Kepimpinan tertinggi UMNO digesa menamatkan 
segera perang psikologi di kalangan parti-parti komponen Barisan 
Nasional (BN) berhubung tuntutan-tuntutan tertentu membabitkan kontrak 
sosial antara kaum.
Wakil UMNO Negeri Sembilan, Datuk Jalaluddin Alias berkata, 
Presiden 
UMNO merupakan komander politik dalam BN yang mampu menyelesaikan 
pertikaian serta tuntutan membabitkan hak dan kepentingan orang Melayu 
seperti yang dipersetujui bersama dan termaktub dalam Perlembagaan 
negara.
Dalam masa sama katanya, pemimpin parti komponen lain seperti MCA, 
MIC, Parti Progresif Penduduk (PPP) serta yang lain perlu turut 
bersama-sama berusaha menamatkan perang psikologi itu atas dasar 
meningkatkan perpaduan antara kaum.
Kita mahu Presiden dan Timbalan Presiden selaku political commander 
(komander politik) dalam BN tamatkan serta-merta perang psikologi ini.
Kalau parti-parti komponen ini mahu buat juga (mempersoalkan kontrak
 sosial), kita boleh letak kuku terhadap mereka, katanya ketika 
membahaskan ucapan dasar Presiden pada Perhimpunan Agung UMNO Ke-61 di 
sini hari ini.
Jalaluddin yang juga Timbalan Ketua UMNO Bahagian Jelebu menyatakan 
bahawa perang sedemikian tidak membawa sebarang manfaat kepada perpaduan
 kaum.
Katanya, walaupun UMNO memerlukan sokongan parti-parti komponen untuk
 memenangi pilihan raya, ia bukan alasan untuk tidak menjaga hati orang 
Melayu.
Saya bercakap atas asas perpaduan seperti yang diminta Presiden 
UMNO, Datuk Seri Najib Tun Razak supaya menjaga hati semua kaum untuk 
kepentingan bangsa dan negara.
Tetapi, kita minta supaya parti komponen khususnya MCA supaya jaga 
hati Melayu. Memang betul kalau orang Cina tak sokong kita, kita tak 
boleh menang tapi kalau Melayu tak sokong, MCA lagi tak boleh menang, 
tegasnya.
Beliau turut menyelar kenyataan Presiden MCA, Datuk Seri Dr. Chua Soi
 Lek semalam bahawa soal kontrak sosial tidak harus dibincangkan secara 
terbuka termasuk di dalam Perhimpunan Agung UMNO.
Ini adalah perhimpunan Melayu yang memperjuangkan hak Melayu di 
tanah air, kita bercakap di dalam keluarga kita. Takkan dalam rumah saya
 tak boleh cakap dengan isteri, soalnya.
Dalam usaha memulihkan semula keyakinan rakyat kepada BN katanya, 
UMNO Negeri Sembilan menggariskan enam perkara bagi merealisasikan usaha
 tersebut.
Antara langkah itu katanya, ialah meningkatkan moral pemimpin, 
mewujudkan pendekatan ekonomi secara menyeluruh kepada pengundi daripada
 semua kaum serta memberikan tumpuan terhadap golongan muda dalam 
transformasi politik.
Wujudkan unit penyelidikan politik
 UMNO diminta mewujudkan satu unit penyelidikan
 politik untuk menjalankan kajian dari setiap aspek bagi mengukur 
sokongan sebenar pengundi terhadap kepimpinan parti itu dan Barisan 
Nasional (BN).
Wakil UMNO Negeri Sembilan, Datuk Jalaluddin Alias berkata, penubuhan
 unit itu penting bagi mengelakkan kekeliruan di kalangan rakyat kerana 
penyelidikan yang dilakukan oleh badan-badan tertentu sebelum ini 
dilihat tidak konsisten dari segi hasilnya.
"Tiga bulan dahulu, sebuah badan bebas, Merdeka Centre dalam 
kajiannya menyatakan sokongan rakyat terhadap kepimpinan negara 
meningkat kepada 71 peratus.
"Selepas itu, kajian sama dibuat oleh Universiti Islam Antarabangsa 
Malaysia (UIAM) pula mendapati sokongan rakyat pada kadar 55 peratus. 
Peratusan ini menurun daripada kajian yang dilakukan oleh organisasi 
lain sebelum ini.
"Hasil kajian itu boleh mengelirukan rakyat. Maka wajar diwujudkan 
satu unit penyelidikan politik yang khusus dalam mengkaji setiap aspek 
politik di negara ini," katanya. 
 

 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
No comments:
Post a Comment