang disiarkan oleh Sinar Harian itu, Hadi
berkata, penolakan DAP terhadap undang-undang Islam bukanlah sesuatu
yang menghairankan kerana Karpal Singh serta kebanyakan ahli DAP adalah
bukan Islam.
Namun apabila CSL selaku Presiden MCA pula mengeluarkan satu
kenyataan bias mengaitkan kesan buruk pada ekonomi negara sekiranya
hudud PAS dilaksanakan, kenapa pula para penyokong PAS tiba-tiba sahaja
melenting? Walhal, bukankah Nik Aziz & Hadi Awang sendiri sebelum
ini secara sedar telah menghalalkan tindakan DAP untuk menghina Islam.
Jika para pemimpin DAP dianggap tidak bersalah bilamana
mempertikaikan hukum hakam Islam sehingga berjaya memaksa PAS berlembut
dan mengalah sebagaimana terbukti dalam beberapa mesyuarat tertinggi PR
sebelum ini, maka usahlah menyalahkan CSL apabila beliau mengambil
kesempatan tersebut untuk lebih kritis terhadap hudud PAS.
No comments:
Post a Comment