Thursday, December 20, 2012

Lagi Perkembangan Terbaru Pergaduhan Berdarah Di Sg. Petani

ALOR STAR, 20 Dis – Polis Kedah menahan 36 orang yang dipercayai terlibat dalam insiden pergaduhan di Sungai Petani bagi membantu siasatan, kata Ketua Polis Kedah Datuk Ahmad Ibrahim ( gambar ).

Katanya semua tahanan yang berumur antara 18 hingga 30-an itu kini ditahan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Muda, di Sungai Petani.

Beliau berkata tangkapan terakhir dibuat pada 4.30 pagi tadi di sekitar Sungai Petani dan akan menahan beberapa lagi suspek berdasarkan maklumat yang diperoleh menerusi soal siasat ke atas tahanan.

“Kita tangkap semua yang terlibat. Polis tak akan berkompromi dengan sesiapa yang melakukan provokasi sehingga mencetuskan keadaan hura-hara,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kedah di sini hari ini.

Mengenai pihak yang menyebarkan maklumat palsu menerusi media sosial, blog dan khidmat pesanan ringkas (SMS) bahawa berlakunya rusuhan di daerah Kuala Muda terutama Sungai Petani, Ahmad berkata Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) negeri akan menyiasat dan mengambil tindakan ke atas pihak yang menyebarkan maklumat yang tidak benar berkaitan situasi di daerah berkenaan.

Katanya, polis turut mengambil tindakan terhadap mereka yang bertanggungjawab menyebar maklumat palsu dan mencetuskan keadaan yang kurang menyenangkan.

Ahmad berkata semalam pihaknya mengadakan pertemuan dengan ketua-ketua agama, pemimpin politik dan wakil rakyat daerah Kuala Muda di IPD Kuala Muda bagi menerangkan situasi sebenar supaya mereka boleh menyampaikan maklumat yang betul kepada masyarakat setempat.

Katanya, apa yang berlaku hanyalah pergaduhan kecil antara kumpulan anak muda dan bukannya rusuhan seperti yang digambarkan dalam blog dan media sosial.

Beliau juga menegaskan kepada golongan muda agar tidak melakukan sesuatu yang melanggar undang-undang kerana perkara tersebut membabitkan soal keselamatan.

“Kita mampu untuk tenteramkan keadaan tersebut jika masyarakat memberi kerjasama untuk mengharmonikan situasi ini. Kita juga sebarkan maklumat tepat dalam laman sosial Facebook kepada masyarakat dan kita tak sembunyikan apa-apa fakta,” katanya.


Ahmad turut memberi amaran keras kepada penyebar maklumat palsu agar segera menghentikan perbuatan itu kerana katanya maklumat yang berbentuk provokasi dan sensasi berupaya untuk mencetuskan masalah perkauman sekali gus mengugat ketenteraman awam.

Katanya dakwaan kematian akibat pergaduhan antara kaum juga tidak wujud seperti yang digambarkan dalam berita di laman sosial dan pihak polis kini giat melakukan kawalan di daerah itu.

“Saya dah pantau keadaan di Sungai Petani dan saya lihat keadaan normal, masyarakat melakukan aktiviti harian dan kedai buka macam biasa. Tak ada kuil atau rumah ibadah lain terbakar seperti yang dilapor oleh blogger,” kata Ahmad. ~ Bernama

No comments:

Post a Comment

Blog Archive

Cili Api Bloggers

Politik N9

PRU13N9

Gerbang Tempur Puteri UMNO (Malaysia)

My Blog List 2

Popular Posts