Sebagai seorang yang berorientasikan hasil dari sesuatu pekerjaan,
penulis biasanya tidak gemar menonton debat terutamanya apabila
tujuannya bukanlah untuk membandingkan idea, cara atau penyelesaian
terbaik untuk menangani sesuatu isu tetapi sekadar untuk memberi
publisiti kepada pendebat.
Bagi penulis, debat yang tujuannya adalah
untuk publisiti membuang masa dan tidak akan membawa ke mana kerana
sehabis debat, tiada apa yang berlaku melainkan orang ramai
bercakap-cakap mengenai pendebat dan bukannya penyelesaian.
Namun, penulis harus akui bahawa debat antara Presiden MCA, Chua Soi Lek
dengan Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng agak menarik juga.
Menarik,
di sini adalah dari segi pembentangan hujah mengenai isu yang ‘menambat’
masyarakat Cina di Malaysia akhir-akhir ini.
Diketahui bahawa faktor
‘kaum Cina’ merupakan faktor penting dalam menentukan keputusan
pilihanraya ke-13.
Oleh itu, isu yang menambat hati mereka, pastilah
menjadi isu penting untuk semua.
Selama ini, pihak pembangkang giat menanam dalam fikiran penyokong
mereka bahawa parti Barisan Nasional langsung tidak membela rakyat.
Seolah-olah selama ini, UMNO, MCA dan MIC tidak berbuat apa-apa dan
negara ini kekal aman, makmur dan maju secara semulajadi.
Seolah-olah keupayaan kaum Cina menguasai ekonomi negara ini adalah atas
usaha mereka sendiri tanpa UMNO terlibat dalam mendengar dan memberikan
mereka peluang dan tanpa MCA membela dan memperjuangkan hak mereka.
Dan sudah tentu sekali, hujah yang sedemikian dapat dipatahkan dengan
mudah oleh Datuk Seri Chua Soi Lek di dalam debat tersebut. Beliau
berjaya membentangkan hakikat bahawa jasa MCA dan BN terlalu banyak
kepada semua kaum.
Dan beliau berjaya menyatakan dengan tegas bahawa
sikap toleransi dan matang setiap parti dalam komponen BNlah yang
meletakkan Malaysia di mana ia berada hari ini.
Tiada satu pun dari semua fakta ini dapat dinafikan oleh Guan Eng dalam
debat tersebut, apatah lagi apabila beliau sendiri merupakan produk MCA.
Apa yang melucukan apabila Guan Eng cuba menggambarkan yang MCA adalah
rasis dengan hanya berjuang untuk kaum Cina dan kononnya DAP adalah
parti untuk semua kaum.
Sememangnya MCA ditubuhkan untuk memperjuangkan kaum Cina, sepertimana
UMNO untuk Melayu dan MIC untuk India.
Tugas MCA terhadap kaum Cina itu
telah termaktub dan untuk Guan Eng membangkitkan hal ini sebagai isu,
menjadikannya kelakar.
Namun, MCA seperti juga UMNO dan MIC walaupun ditubuhkan untuk dan
kerana kaum masing-masing, telah bersetuju dan sepakat untuk bekerjasama
di bawah BN.
Dengan ikatan kerjasama ini, masing-masing memahami dan
menerima tanggungjawab untuk menjaga sensitiviti, menghormati, bertolak
ansur, malah melakukan sedikit pengorbanan, jika perlu, demi kebaikan
semua pihak.
Berlainan dengan DAP, walaupun mendabik dada sebagai parti untuk semua
kaum tetapi majoriti ahlinya adalah dari satu kaum sahaja iaitu Cina dan
kepimpinan tertingginya didominasi oleh bukan sahaja dari kaum yang
sama, tetapi dari ‘clan’ yang sama juga.
Malah, DAP juga telah terbukti menindas dan menganaktirikan kaum lain
malah telah beberapa kali mencabar sensitiviti budaya dan agama yang
dianuti kaum lain seperti mempersoalkan azan dan tulisan jawi di papan
tanda jalan, sedangkan tulisan jawi bukan sahaja merupakan sebagai
simbol agama rasmi tetapi juga warisan sejarah masyarakat Melayu negara
ini.
Suatu ketika DAP telah dengan sengaja menunjuk biadab dengan enggan
memakai pakaian adat di dalam Dewan Rakyat serta mempersoalkan kedudukan
Raja-raja Melayu.
Andainya Raja-raja terdapat di kalangan kaum Cina,
kita pasti DAP tidak mungkin akan mempersoalkannya.
Tetapi, apa yang lebih penting dan paling menarik dalam debat antara dua
pemimpin kaum Cina ini ialah ia membolehkan kita menilai peribadi dan
sikap mereka secara langsung.
Peribadi dan sikap pemimpin adalah penting
bagi menentukan cara pemikiran dan pentadbiran mereka.
Guan Eng ternyata banyak membaca teks dan tidak mampu mengemukakan hujah
secara spontan.
Soi Lek pula tampil tenang dan matang dan tidak terlalu
bergantung kepada teks.
Cakap-cakap kedai kopi, malah ulasan di radio banyak memperkatakan
tentang sikap Guan Eng yang tidak menepati jawatannya sebagai pemimpin
negeri dan antara pemimpin tertinggi parti.
Guan Eng begitu beremosi,
dan tidak mampu mengawal dirinya sehinggakan debat tersebut akhirnya
menjadi satu ‘ceramah’ politik DAP.
Menurut satu komen, Guan Eng kelihatan bagai seorang politikus jalanan
atau ketua samseng yang hanya tahu mengejek dan memperkecilkan Soi Lek
seolah-olah mengumpan beliau bertumbuk dengannya.
Dalam semua isu, Guan
Eng gagal menyatakan hujahnya dengan baik, gagal mematahkan hujah Soi
Lek dengan baik serta gagal menonjolkan kredibiliti dirinya sebagai
pemimpin yang layak untuk menerajui sebuah negeri, sekali gus
membuktikan yang DAP tidak layak untuk menerajui sebuah negara.
Malah, Guan Eng sendiri tentu sudah dapat merasakan sendiri bahawa
dirinya sudah kalah apabila beliau gagal menjawab soalan dari panelis
iaitu, Datuk Seri Chor Chee Heung yang meminta penjelasan mengenai
‘janji-janji Buku Jingga’.
Soalan mudah tersebut dijawab Guan Eng dengan
gurauan dan menuduh Datuk Chor pastinya membaca Buku Jingga yang salah
sebelum melalut keluar topik menceritakan mengenai pencapaian
pentadbirannya di Pulau Pinang.
Kesimpulannya, DAP adalah sebuah parti yang sesuai untuk para kongsi
gelap dan samseng jalanan sahaja. Ia tidak sesuai untuk diletakkan
sebagai parti pemerintah.
Sebelum ini, beberapa blog pernah mendedahkan
bagaimana rupa surat rasmi yang ditulis oleh wakil-wakil DAP dalam
Bahasa Kebangsaan yang tunggang langgang bagaikan ditulis oleh tauke
jual sayur.
Pemimpin-pemimpin DAP juga telah beberapa kali menunjukkan
sikap tidak beradap dan tidak sesuai bagi majlis-majlis rasmi
seolah-olah tidak mendapat pendidikan dengan sempurna di rumah.
Dengan skandal terbaru Guan Eng yang terdedah dan slogan ‘Cekap, Amanah
dan Telus’ yang terbukti hanyalah retorik, bolehlah dikatakan yang bukan
sahaja Guan Eng yang kalah debat tetapi DAP secara keseluruhannya sudah
kalah dari segi isu, moral, kredibiliti dan segala-galanya.
No comments:
Post a Comment