Tuesday, September 4, 2012

AKU yang pukul RBF bagi yang belum tahu cerita sebenar : inilah ceritanya

Tulisan ini agak panjang. Saya berharap rakan-rakan pembaca blog ini dapat membaca perlahan-lahan dari atas ke bawah mengikut turutan tanpa meninggalkan satu perenggan pun supaya anda jelas dengan apa yang saya ingin sampaikan.

 Apabila disebut perkataan seni ramai diantara kita akan ingat kepada hasil kerja tangan. Seperti seni lukis, seni hiasan, seni pertukangan, seni masakan dan juga beberapa seni lain. Perkataan seni juga mengingatkan kita kepada dunia hiburan. Tidak ramai diantara kita yang ingat atau sedar bahawa politik juga ada seni yang tersendiri. Persepsi, muslihat, propaganda dan tipu helah antara elemen yang ada dalam seni politik.

Tidak kira parti mana dan dinegara mana setiap parti ada cara tersendiri dan tertentu untuk mempengaruhi rakyat atau mengubah pendirian serta pemikiran rakyat agar menyokong parti mereka. Di Malaysia, parti pemerintah negara lebih kepada memilih pendekatan menjelaskan kepada rakyat apa kerja dan sumbangan dan jasa-jasa yang mereka lakukan dalam usaha membangunkan negara dan menolong rakyat. Pendekatan cara itu pun perlu, tetapi ianya tidak cukup kuat.

 Dalam politik setakat orang ramai suka atau sayang kepada kita tidak cukup untuk kita mendapat sokongan atau kemenangan. Kita perlu buat agar orang ramai suka dan sayang kepada kita, dalam masa yang sama mereka marah dan benci kepada pihak musuh. Itu pun belum cukup lagi. Elemen simpati juga diperlukan. Apabila elemen suka dan sayang bercampur dengan marah serta kebencian dan dicampur lagi dengan elemen simpati, ianya akan menghasilkan satu keputusan yang memuaskan.

 Di Malaysia ketiga-tiga elemen itu digunakan sebaik mungkin oleh pembangkang. Kekalahan yang sederhana teruk BN pada PRU 1999 juga disebabkan oleh tiga elemen tersebut. Sebagai seorang pemimpin yang pernah berada dalam kerajaan dan mempunyai jawatan serta kuasa yang besar sudah tentulah Anwar ada penyokong-penyokongnya yang tersendiri yang telah termakan budinya atau menyukainya kerana penampilannya serta tutur katanya yang menarik. Dan orang-orang ini semuanya ada perasaan suka dan sayang kepadanya.

Itu pasal Anwar naik dengan cepat dalam Umno sehingga tinggal satu tahap lagi untuk menjadi orang nombor satu negara. Apabila Anwar dipecat maka sudah tentulah penyokong-penyokongnya marah kepada Tun M dan juga kepada Umno. Anwar mengambil peluang tersebut untuk memburuk-burukkan Tun M serta Umno dan menyemai perasaan benci kepada pengikut-pengikutnya terhadap Tun M serta Umno . Perlu diingat pengikut Anwar bukannya kecil.

 Beliau seorang TPM dan Timbalan Presiden Umno sudah pastilah mempunyai pengikut yang ramai. Pengikut yang ramai tersebut pula menjadi ejen untuk menyemaikan perasaan benci kepada orang ramai melalui pelbagai pendekatan, termasuklah ceramah-ceramah. Sebaik sahaja Anwar ditangkap dan ditahan dibawah ISA sebelum ditahan dipenjara, Wan Azizah dan keluarganya pula memainkan peranan agar orang ramai terus membenci Tun M dan Umno. Wan Azizah dan keluarganya juga banyak bermain dengan sentimen kesedihan untuk menagih simpati orang ramai. 

Dengan penuh sedih dan sayu Wan Azizah duduk bersusun dengan anak-anaknya menceritakan bagaimana Anwar ditangkap. Kononnya polis datang tendang pintu rumah mereka bagaikan hendak menangkap penjenayah besar.

Dibawa dalam van bersama Azizah kemudian dipisahkan dalam perjalanan dengan Anwar dibawa menaiki kenderaan lain dan matanya ditutup. Dia ikut ke Bukit Aman dan dihalau balik serta tidak dibenarkan bertemu Anwar. Apa yang Azizah lakukan, dengan lakonan sedihnya itu membuatkan orang ramai menitiskan air mata yang akhirnya telah mengundang simpati kepadanya. 

Tidak cukup dengan itu, selang sehari dua selepas Anwar ditangkap Wan Azizah berkata pula kononnya Anwar disuntik dengan kuman HIV oleh pihak polis. Kemarahan orang ramai dan kebencian mereka kepada Tun M, Umno dan polis makin meningkat. Manakala simpati kepada Wan Azizah terus bertambah. 

Tidak lama selepas itu, tup...tup....muncul Anwar buat kali pertama di depan orang ramai selepas ditahan dengan matanya yang lebam di Mahkamah Petaling Jaya. 

Apa lagi ???

Segala kemarahan dan kebencian orang ramai terhadap Umno dan BN serta simpati kepada Wan Azizah dan keluarga diterjemahkan diatas kertas undi pada PRU ke 10 pada tahun 1999. BN mengalami kekalahan yang agak boleh tahan, tetapi tidaklah sampai hilang 2/3.

Tun M mengambil tanggungjawab atas keputusan PRU yang tidak berapa memihak kepada BN itu. Beliau berjaya membetulkan tanggapan dan persepsi masyarakat terhadap Umno dan kerajaan serta melawan apa sahaja isu yang dimainkan pembangkang. Selepas beberapa tahun Tun M berjaya. Penyokong-penyokong Umno atau BN kembali berani memakai baju Umno/BN atau menampal pelekat kereta. Setelah kepercayaan rakyat berjaya dipulihkan Tun melepaskan jawatan dan menyerahkannya kepada Pak Lah. Akhirnya keputusan PRU ke 11 pada tahun 2004 menyaksikan BN menang dengan selesa.

Sokongan besar rakyat berjaya diperolehi BN pada PRU 2004. Malangnya BN tidak menggunakan peluang tersebut untuk mengekalkan atau menambahkan lagi sokongan rakyat kepada mereka. BN buat perkara-perkara yang tidak disukai oleh rakyat. Keputusan-keputusan yang tidak logik, kenaikan harga petrol, janji tidak naikkan harga eletrik, kemudian dinaikkan dan perkara-perkara lain yang menyusahkan rakyat. Walaupun tewas dibeberapa kerusi dalam pilihanraya negeri Sarawak sebelum itu (2006) kerajaan seolah-olah tidak mempedulikan isyarat yang diberikan. Kerajaan terus dengan keputusan-keputusan atau tindak tanduk yang tidak popular dimata rakyat.

Seperti biasa, pembangkang hanya menunggu peluang untuk menyemaikan perasaan benci orang ramai terhadap kerajaan yang memerintah. Kebetulan Anwar berada di luar penjara dan dia memang pakar dalam hal untuk menyemaikan sentimen kebencian. Umno dan BN berjaya dibencikan dari segenap sudut. Dari kenaikan harga barang, amalkan rasuah hinggalah kepada perkara yang remeh temeh.

 Ditambah pula dengan cerita-cerita Anwar bagaimana dia 'dizalimi', ditangkap dan dipenjara. Akhirnya kita semua dapat saksikan bagaimana keputusan PRU ke 12 pada tahun 2008. Oleh yang demikian janganlah beranggapan sentimen orang suka atau orang kasih sayang kepada kita boleh menjamin kemenangan. Sentimen kebencian kepada musuh dan simpati juga diperlukan untuk memastikan kemenangan.

Seorang bekas pembantu peribadi Anwar Ibrahim, saudara Rahimi Osman, orang yang dipertanggungjawab untuk menjaga jadual kempen pilihanraya atau road show Anwar untuk PRU 2008, pengiraan yang beliau lakukan selepas keputusan pilihanraya mendapati 80 peratus kerusi yang Anwar turun padang dimenangi pembangkang termasuklah yang ditandingi Pas dan DAP.

Itu kehebatan seni politik Anwar Ibrahim yang kita semua kena akui. Hebatnya Anwar sampaikan video yang disahkan oleh pakar 99.9 peratus tulen pun beliau boleh pusingkan cerita itu fitnah yang dibuat oleh musuh. Lebih syok lagi apabila Dewan Ulama Pas adakan satu usul khas dalam muktamar mereka untuk mempertahankan Anwar Ibrahim dalam isu video tersebut. Itu ulama, orang yang alim, yang hafal quran dan sebagainya, pun Anwar boleh butakan hati mereka, apatah lagi kita yang bukan ulama. Saya bersyukur walaupun ilmu agama saya tidaklah sehebat ulama tetapi hati saya tidak buta untuk menyokong Anwar Ibrahim.

Menjelang PRU 13 akan datang, ramai orang berkata pilihanraya itu adalah ibu kepada segala pilihanraya. Pembangkang hanya perlukan selangkah lagi untuk lompat naik keatas. Manakala BN hanya ada selangkah sahaja lagi untuk jatuh ke bawah. Samada BN akan jatuh atau pembangkang yang berjaya lompat kita pun tak tahu. 

Dalam pilihanraya undi ahli Umno, ahli Pas, ahli PKR atau ahli mana-mana parti tidak cukup untuk mencatatkan kemenangan. Undi golongan yang tidak berparti atau pun dipanggil golongan atas pagar yang menentukan menang kalah satu-satu parti.

Dan golongan yang tidak berparti atau tidak berpolitik ini kebiasannya mereka tidak ambil peduli perkara-perkara politik melainkan ada isu besar atau isu kontrovesi yang membuatkan orang ramai bercakap dan menarik perhatian mereka untuk tahu. Satu lagi isu yang selalu orang bercakap. Apabila selalu orang bercakap lama kelamaan mereka juga akan tahu. 

Apabila Datuk Najib menjadi PM ramai orang bercakap beliau anak Tun Razak dan kebanyakan orang tua-tua tahu Tun Razak seorang yang baik. Di kampung-kampung orang bercakap tentang Najib orang bagus dan dari keturunan orang baik-baik. Sokongan orang ramai kepada Umno mula meningkat selepas Datuk Najib ambil alih negara.

Apabila menyedari perkara itu mereka tukar strategi pula dengan menyerang dan menimbulkan kebencian orang ramai terhadap isteri PM. Macam-macam cerita yang mereka cipta untuk menimbulkan kebencian orang terhadap isteri PM. Nama Rosmah dah jadi perkataan wajib atas pentas ceramah mereka. Apabila diulang-ulang bertahun-tahun , lama kelamaan akan jadi bualan orang termasuklah golongan yang tidak ambil tahu pasal politik. 

Berbalik kepada isu kontrovesi yang boleh menarik perhatian orang ramai termasuklah golongan tidak berparti atau berpolitik. Kontrovesi boleh wujud dengan pelbagai cara samada gembira atau sedih. 

Seperti yang saya katakan diatas, apabila Anwar ditangkap Wan Azizah menceritakan bagaimana 'kezaliman' polis menangkap Anwar. Kemudian Wan Azizah dakwa Anwar disuntik kuman HIV. Tidak cukup dengan itu, Wan Azizah kata lagi Anwar diberi racun arsenik hinggakan kalau genggam rambutnya maka rambutnya itu akan gugur. Semuanya itu melahirkan simpati orang ramai kepada mereka sekeluarga.

Terbukti apa yang dituduh oleh Wan Azizah itu tidak benar. Jika benar sudah lama Anwar mati atau terlantar sakit.

Menjelang PRU 13 yang akan menentukan samada Anwar akan sampai ke Putrajaya atau tidak, taktik-taktik diatas digunakan dengan begitu agresif oleh Anwar dan PKR untuk menarik perhatian orang ramai yang tidak ambil tahu pasal politik agar memberikan sokongan kepada mereka. 

Dengan nada sedih dan gaya lakonan tersendiri diatas pentas ceramah Anwar menceritakan bagaimana dia dan keluarga difitnah dan diaibkan oleh Umno melalui tuduhan liwat dan aksi bersama pelacur untuk memalukan dia. 

"Saya dan keluarga telah lama difitnah, diaibkan oleh Umno, tapi kami sabar dengan ujian ini". Kalau ada Wan Azizah bersama di pentas ceramah dia akan kata pula " tapi nasib baiklah saya ini ada isteri seperti Azizah yang tabah dan selalu pesan agar saya bersabar", dan Wan Azizah pula akan pamerkan senyuman macam kerang busuk untuk tagih simpati.

Kemudian muncul pula cerita-cerita kononnya ada cubaan untuk mengancam nyawanya seperti kenderaannya cuba disabotaj dengan merosakkan bahagian brek. Di sini

Lakonan kecederaan beliau semasa perhimpunan bersih 2 tahun lepas.

Pengawal peribadi Wan Azizah disuntik racun. Dikatakan cuba menyasarkan suntikan kepada Wan Azizah tetapi tersalah suntik pengawal peribadinya. Bodohnya tukang suntik. Lelaki dengan perempuan pun tertukar ke ? Lihat disini...

Tempohari dikatakan berlaku di Johor kereta Anwar dibaling telur dan dirosakkan. Bukannya saya tidak pernah mengikuti ceramah Anwar Ibrahim. Setiap kali Anwar turun padang untuk berceramah dia akan diiringi oleh pengawal-pengawal yang terdiri pencacai-pencacainya. Ada rakan saya memanggil mereka-mereka ini UTK Pekak. Ini kerana lagak dan gaya mereka mengalahkan UTK Polis. Punyalah ramai UTK Pekak mengelilingi Anwar dan ramainya penyokong PKR di tempat ceramah, tak mungkin mereka tidak dapat menangkap orang yang cuba mengkhianati Anwar ?

Terbaru yang berlaku di Kota Bharu dua hari lepas. Bas PKR disimbah cat merah dan dipecahkan cermin. 

PKR melabur wang yang banyak untuk mendapatkan bas tersebut bagi mengadakan siri jelajah mereka. Pelaburan yang besar tidak akan berbaloi jika hasil tidak memuaskan. PKR mahu semua orang bercakap dan tahu tentang kewujudan bas itu. Mereka mesti memastikan setiap siri jelajah yang menggunakan bas tersebut akan dipenuhi puluhan ribu orang. Mereka mahu idea kreatif mereka itu menarik perhatian dan menjadi bualan orang ramai dengan harapan akan diterjemahkan diatas kertas undi kelak. 

Untuk menjadi perhatian dan perbualan orang ramai ianya memerlukan kontrovesi. Dan untuk mencetuskan kontrovesi agar menjadi perhatian ramai maka berlakulah kejadian bas disimbah cat dan dipecahkan cermin. 

Setahu saya PKR amat berhati-hati dalam soal keselamatan. Jika ada sidang media yang dilakukan di pejabat mereka setiap wakil media atau orang awam yang ingin mengikuti sidang media tersebut akan diteliti satu persatu. Jika ada individu-individu yang meragukan mereka tidak benarkan masuk.

Dalam soal bas itu, mestilah PKR akan memasang pengawal untuk menjaganya atas faktor keselamatan. Tetapi semasa kejadian tidak ada pengawal yang menjaganya. Kemana hilangya semua UTK Pekak mereka ? Kenapa mereka tidak jaga bas ?

Apabila berlaku kejadian tersebut ianya mula menjadi perhatian orang ramai dan orang mula bercakap mengenainya. Akhirnya kontrovesi berjaya dicipta dan bas itu mula menjadi perhatian. 

Sinar Harian 3.Sept.2012
Seperti biasa musuh politik mereka dipersalahkan dan simpati akan datang kepada mereka termasuklah dari golongan yang tidak berparti. Dan dalam masa yang sama mereka berjaya wujudkan kebencian terhadap musuh politik mereka.

Secara logiknya mari kita berfikir

Perlukah musuh politik melakukan begitu kerana dengan lakukan begitu masyarakat akan membenci mereka dan sokongan kepada PKR akan meningkat ?

Jika musuh yang melakukannya, mengapa mereka hanya baling cat dan pecahkan cermin sahaja ? Kerosakkan yang boleh diperbaiki dengan kos yang tidak terlalu mahal. Bukankah baik jika mereka bakar sahaja bas tersebut ?

Musuh tidak perlu sayang untuk bakar bas tersebut kerana itu bukan harta mereka. Orang yang tak bakar maknanya dia sayang bas tersebut. Siapa lagi yang menyayangi bas tersebut jika bukan pemilik dan sekutu-sekutunya ?


Selain dari isu bas timbul juga cerita kononnya bilik hotel penginapan Anwar juga cuba diceroboh. Lihat di sini

Seperti biasa juga seperti kejadian yang lepas-lepas, Umno juga yang menjadi mangsa untuk dipersalahkan oleh penyokong-penyokong mereka. 

Dalam masa satu hari dua kejadian di Kota Bharu sudah boleh menimbulkan simpati dan seterusnya meningkatkan sokongan orang ramai kepada mereka, dan orang ramai membenci Umno. Itulah sebahagian dari seni politik.

Simpati dan benci adalah perkara yang paling mudah untuk kita dapat jika kita pandai. Apabila kita berjaya mewujudkan simpati terhadap kita dan mewujudkan benci terhadap musuh maka kita akan mendapat sokongan.

Saya tidak bercakap kosong. Saya ada melakukan eksperimen terhadap perkara ini. Dan tujuan saya lakukan eksperimen untuk memberi contoh dan membuktikan kepada anda. 

Sebelum saya jelaskan apa yang berlaku terlebih dahulu saya memohon maaf banyak-banyak kepada semua rakan-rakan pembaca dan rakan-rakan saya. Untuk lakukan perkara ini saya memikirkannya hampir 30 jam. Setelah hampir 30 jam pun masih belum dapat keputusan lagi. Saya perlu berfikir panjang kerana ianya melibatkan kepercayaan orang ramai terhadap saya. Perasaan takut terhadap rakan-rakan pembaca menyelubungi diri saya. Walaupun hubungan saya dengan anda sekadar antara seorang penulis blog dengan pembacanya dan tidak melibatkan apa-apa bayaran tetapi perasaan hormat serta takut kepada anda semua tetap ada.

Pendapat dan nasihat yang diberikan kawan-kawan bercampur-campur. Ada yang setuju dan ada yang tidak setuju. Itu yang membuatkan saya berfikir panjang. 

Setelah timbul cerita bas PKR disimbah cat merah dan dipecahkan cermin serta bilik hotel Anwar cuba diceroboh , saya dan Papa Gomo serta House PK dan beberapa rakan lain berbincang dan kami sudah menjangka Umno akan menjadi mangsa untuk disalahkan.

Perbincangan sesama kami melalui BBM group sudah boleh mengagak dua kejadian yang berlaku di Kota Bharu adalah sebahagian dari seni politik. Kami memikirkan bagaimana untuk menyampaikan mesej yang jelas kepada rakyat tentang perkara itu. Sampai bila kita nak biarkan Umno yang menjadi kambing hitam ?

Satu cadangan dikemukakan tetapi tidak semua yang setuju agar cadangan diadakan satu ekspirimen bagi meyampaikan mesej yang jelas kepada orang ramai.

Disaat saya masih lagi berfikir samada setuju atau tidak untuk melakukan eksperimen tersebut, tanpa saya ketahui tiba-tiba sahaja meletup cerita melalui mesej broadcast blackberry kononnya saya dipukul empat lelaki di Puchong. Saya sendiri pun agak terkejut.

Telefon saya dihujani panggilan dan sms bertalu-talu. Ada yang saya jawab dan ada yang tidak. Tiba-tiba sakit kepala dan pening. Sebab saya masih belum bersedia.  Saya mengambil keputusan untuk tidak lagi menjawab panggilan telefon dan sms. Begitu juga dengan BBM dan twitter. Ramai yang menghubungi untuk melahirkan rasa simpati. Ada yang tawarkan wang perubatan, dan ada yang tawarkan untuk mencari orang yang memukul saya. 

Akhirnya saya mengambil keputusan untuk meneruskan eksperimen kerana benda telah pun berlaku dan saya sedia menerima akibatnya. Itulah yang buat tulisan inipetang semalam.

Seingat saya dua hari sebelum itu saya memeriksa pengikut twitter saya @rbf_online sebanyak 769 pengikut. Tetapi selepas tersebar berita saya dipukul tak sampai 1 jam saya lihat pengikut saya telah mencecah kepada 800. Dan sehingga jam 5.00 petang tadi pengikut saya meningkat kepada 833. 

Maknanya berlaku pertambahan yang mendadak. Jika sebelum ini pengikut saya bertambah hanya 1 atau 2 sehari dan ada harinya tidak bertambah, tetapi semalam bertambah dengan mendadak sedangkan saya tidak melakukan apa-apa tweet semalam. Jika sebelum ini orang yang mengikuti mungkin boleh dikatakan pembaca blog ini , para kenalan, ahli keluarga atau orang yang ambil tahu pasal rbf online sahaja. Tetapi selepas berita saya dipukul orang yang selama ini yang tidak pernah ambil tahu atau ambil pusing pasal rbf online tiba-tiba sahaja mereka ambil berat dan ambil tahu serta menyokong saya dengan mengikuti twitter saya. Sebabnya mereka simpati kepada saya.

Sekiranya saya seorang penulis blog yang tidaklah berapa hebat boleh meningkatkan sokongan dan berjaya meraih simpati, apatah lagi seorang pemimpin besar seperti Anwar dan sebuah parti seperti PKR yang mempunyai dana yang besar. Sudah tentu ada pelbagai cara dan strategi yang boleh mereka lakukan untuk meningkatkan sokongan dan mendapat simpati rakyat. 

Melalui eksperimen ini kita dapat mesej jelas, sekiranya anda berjaya mendapat simpati maka sokongan kepada anda semakin meningkat. Bodohlah sekiranya Umno yang rosakkan bas PKR kerana ianya akan meningkatkan sokongan orang ramai kepada PKR. 

Jadi jangan terkejut sekiranya selepas ini muncul pula cerita kononnya rumah Anwar cuba dibakar, pejabat PKR dibaling bom atau sebagainya. Anda kena faham itu adalah sebahagian dari seni politik untuk menagih sokongan orang ramai.  

Akhir kalam saya mohon maaf dari hujung kaki sampai hujung rambut jika eksperimen yang dijalankan telah menyusahkan anda. Saya sedar dan saya tahu bahawa saya terpaksa membayar eksperimen ini dengan harga yang mahal kerana ianya melibatkan kepercayaan orang ramai terhadap saya. Tetapi tak mengapalah, saya redha jika kerana tujuan ini saya hilang kepercayaan anda. Inilah perjuangan.....ianya memerlukan pengorbanan. Semoga anda semua memaafkan saya.

Dipetik dari :Blog RBF.

No comments:

Post a Comment

Blog Archive

Cili Api Bloggers

Politik N9

PRU13N9

Gerbang Tempur Puteri UMNO (Malaysia)

My Blog List 2

Popular Posts