Rahsia Bagaimana Suara Keadilan Beroperasi Terbongkar
SECARA
tiba-tiba nama Kelab Wartawan Muda Malaysia (KWMM) menjadi perhatian
kebelakangan ini. Boleh dikatakan hampir setiap hari pembongkaran demi
pembongkaran didedahkan oleh Presiden KWMM, DZULKARNAIN TAIB terutama
yang melibatkan isu kapal selam Scorpene.
Katanya,
tindakan yang dilakukan oleh Suaram disifatkan sebagai mengancam
keamanan negara dan sekali gus membenarkan pihak asing mencampuri urusan
Malaysia.
Kepada wartawan
Mingguan Malaysia, HAFIZAHRIL HAMID dan jurugambar IZHAM JAAFAR, bekas
Ketua Pengarang Suara Keadilan ini berkata, tindakan Suaram
terus-terusan memfitnah kerajaan dalam isu itu adalah jelas bermotifkan
politik.
Pengalaman
berkhidmat dengan Suara Keadilan menyedarkannya betapa etika
kewartawanan tidak diberi perhatian oleh organ parti pembangkang itu
sebaliknya hanya menjadi saluran propaganda dan fitnah yang efektif.
“Yang jelas
peranan mereka lebih kepada menyebar propaganda dan fitnah terhadap
kerajaan walaupun hakikatnya ia langsung tidak benar dan hanya mahu
memburukkan imej kerajaan di mata rakyat," kata Dzulkarnain.
MINGGUAN: Bagaimana sebenarnya pembangkang menggerakkan medium media mereka?
DZULKARNAIN: Sebenarnya
sebelum Pilihan Raya Umum 2008, pihak pembangkang telah aktif berkempen
melalui medium Internet terutamanya melalui blog dan sebagainya. Mereka
seolah-olah mendapat suatu tenaga baru melalui penggunaan media sosial
baru ini. Saya boleh katakan nisbah antara blogger pembangkang dan BN
adalah antara 15 ke 20 blogger propembangkang berbanding hanya satu di
pihak blogger pro-UMNO atau BN. Itu menjadi faktor bagaimana pihak
pembangkang begitu menguasai dunia maya. Terdapat pelbagai isu yang
ditimbulkan terutama yang menghentam kerajaan. Sama ada isu ditimbulkan
itu benar atau tidak, ia bukan menjadi ukuran dan keutamaan pembangkang.
Apa yang menjadi keutamaan dalam pemberitaan mereka?
DZULKARNAIN: Keutamaan
mereka adalah mendedahkan sebanyak mungkin isu yang boleh dipolitikkan
untuk menghentam kerajaan. Melalui cara ini mereka akan cuba mewujudkan
satu persepsi negatif kepada rakyat yang selama ini menyokong kuat BN.
Mereka telah melancarkan propaganda dan fitnah melalui laman-laman
sosial dan media baru. Saya mahu menjelaskan di sini bahawa taktik ini
masih diteruskan sehingga kini malah dengan lebih kerap. Sebenarnya
kebenaran bukanlah matlamat mereka kerana ia lebih sebagai propaganda.
Taktik ini jika kita lihat lebih kurang sama dengan apa yang dilakukan
oleh Menteri Propaganda Nazi, Joseph Groebbels, iaitu apabila
berkali-kali kita menyatakan sesuatu itu sebagai benar walaupun
hakikatnya ia satu penipuan, kerana minda dari sudut psikologi, apabila
diulang banyak kali akhirnya orang akan mempercayainya. Jadi itulah
strategi lama namun masih berkesan yang diamalkan oleh pihak pembangkang
sehingga kini.
Jika begitu, apakah strategi yang digunakan dalam memanipulasi berita dan fakta?
DZULKARNAIN: Saya
lihat pembohongan, fitnah dan character assasination adalah sebahagian
daripada strategi utama mereka. Kita boleh lihat sekarang ini dalam isu
Scorpene. Ia telah dijadikan satu isu yang besar dan membawanya ke
peringkat antarabangsa dan Mahkamah Perancis. Tidak cukup bagi mereka
melempar fitnah melalui ceramah dan medium media baru. Apa sebenarnya
agenda mereka kerana semua pertanyaan yang diluahkan mereka sudah
terjawab? Malah Ketua Audit Negara telah pun menjawab bahawa segala
urusan melibatkan Scorpene adalah mengikut prosedur dan perundangan.
Namun pihak pembangkang masih berterusan memfitnah kerajaan walaupun
jelas Mahkamah Perancis sudah menetapkan pendiriannya. Malah saya ada
terbaca baru-baru ini pihak pembangkang cuba menganjurkan satu jelajah
ke seluruh negara untuk mendedahkan isu Scorpene walaupun tidak ada isu
sebenarnya dalam hal ini.
Kenapa pihak ini begitu bersungguh-sungguh mahu menjadi plaintif dalam perbicaraan ini?
DZULKARNAIN: Sebab
itu KWMM membuat sidang akhbar membongkar status Suaram sebagai
plaintif. Sejak Mac lalu, pihak mahkamah Perancis telah menolak
permohonan Suaram untuk menjadi plaintif. Untuk menjadi plaintif mereka
perlu mempunyai kepentingan dalam urusan pembelian Scorpene. Oleh itu
jelas ini adalah usaha Suaram untuk menipu Mahkamah Perancis dan apabila
pihak mahkamah menyedarinya maka mereka menolak usaha ini. Sekarang ini
mereka tidak ada kena-mengena malah tidak boleh bersuara dalam isu
Scorpene.
Mereka cuba
pula untuk menjadi plaintif bersama namun mereka mahu bersekutu dengan
siapa? Kenapa Suaram begitu bersungguh-sungguh mahu menjadi plaintif?
Ini adalah sebab undang-undang Perancis berbeza yang mana apabila mereka
diterima menjadi plaintif, mereka akan diberi kebenaran ke atas kesemua
dokumen yang terlibat dalam urusan pembelian Scorpene. Maka apabila
mereka boleh mendapat kesemua maklumat itu maka mereka akan berterusan
memfitnah dan memutarbelitkan isu dan fakta mengenai perkara ini kepada
umum. Ini yang mereka mahukan sebenarnya dan kami mendedahkan bahawa
mereka bukan lagi plaintif dalam perbicaraan malah mereka hanyalah satu
pertubuhan haram yang tidak berdaftar.
Boleh ceritakan latar belakang saudara semasa berada di akhbar Suara Keadilan?
DZULKARNAIN: Apabila
saya ditawarkan menjadi Pengarang Bersekutu akhbar itu pada 2008 dan
kartunis Zunar ialah Ketua Pengarangnya, satu perkara yang saya sangat
terkejut adalah, saya diberitahu jika mahu bekerja di akhbar ini paling
penting adalah wajib percaya bahawa Datuk Seri Anwar Ibrahim tidak
terlibat dalam perlakuan liwat. Saya terdiam dan agak terkejut. Sebagai
orang media, saya ada perkiraan sendiri iaitu masuk ke akhbar ini kerana
ingin tahu bagaimana media pembangkang beroperasi dan apakah prinsip
kewartawanan yang mereka pegang. Kemudiannya Suara Keadilan telah
diambil alih oleh pengurusan baru dan saya dilantik sebagai Ketua
Pengarang. Saya cuba membawa prinsip-prinsip arus perdana dalam akhbar
itu supaya ia boleh menjadi satu wadah profesional dalam membuat laporan
berita. Jika pemberitaan kami lebih bertanggungjawab walaupun bersuara
pembangkang, mungkin kami akan lebih dihormati.
Saya
memegang jawatan itu selama setahun namun sepanjang saya memegang
jawatan itu, akhbar itu masih sah dari sudut perundangan kerana
permitnya sah. Yang pasti walaupun saya cuba membawa pembaharuan namun
mereka sebenarnya tidak memberi tumpuan kerana yang penting bagi mereka,
ia perlu menjadi satu saluran propaganda dan fitnah yang efektif untuk
mereka. Akibatnya akhbar itu banyak disaman. Jawapan kenapa saya
berhenti dan kemudian bertindak keluar PKR adalah kerana saman RM200
juta terhadap saya dan beberapa yang lain berhubung isu Felda bankrap.
Apabila saya melihat kembali peristiwa itu saya berpandangan adalah
tidak adil untuk memfitnah Felda yang telah begitu berjasa kepada orang
Melayu dalam usaha meningkatkan taraf hidup mereka.
Bagaimana boleh timbul masalah sehingga disaman?
DZULKARNAIN: Apabila
kita mahu mengatakan sesuatu perkara, kita juga perlu melihat
kemungkinan apakah kita juga ada kemungkinan bertindak salah dalam hal
itu. Saya berpandangan ketika itu adalah tidak betul untuk meletakkan
tajuk utama sebagai 'Felda bankrap' dan ia sebenarnya perlu diletakkan
tanda tanya di pengakhiran tajuk itu. Jadi mungkin ia sekadar kami
menimbulkan persoalan namun pihak atasan langsung tidak bersetuju dan
tetap dengan tajuk berkenaan. Saya sudah melihat kami akan disaman dan
ia benar-benar berlaku. Kita sedia maklum bahawa mereka mahu
mempopularkan akhbar mereka namun bukanlah senantiasa semua berita yang
dikeluarkan perlu disensasikan. Kita faham jika terdapat sesuatu berita
yang mahu disensasikan namun bukan semua apatah lagi berita dan artikel
yang dikeluarkan itu lebih kepada fitnah dan pembohongan.
Bagaimana hubungan Suara Keadilan dengan akhbar-akhbar parti lain seperti Harakah dan Roket?
DZULKARNAIN: Sepanjang
saya berada di Suara Keadilan, saya tidak nampak sebarang kerjasama
antara kesemua akhbar ini. Masing-masing hanya buat hal masing-masing
yang bertumpu kepada aliran pemikiran mereka sendiri. Oleh itu saya
berani menyatakan bahawa pakatan pembangkang ini tidak sekuat mana
kerana sesama media mereka pun tidak wujud persefahaman yang jelas.
Bagaimana mereka mahu menguruskan peranan media jika tiada persefahaman
sesama mereka. Yang jelas peranan mereka lebih kepada menyebar
propaganda dan fitnah terhadap kerajaan walaupun hakikatnya ia langsung
tidak benar dan hanya mahu memburukkan imej kerajaan di mata rakyat.
Bagaimana saudara melihat kritikan yang dilemparkan NUJ terhadap KWMM baru-baru ini?
DZULKARNAIN: Memang
mereka menyatakan bahawa kami ini dilihat seolah-olah menyebelahi
kerajaan. Namun bagi saya, apa salahnya. Apakah timbul masalah jika kami
menyokong kerajaan? Ada juga pihak NGO media yang tidak menyokong
kerajaan namun kami tidak merungut atau membuat sebarang aduan mengenai
mereka. Ini kerana kita perlu faham bahawa kita adalah pengamal media
maka kita perlu berlapang dada dan berfikiran terbuka untuk menerima
semua hujah dan fakta yang dikemukakan. Jika pihak NUJ mengatakan kami
berat sebelah maka saya cabar mereka supaya mengeluarkan hujah dan
komentar mengenai isu Scorpene. Ini mungkin boleh mengimbangi pandangan
saya mengenai isu ini dan saya mahu mereka berani ke depan. Mungkin
mereka melihat kami lebih kepada prokerajaan namun sebenarnya kami lebih
kepada pro-Malaysia. Kami tidak menyokong secara membabi buta namun
yang penting adalah keselamatan negara, bebas daripada campur tangan
asing dan pada masa, perpaduan dan keharmonian rakyat perlu menjadi
keutamaan. [SUMBER]
No comments:
Post a Comment