Peng Shuilin dilahirkan sempurna 
di Hunan, mendewasa sebagai lelaki segak dan sasa, dan merantau mencari rezeki 
ke bandar Shenzen, Guandong pada tahun 1995. Namun jasadnya hilang separuh 
setelah ditimpa kemalangan jalan raya dalam perjalanan ke tempat kerja di bandar 
itu pada 9 Mac 2004. Kemalangan tersebut melantarkan Shuilin di Hospital Bujie, 
Shenzen selama dua tahun dan semua anggotanya dari pinggang ke bawah telah 
dipotong.
Berpantang maut sebelum ajal. 
Selain membuang semua anggota yang remuk, para doktor juga telah melakukan 
beberapa siri pembedahan untuk merawat dan menyusun atur organ-organ dalaman 
Shuilin supaya sistem pernafasan, penghadaman, dan perkumuhan beliau terus 
berfungsi dengan sempurna. Shuilin pulih walaupun jasadnya tinggal dua hasta. 
Malah beliau disahkan lebih cergas daripada lelaki yang sebaya 
dengannya.
Kecekalan Shuilin untuk hidup 
dan mengharungi kehidupan bermaruah tanpa menagih ehsan orang lain telah 
merangsang pakar-pakar di Hospital Bujie dan Pusat Penyelidikan Rehabilitasi 
China, Beijing memikir dan merencana tindakan bagi mengupayakan semula anak muda 
ini sebagai warga yang produktif. 
Kekuatan dua bahu, lengan dan 
tangan Shuilin dipugar dan diperteguh. Sepasang kaki bionik direka cipta dan 
Shuilin dengan sabar bertatih menjadikan kerangka logam itu sebagai kaki 
barunya. 
Kekentalan semangat dan kekuatan 
mental Shuilin berupaya menjinakkan kaki bionik yang tidak bersaraf itu untuk 
tunduk pasrah membawa Shuilin ke mana-mana yang 
diingininya.
Bagai benih lalang yang bercambah di celah rekahan 
kerikil setelah disiram air dan disimbah cahaya, akarnya pantas menerobos ke 
dalam bumi, pucuknya deras menjulang langit, demikian juga Shuilin. Tegak 
berdiri, sasa melangkah.
Jasad Peng Shuilin hanya separuh 
daripada manusia biasa yang sempurna, namun jiwanya mantap dan keazamannya mapan. Beliau 
bukan sahaja mampu ke sana-sini memberikan kuliah motivasi kepada insan yang 
mahu bangkit dari kecacatan anggota akibat kemalangan, malah berjaya pula 
menjadi usahawan dagang. Peng Shuilin telah membuka pasar rayanya sendiri, Half 
Man-Half Price Store. 
Patah sayap bertongkat paruh, 
patah paruh bertelekan, patah tongkat berjermang. Itulah Peng Shuilin.
 







 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
No comments:
Post a Comment