UCAPAN
DASAR PRESIDEN UMNO
YAB
DATO’ SRI MOHD NAJIB BIN TUN HAJI ABDUL RAZAK
SEMPENA
PERHIMPUNAN AGUNG UMNO KALI KE-63 TAHUN 2012
PADA
29 NOVEMBER 2012 (KHAMIS) 9.30 PAGI
BERTEMPAT
DI DEWAN MERDEKA PWTC, KUALA LUMPUR
---------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------
KEPIMPINAN
TRANSFORMATIF MENUJU WAWASAN NASIONAL
Bismillahirrahmanirrahim
Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh
Yang Berbahagia Pengerusi Tetap,
Yang Berhormat Timbalan Pengerusi Tetap,
Yang Amat Berhormat Timbalan Presiden &
Puan Sri Norainee Abdul Rahman,
Yang Berhormat Naib Presiden-Naib Presiden
Ketua-Ketua Pergerakan Wanita, Pemuda dan
Puteri,
Ahli-Ahli Majlis Tertinggi,
Yang Amat Berbahagia Tun Dr. Mahathir Mohamad
& Tun Dr. Siti Hasmah,
Yang Amat Berbahagia Tun Abdullah Ahmad
Badawi,
Ketua-Ketua Parti Komponen Barisan Nasional,
Dif-dif Kehormat,
Para Perwakilan, Pemerhati, Tuan-Tuan dan
Puan-Puan yang saya hormati sekalian.
MUKADDIMAH
Saudara dan Saudari sekalian,
1.
Alhamdulillah
dibalut rasa tawaduk dan rasa rendah diri, sekali lagi kita berhimpun untuk
menunaikan tanggungjawab lazim sebagai sebuah organisasi bagi mengadakan mesyuarat
agung tahunan parti tercinta yakni Pertubuhan Kebangsaan Melayu Bersatu atau
UMNO.
2.
Sesungguhnya
perhimpunan sebegini bukanlah semata-mata acara ritual dalam memenuhi tuntutan taqwim
organisasi. Sebaliknya, ia satu iltizam terbaik melaksanakan proses muhasabah
dan islah demi memperbetulkan kelemahan, memperkejab jentera parti, membugarkan
halatuju pertubuhan, seterusnya mempastikan kelangsungan jemaah.
Saudara dan saudari,
3.
Seperti
semua maklum, ini merupakan perhimpunan agung terakhir sebelum Pilihanraya Umum
yang ke-13. Jadinya, Dewan Rakyat, menurut Perlembagaan, kalau pun tidak
dibubar oleh Yang di-Pertuan Agong berdasarkan nasihat Perdana Menteri, ia akan
terusai juga dengan sendirinya, tanggal 28 April 2013.
4.
Oleh
itu, setiap seorang daripada kita, tidak kira saudara dan saudari yang berada
di bawah, tuan-tuan dan puan-puan yang memenuhi ruang di atas, apatah lagi para
pimpinan di sini, dan pastinya, sekian ramai ahli UMNO di mana sahaja, hatta yang
tidak bernama, walau yang tidak berjawatan, waima yang tidak berkedudukan, sekalipun
yang tidak pernah menjejakkan kaki ke dewan bertuah ini, saya percaya semuanya sedang
berasakan betapa kencang tiupan ke medan juang.
Saudara dan saudari,
5.
Jelas sekali
terasa, parti kita telah semakin pulih semangatnya. Kita yakin bahawa, jentera
parti pula, daripada peringkat cawangan, bahagian, perhubungan sehinggalah ke
peringkat Kebangsaan telah pun bersedia untuk menghadapi pilihanraya umum yang
bakal diadakan.
6.
Kini, semboyan
sedang berkumandang, genderang makin bergema. Masanya sampai, menyusun langkah,
tempohnya matang, memperkemas pasukan, detiknya tiba, mempasak kuda-kuda. Dengan
mendokong peranan masing-masing, ayuhlah, kita kembali kepada rakyat, demi memperbaharui
mandat.
7.
Serentak
itu, saudara dan saudari, marilah kita mengangkat sebanyak-banyak doa, bahawa dengan
izin Allah jua, apabila kita bertemu pada tahun hadapan di Dewan Merdeka ini, Insya-Allah,
kita akan berhimpun semula dengan sokongan kukuh sebagai parti pemerintah,
untuk mengurus kepentingan negara, memakmurkan ekonomi dan mensejahtera rakyat bagi
tempoh lima tahun akan datang.
8.
Malah, lebih
jauh dari itu, moga-moga dengan izin yang Maha Berkuasa juga, kita akan kekal menjadi
parti pemerintah yang akan menjulang darjat Malaysia, sebagai negara maju apabila
menyinsingnya subuh 2020 kelak.
Saudara dan saudari,
9.
Namun
begitu, dalam pada kita sedang memupuk semangat juang yang marak dan membara ini,
janganlah alpa pada kisah-kisah lalu. Beringatlah, Pilihanraya Umum ke- 12 pada
Mac 2008 merupakan pengalaman yang sungguh pahit, sungguh kelat, dalam episod politik UMNO dan Barisan
Nasional.
10.
Sehubungan
itu pada hemah saya, ombak serta rintangan yang membadai, selama bertahun-tahun
ini, sewajarnya, telah benar-benar menghimpunkan bibit-bibit kesedaran di
sanubari semua.
11.
Seharusnya
lagi, bagi sebuah parti politik yang menunjang Kerajaan Persekutuan lebih separuh
abad lalu, episod tersebut, sepatutnya memahatkan iktibar kepada kita semua. Malah
ia merupakan isyarat jelas rakyat Malaysia kepada UMNO dan rakan-rakan dalam
Barisan Nasional untuk berubah, sesuai dengan selera, aspirasi dan jangkaan
rakyat.
12.
Apa
yang pasti, kita tidak boleh banyak berbicara dan bertangguh-tangguh lagi. Kita
perlu memperhebatkan tindakan dan menggandakan usaha. Hanya sanya, melalui cara
itu sajalah parti UMNO akan terus diperhati, sentiasa diperhitung dan selamanya
dipeduli oleh rakyat.
13.
Justeru,
dalam tempoh kurang empat tahun semenjak saya dan rakan-rakan diamanahkan
kepimpinan parti dan kerajaan, kita telah tidak jemu-jemu bekerja keras untuk
memenuhi kehendak dan keperluan rakyat teramai.
14.
Sekalipun
dihadap dengan pelbagai kesulitan dan cabaran, kita cekal berusaha untuk
memulihkan kepercayaan, memulihkan keyakinan serta memulihkan sokongan rakyat
kepada parti dan Kerajaan.
15.
Sesungguhnya
juga, apa yang diupayakan beberapa waktu ini, mana mungkin dilakukan secara enteng
atau semena-mena, sebaliknya ia telah melalui proses rundingan dan mendengar
secara meluas. Bersesuaian dengan prinsip bahawa, era Kerajaan mengetahui
segalanya dan memiliki monopoli terhadap kebijaksanaan sudah berakhir.
16.
Lantas,
menghitung perjalanan kepimpinan ini, kita sebenarnya telah menempa
keberhasilan yang sungguh membanggakan. Antaranya, kita berjaya melindungi
Malaysia daripada krisis ekonomi global, meletakkannya kembali ke landasan
pertumbuhan mapan serta mengeluarkan kita dari perangkap negara berpendapatan
sederhana. Di samping itu, kita memetakan pula secara teliti dan terperinci perjalanan
Malaysia ke arah mencapai status negara maju berpendapatan tinggi.
REALITI BARU LANSKAP POLITIK NEGARA
Saudara dan Saudari,
17.
Sekiranya
kemenangan kita impikan, seandainya kelangsungan kita dambakan, sebagai sebuah
pertubuhan siasah, sebelum terus mengatur gerak, sejenak perlu menoleh ke
belakang, supaya dapat mengetahui letak duduk sebenarnya keadaan parti kita.
Adakah lebih baik dari semalam? Cukupkah pula persediaan untuk menghadapi
hari-hari mendatang?
18.
Pastinya,
dalam meniti garis-garis besar perjuangan, langkah-langkah konkrit ke hadapan
mestilah penuh berhemah dan berhikmah, ikhlas mendahulukan kepentingan rakyat,
bukan dengan helah, menabur janji-janji kosong, tipu daya atau fatamorgana.
Barulah segala ikhtiar mendapat rahmat dan keberkatan Ilahi.
Saudara dan saudari,
19.
Berdiri
atas kesedaran dan semangat itu, mari kita tinjau hakikat demografik Malaysia yang
telah berubah secara radikal. Majoriti daripada 29 juta penduduk hari ini
dilahirkan pasca Hari Malaysia dengan hampir 70 peratus tinggal di kawasan
bandar. 40 peratus pada lingkungan 17 hingga 23 tahun, sedang mengikuti
pelbagai peringkat pendidikan pasca menengah.
20.
80 peratus
pula, merupakan mereka yang berumur kurang empat puluh lima tahun manakala
separuh daripada rakyat kita berusia di bawah 25.
21.
Satu
faktor penting lagi, transformasi pengundi khasnya dan rakyat Malaysia amnya
tidak berlaku dalam tempoh sehari dua, tetapi telah berlangsung secara berdikit
semenjak lebih lima dekad. Ia digerakkan oleh kejayaan dasar-dasar serta
program hasil prakarsa Kerajaan Perikatan dan kemudiannya diteruskan oleh Kerajaan
Barisan Nasional.
22.
Hakikatnya,
peningkatan taraf hidup, proses pembandaran, akses kepada pendidikan, kemajuan
teknologi maklumat, komunikasi serta pengangkutan telah merubah keutamaan,
selera, sistem nilai dan profil pengundi Malaysia. Citarasa dan jangkaan mereka
terutamanya golongan muda telah bertukar dengan mendadak. Tambahan pula, rata-rata
pengundi kini sifatnya lebih bermaklumat serta kritikal.
23.
Selain
itu, fakta yang sedia ada menunjukkan sejak Mac 2008 terdapat 2.9 juta pengundi
baru tidak kira golongan umur telah mendaftar sebagai pemilih.
24.
Angka
ini, saudara dan saudari, sangat signifikan kerana ia mewakili lebih satu
perlima daripada jumlah pengundi Malaysia yakni 13.1 juta orang. Ini bermakna,
setiap seorang daripada lima pengundi bagi Pilihanraya Umum Ke-13 nanti, ialah
pengundi baru atau pengundi yang pertama kali.
CABARAN UMNO
Saudara dan saudari,
25.
Sepanjang
berdepan mehnah dan cabaran politik semasa, UMNO dan Barisan Nasional tidak
lagi boleh berasa lepas lega dan mengambil mudah dengan mengharapkan sokongan rakyat
berasaskan nostalgia jasa-jasa dahulu atau apa yang telah dibuat parti serta
kerajaan pada hari-hari kelmarin.
26.
Mendakap
cabaran kini, Pilihanraya Umum ke-13 menghadapkan kita dengan satu pilihan,
iaitu sama ada kita sebagai individu dan secara kolektif mahukan kemenangan untuk
parti atau sebaliknya.
27.
Serentak
itu, bercakap tentang sistem demokrasi berparlimen seperti di Malaysia, Kerajaan
dibentuk oleh parti atau gabungan parti politik yang memenangi majoriti kerusi
dalam Dewan Rakyat. Ertinya, kemenangan majoriti daripada 222 kerusi yang
dipertandingkan adalah penentu kesinambungan kerajaan Barisan Nasional.
28.
Walau
bagaimanapun, kemenangan dalam pilihanraya sebenarnya bergantung kepada banyak
faktor seperti pengundi setempat, kecekapan jentera di setiap bahagian serta calon
yang dipertandingkan. Selain itu, realiti semasa menyaksikan bahawa sokongan
rakyat kepada kepimpinan nasional dan negeri tidak semestinya, diterjemahkan
dalam bentuk undi kepada calon tempatan parti.
29.
Kata
orang, dulu lain, sekarang dah lain. Jika dahulu, siapa pun yang diketengahkan
oleh parti, merupakan calon boleh menang. Hakikatnya tidak lagi begitu. Maknanya
di sini, kejayaan calon dalam pilihanraya kontemporari ini bergantung kepada
penerimaan mereka yang hendak diwakili.
30.
Calon
boleh menang yang dipilih oleh parti hendaklah mampu memberi nilai tambah,
yakni, bukan sahaja sekadar diterima oleh lingkungan parti, malah, hendaklah
juga disenangi oleh masyarakat setempat sebagai pengundi, lebih daripada itu,
boleh bekerjasama dengan pertubuhan-pertubuhan sukarela serta masyarakat madani,
kerana merekalah sebetulnya para pengundi.
31.
Kenyataannya
lagi, lebih 95 peratus rakyat Malaysia dilahirkan pasca penubuhan UMNO. Oleh
sebab itu, penilaian yang dibuat pengundi generasi baru hari ini bukan
didasarkan kepada pengalaman masa lalu apatah lagi apa yang telah dilakukan
semalam sebaliknya ia berasaskan merit hari ini berserta wawasan masa depan.
32.
Kesimpulannya
di sini, kemenangan dalam perjuangan pada analisa akhirnya adalah hasil usaha
bersama-sama semua rakyat Malaysia dari pelbagai kaum, agama dan ideologi, muda
dan tua, lelaki dan wanita, warga bandar dan warga desa, pekerja kolar biru dan
putih, sektor awam, swasta dan Syarikat Berkaitan Kerajaan, pertubuhan bukan
kerajaan serta masyarakat seramai. Ringkasnya, setiap dari kita berperanan dan
bertanggungjawab memilih yang terbaik untuk Malaysia.
33.
Atas
segalanya, rakyat hari ini sudah bijak untuk membezakan yang mana kaca yang
mana manikam. Pengundi pula dapat menilai bahawa empati kepada rakyat oleh calon
bersifat sejati dan berterusan bukanlah hanya untuk musim pilihanraya.
34.
Dalam konteks
ini, saya ingin menyeru, jadilah pemimpin parti yang rajin mengkhidmati rakyat,
berwibawa dan bersikap rendah diri. Bak kata orang tua-tua, ular yang menyusur
akar, pasti tidak akan hilang bisanya.
Saudara dan saudari
sekalian,
35.
Bersuluhkan
jamung pejuangan mulia yang cerah menyala, kita mesti cekal bekerja keras, kita
mesti terus tabah meyakinkan rakyat bahawa, kitalah pilihan kepimpinan yang
utama, bahawa kitalah yang mampu membawa masa depan yang lebih baik kepada
mereka dan anak-anak cucu mereka.
36.
Apa
yang dapat saya katakan, berikhlaslah dalam memberi khidmat kepada rakyat.
Berpeganglah kepada kata-kata para ulama dan pujangga, bahawa yang baik akan akhirnya
tertampak, yang buruk itu, hujungnya kelak, pasti terpandang jua.
Saudara dan saudari,
37.
Pada
kesempatan ini, renungkanlah sirah perjuangan Nabi Muhammad S.A.W sebagai
iktibar parti. Kita telah membaca bagaimana dalam Perang Badar, tentera Islam
yang serba kekurangan telah berjaya menewaskan musuh yang jauh lebih besar bilangan
serta lebih lengkap peralatannya.
38.
Manakala
peristiwa Uhud, walaupun kekuatan tentera Islam dan musuh lebih setara, tentera
Islam mengalami kekalahan. Diriwayatkan, ketewasan semasa Uhud berpunca
daripada kelemahan rantaian kawalan dan pemerintahan pasukan serta kelalaian
mentaati arahan oleh para pemanah berbanding ketika pertempuran Badar.
39.
Di
sini, pengajaran yang dapat kita ambil daripada sepotong rentetan sirah
tersebut ialah, tentang pentingnya disiplin organisasi dalam sesebuah parti
politik. Implikasi apabila tiada kepatuhan dalam perjuangan berjemaah, kita
akan menempa kegagalan, kita akan kecundang, kita akan tumpas dan tewas.
Saudara dan saudari,
40.
Hal disiplin
berorganisasi ini perlu dimengertikan baik-baik. Ia merupakan faktor tonggak
yang akan menentukan kejayaan atau kegagalan sesebuah pertubuhan untuk mencapai
matlamat yang diingini. Dalam bidang ketenteraan, ia mampu menentukan
kemenangan atau kekalahan di medan perang.
41.
Dalam
sebuah pertubuhan siasah pula, yang wujud dalam sistem demokrasi berparlimen,
disiplin berorganisasi menentukan sama ada parti politik itu berpeluang menang
atau kalah dalam pilihanraya. Inti patinya, disiplin berorganisasi bermaksud
meletakkan kepentingan organisasi secara di atas..., di atas kepentingan
individu.
42.
Lalu, mengambil
sempena Ayat 83, Surah An-Nisa’, kedisiplinan berjemaah menuntut kita berlapang
dada dan bersedia menerima keputusan yang dibuat oleh kepimpinan parti, dan,
jika tidak dipersetujui, hendaklah menggunakan saluran organisasi yang
sewajarnya bagi menyampaikan pendapat tersebut.
43.
Termustahak,
jika keputusan muktamad telah dibuat, terimalah dengan hati terbuka dan
laksanakanlah dengan sebaik mungkin. Benarlah seperti dimadahkan
pemimpin-pemimpin besar dahulu kala, satu petua yang memang kecil, namun sangat
sulit hendak diamalkan, itulah dia taat dan patuh kepada arahan.
KEBERTERUSAN TRANSFORMATIF
YBhg. Tan Sri Pengerusi Tetap, Saudara dan saudari,
44.
Pada
sisi lain, pendapat dan teori politik konvensional yang mengatakan bahawa
perubahan dan pembaharuan akan hanya berjaya jika kita menukar kerajaan tidak
boleh diterima pakai di Malaysia.
45.
Semenjak
lebih 50 tahun yang lalu, Parti Perikatan dan kemudiannya Barisan Nasional secara tali menali, menerajui negara tercinta
ini dengan membawa perubahan dan pembaharuan bukan pada kadar berdikit malah
dengan lonjakan berganda dengan konsep atau prinsip Keberterusan Transformatif.
46.
Kita
telah menyaksikan bagaimana Malaysia telah berubah dari sebuah negara yang
terjajah kepada sebuah negara merdeka, daripada sebuah negara berstatus negara
pertanian berpendapatan rendah kepada sebuah negara perindustrian moden
berpendapatan sederhana tinggi.
47.
Oleh
itu, dengan Keberterusan Transformatif, rakyat boleh melihat sekalipun
kepimpinan ini datang dari parti yang sama, namun perubahan dan pembaharuan
berlaku secara dinamik, berterusan, tertib dan teratur.
48.
Ertinya,
parti pemerintah sentiasa memikirkan kaedah atau rekayasa terkini bagi memenuhi
keperluan dan kehendak semasa. Kita terus-terusan membuat pembaikan dan
perubahan idea, dasar, program yang tuntas lagi menyeluruh. Pokoknya, kita pada
tiap ketika mendepani kelok zaman dengan membuat perubahan yang tepat pada
masanya.
Saudara dan saudari,
49.
Kita
ada mendengar pendapat yang mengatakan, apa salahnya memberi peluang kepada
pembangkang untuk menang bagi dinilai kemampuan dan keupayaan mereka mengurus
negara dan rakyat.
50.
Namun,
ini adalah satu risiko yang amat tinggi kerana masa depan negara, keluarga dan
anak-anak kita terlalu berharga untuk
dijadikan bahan uji kaji. Tanpa penilaian yang betul, teliti dan kritikal,
menukar kerajaan ibarat mengamanahkan tikus membaiki labu atau mempercayai serigala menjaga biri-biri.
Saudara dan saudari,
51.
Sememangnya
menjadi aspirasi setiap parti politik untuk memperoleh mandat dari rakyat bagi
membolehkannya membentuk kerajaan dan pemimpinnya menjadi Perdana Menteri. Ke
arah itu pelbagai janji dan komitmen ditawarkan.
52.
Bagi
parti yang sedang menerajui Kerajaan, penilaian dilakukan oleh rakyat
berdasarkan dua kayu ukur. Pertama, adakah janji-janji lepas, telah ditunai dan
dilunaskan? Manakala kayu ukur kedua, adakah janji-janji baru yang dibuat akan lebih
membawa manfaat.
53.
Manakala,
bagi parti yang tidak pernah membentuk Kerajaan, mereka perlu dinilai
berasaskan janji yang sedang dibuat. Jika pada peringkat janji lagi sudah tidak
boleh dipegang dan dipercayai, maka, lebih selamat untuk para pengundi agar menjauhi
parti tersebut.
Saudara dan saudari,
54.
Berhubung
hal demikian, Malaysia hari ini merupakan contoh sebuah negara membangun yang amat berjaya sama ada diukur dari segi
keampuhan institusi negara mahupun kemajuan sosioekonomi.
55.
Kejayaan
ini bukannya sebuah fantasi yang dikhayalkan oleh kerajaan Barisan Nasional
sebaliknya satu kejayaan nyata yang dapat disaksikan dan dinikmati setiap
rakyat Malaysia. Bahkan ia juga merupakan kejayaan yang diiktiraf oleh institusi
dan masyarakat antarabangsa.
56.
Jika
dinilai dari kayu ukur global, Malaysia hari ini tercatat antara negara
dagangan terbesar di dunia dengan nilai eksport dan import lebih RM 1 trilion.
Hari ini kita diiktiraf Institute for Management Development atau IMD dan The
World Economic Forum atau WEF dalam barisan 20 negara paling berdaya saing di dunia.
57.
Hari
ini juga kita diiktiraf Bank Dunia
sebagai negara ke-12 paling mudah untuk berurusniaga, sementara Program
Pembangunan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu atau UNDP pula menilai status
Malaysia sebagai sebuah negara yang mempunyai “High Human Development
Index”.
58.
Kendatipun
begitu, Kerajaan pimpinan UMNO tidak hanya berpeluk tubuh dan berpuas hati
dengan kejayaan sedia ada. Kita mahukan setiap anak Malaysia terus mampu mengoptimakan potensi, kita mahukan
setiap anak Malaysia dapat merealisasikan impian, agar hari ini lebih baik dari
semalam dan hari esok, sarat dengan kemungkinan.
59.
Untuk
itu, Dasar Transformasi Nasional telah digubal dan dilaksanakan semenjak saya
dan rakan-rakan mengambilalih kepimpinan parti dan kerajaan lebih tiga tahun yang
lalu. Melalui dasar ini, kita telah memeta transformasi kerajaan, ekonomi dan
politik secara rapi bagi mempastikan
Wawasan 2020 akan tercapai.
60.
Hasil pelaksanaan
Program Transformasi Kerajaan, Program Transformasi Ekonomi, dan Model Ekonomi
Baru misalnya, pendapatan per kapita GNI negara meningkat 30 peratus di antara
tahun 2009 hingga 2011 iaitu daripada US$6,700 kepada US$9,700.
61.
Kemuncaknya
nanti saudara dan saudari, ialah bagi mencapai pendapatan per kapita sebanyak US$15,000.
Hakikatnya, jika kita menggunakan kayu ukur mutakhir Bank Dunia bagi
mengklasifikasi sebuah negara sebagai berpendapatan tinggi, iaitu US$12,476
dolar, maka ia jelas menunjukkan, walaupun tempohnya masih tinggal tujuh tahun
lagi, kita, Malaysia, sudahpun berada pada landasan yang betul, untuk lebih
awal mencapai taraf tersebut.
Saudara dan saudari yang dikasihi sekalian,
62.
Kita
maklum bahawa, pihak pembangkang dalam usahanya untuk menawan hati rakyat telah
mengeluarkan Buku Jingga sebagai manifesto kenapa mereka perlu dipilih menjadi
kerajaan menggantikan Barisan Nasional dengan tema “Ubah Sekarang” “Selamatkan
Malaysia”.
63.
Dalam
dokumen ini terkandung sejumlah 59 janji yang dikatakan akan dilaksanakan oleh
Kerajaan Pakatan Rakyat. 10 daripadanya, kononnya, akan ditunai dalam tempoh
100 hari pertama pentadbiran mereka.
64.
Sebaliknya,
semua itu hanya nampak muluk-muluk. Padahal, cerita yang betul tentang kesan
buruk jika janji-janji tidak munasabah itu dilaksanakan, tidak pula disampaikan
kepada pengetahuan rakyat.
65.
Jika
disenarai, mereka mendakwa kononnya mampu menjamin pendapatan purata bulanan
setiap isi rumah Malaysia pada kadar RM4,000, menghapuskan tol dan hutang
PTPTN, memberikan elaun khas kepada guru sebanyak RM500 sebulan dan menaikkan
royalti petroleum sehingga 20 peratus kepada negeri-negeri. Mana mungkin semua
itu diperbuat kerana natijahnya akan memusnahkan ekonomi negara, antaranya;
66.
Pada
tahun pertama seandai dilaksanakan, defisit bajet Kerajaan pusat akan melonjak
kepada hampir 30 peratus. Kedua, menjelang tahun 2015 kadar nisbah hutang
negara kepada KDNK akan melambung kepada 140 peratus.
67.
Dalam
tahun ketiga, kita akan mencapai tahap keparahan dan hilang kedaulatan negara seperti
negara Greece. Waktu itu pengurusan iktisad negara tidak lagi berada dalam
tangan Kerajaan yang dipilih rakyat, tetapi beralih ke tangan institusi
antarabangsa. Adakah itu yang kita inginkan?
Saudara dan saudari sekalian,
68.
Inilah...
inilah tahap kualiti dan hal ketidak mampuan perancangan ekonomi parti lawan. Namun,
ia tidak langsung mengejutkan kita, kerana, semasa krisis kewangan Asia melanda
Malaysia pada tahun 1997-1998, terbukti, Menteri Kewangan, saya ulang, Menteri
Kewangan ketika itulah orangnya, yang kini, menjadi Ketua Pembangkang, bukanlah
pengurus ekonomi yang cekap.
69.
Beliaulah
yang menggunapakai dasar maya Tabung Kewangan Antarabangsa atau IMF bagi menangani
krisis ekonomi ketika itu. Semua orang mengetahui IMF masa tersebut diketuai oleh
sahabat karibnya. Tindakan beliau memotong perbelanjaan pembangunan serta
menaikkan kadar faedah di saat-saat keyakinan pasaran menurun dan memerlukan
suntikan oleh Kerajaan telah menyebabkan kesengsaraan kepada rakyat terbanyak
khususnya masyarakat perniagaan.
70.
Orang
ini memang selayaknya digelar sebagai sesumpah politik. Bila bercakap di Amerika
Syarikat dan kepada bangsa lain, berbeza nadanya, bila bersyarah kepada orang Melayu
dan orang Islam, lain pula ceritanya. Semasa bersama kita dalam UMNO, caranya
sekian, sekarang jadi Ketua Umum Pembangkang, segala pendirian dan fe’elnya
berubah pula.
71.
Kalau
ikut pepatah dulu, orang menyebut, dia ini lidahnya bercabang. Jelasnya, tiada
orang boleh meneka watak sebenar beliau yang secara terang-terang mendukung usaha
menjamin keselamatan Israel, pada kala dunia sedang mengutuk Rejim Tel Aviv
yang kejam itu kerana membantai dan mengganyang umat Islam di Gaza. Akan
tetapi, apabila kerajaan membentang usul mengecam Israel di Parlimen...dah..
dia menyokong pula.Hairan...hairan.
Saudara dan saudari,
72.
Dalam
Buku Jingga juga pembangkang menjanjikan pemansuhan Akta Keselamatan Dalam
Negeri 1960 tetapi realitinya Kerajaan Barisan Nasionallah yang berani
mengambil langkah, tidak setakat memansuhkan ISA tetapi juga Akta Kediaman
Terhad, Akta Buang Negeri, membatalkan 3 perisytiharan darurat serta membiarkan
ordinan-ordinan yang digubal, lupus.
73.
Tidak
sekadar itu, kita juga telah meminda AUKU bagi membenarkan keahlian pelajar
dalam parti politik, meminda Akta Mesin Cetak dan Penerbitan bagi menghapuskan
keperluan lesen tahunan, serta mengembalikan semula hak semakan kehakiman secara
amnya kepada mahkamah.
74.
Atas
sebab-sebab yang demikian, rakyat Malaysia perlu menilai dan membuat keputusan
sama ada mereka mahukan keberterusan transformatif ini oleh UMNO dan kerajaan
Barisan Nasional atau akan terumbang-ambing dalam kata-kata muslihat serta mainan
tanggapan tidak masuk akal oleh pembangkang.
UMNO TEGAR DALAM MEMPERJUANGKAN ISLAM
Saudara dan saudari sekalian,
75.
Sesungguhnya,
UMNO sentiasa memperjuang dan mempertahankan Islam sepertimana termaktub dalam
Perlembagaan parti, sesuai dengan kedudukannya sebagai Agama Persekutuan.
76.
Dek
kerana itu, tuduhan-tuduhan oleh pihak tertentu bahawa UMNO parti nasionalis
yang sekular amatlah tersasar. Baru-baru ini, sampai kepada tahap, sanggup mendoakan
kecelakaan kepada UMNO. Sedangkan kita, adalah saudara seakidah.
77.
Alangkah
peliknya perbuatan mereka ini. Dalam detik-detik saudara kita di Gaza sedang ditimpa
musibah dan begitu memerlukan solidariti umat, mereka di sini pula sibuk mahu
menghancurkan umat Islam yang lain.
78.
Soalnya,
adakah sebuah parti yang menguruskan ehwal pentadbiran negara seperti UMNO
dengan begitu cemerlang layak dituduh sebagai tidak Islamik dan dinista
semahunya?
79.
Walhal,
UMNOlah parti yang selama ini membolehkan Islam diamal sebagai cara hidup syumul
di negara ini. Apakah tidak mereka melihat bahawa, selama berpuluh-puluh tahun semenjak
merdeka, syiar Islam yang murni, begitu meluas di negara ini, yang bukan
terbatas di bidang ibadah sahaja, bahkan merangkumi lapangan munakahat,
muamalah dan jinayah.
Saudara dan saudari,
80.
Pada
kedudukan ini, kita sebenarnya telah membuat sekian banyak dalam mempastikan
keberlangsungan Islam. Malaysia misalnya ialah antara negara Islam yang
memiliki agensi khusus bagi pelaksanaan ibadah haji secara komprehensif.
81.
Penubuhan
Lembaga Urusan Tabung Haji telah membolehkan umat Islam yang dahulunya terpaksa
menggadai harta benda, kini, bukan sahaja menabung tetapi juga dapat mengerjakan
Rukun Islam kelima itu secara sistematik lagi selesa.
82.
Begitulah
dalam bidang muamalah. Malaysia ialah satu-satunya negara Islam yang menawarkan
khidmat perbankan dan kewangan Islam secara komprehensif dan meluas. Dari
sistem pajak gadai sehinggalah kepada pengeluaran sukuk dan kita adalah
penerbit sukuk terbesar di dunia. Dewasa ini, kita berasa bangga dan gembira
kerana sebuah forum global telah mengiktiraf kejayaan Malaysia sebagai pusat
kewangan Islam terulung dunia.
83.
Hakikatnya
umat Islam di Malaysia bukan sahaja boleh membuka akaun simpanan di bank yang
menggunakan kaedah tanpa riba tetapi juga boleh membuat pinjaman perumahan,
kenderaan, pelajaran, membuat pelaburan di pasaran saham dan lain-lain
transaksi kewangan dengan menggunakan kaedah patuh syariah.
84.
Melangkah
dari situ, selain menjadi contoh sebuah negara Islam yang aman dan maju, Malaysia
juga rancak menyumbang secara besar kepada kesejahteraan di seluruh dunia. Seperti
ramai maklum, kita telah menghantar anggota pengaman, pemerhati tentera termasuk pasukan perubatan ke negara Islam berkonflik
seperti Bosnia, Somalia, Lubnan dan Afghanistan.
85.
Malah,
mutakhir ini Malaysia telah menjadi
pendamai dan orang tengah meleraikan konflik yang telah berlarutan lebih 40
tahun di Selatan Filipina, sehingga
berjaya membuka lembaran baru kepada Bangsa Moro.
86.
Malaysia
turut komited untuk mendapatkan keadilan bagi rakyat Palestin. Kita telah dan
akan sentiasa memperjuangkan hak sah mereka untuk bernegara sendiri di
forum-forum serantau dan global. Kita menyarankan agar masyarakat antarabangsa
menghormati aspirasi ini melalui prinsip dua negara yang telah dipersetujui.
Insya-Allah, Malaysia akan menjadi negara pertama untuk membuka kedutaan di ibu
kota negara Palestin yang merdeka dan berdaulat kelak.
87.
Malaysia
juga prihatin terhadap nasib yang menimpa masyarakat Rohingya di Myanmar. Kita
menyeru agar keganasan yang dilakukan terhadap mereka ini, dihentikan serta
merta dan penyelesaian yang adil akan dibuat.
Saudara dan saudari,
88.
Merujuk
semua itu, janganlah sumbangan kepada Islam diukur hanya dengan tahap retorik
dan kuatnya bunyi pekikan slogan semata-mata, sedangkan sumbangan sebenar serta
isi kandungannya tidak seberapa.
89.
Sebetulnya
pun, pencapaian memenuhi tuntutan Islam sebagai cara hidup ini berjaya
dizahirkan dalam pada Malaysia merupakan sebuah negara berbilang etnik, budaya
dan agama.
90.
Kenapa
dan mengapa? Tidak lain tidak bukan, kerana sejak merdeka, berpaksikan prinsip
wasatiyyah, UMNO dan rakan-rakan dalam Barisan Nasional dengan penuh keikhlasan
telah mampu mencapai tahap muafakat yang tinggi bersama-sama memajukan negara.
91.
Berlandaskan
semua itu, ingin ditegaskan di sini, tanpa ragu-ragu lagi, bahawa, UMNO komited
bagi terus mempertinggikan Islam berteras maqasid syariah, demi memelihara
agama, nyawa, harta benda, akal, maruah dan keturunan.
92.
Kita
tidak rela untuk memecah belahkan perpaduan umat Islam. UMNO tidak sekali-kali akan
mencaci atau menista saudara seagama seperti yang dilakukan parti lawan. Kita tetap
tegas untuk mempertahan kesucian dan kemurniaan akidah.
93.
Di atas
pentas perhimpunan ini juga, kita mahu menyatakan tanpa berbasa-basi lagi
bahawa, kita menentang... menentang sekeras-kerasnya mereka yang mendokong fahaman
pluralisma mahupun liberalisma.
Saudara dan saudari,
94.
Komitmen
UMNO ini, selaras dengan peruntukan Perkara 11 Fasal 1 dan Fasal 4 Perlembagaan
Persekutuan yang merupakan undang-undang tertinggi negara. Perkara 11 Fasal 1, menjamin kebebasan
beragama di negara ini sekalipun di bawah Perkara 3 Fasal 1, Islam ialah agama
bagi Persekutuan.
95.
Perkara
11 fasal 1 menyatakan bahawa tiap-tiap orang berhak menganuti dan mengamalkan
agamanya, namun tertakluk kepada Fasal 4 yang berbunyi “Undang-Undang Negeri
dan berkenaan dengan Wilayah-Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Labuan dan
Putrajaya, undang-undang Persekutuan boleh mengawal atau menyekat pengembangan apa-apa
doktrin atau kepercayaan agama di kalangan orang yang menganuti agama Islam”.
96.
Jadinya,
kita ingin berpesan, cukup-cukuplah cuba memperdaya rakyat. Suatu ketika dahulu
UMNO dituduh kafir melalui amanat Tuan Guru, yang tidak perlulah saya sebut
namanya kerana seluruh Malaysia pasti kenal siapa dia. UMNO dicap kafir kerana bekerjasama
dengan rakyat Malaysia yang tidak beragama Islam, kononnya tidak menyokong penubuhan
negara Islam dan pelaksanaan hudud.
97.
Kesan amanat
pada tahun 1981 itu bukan sahaja telah memecahkan perpaduan, tetapi juga telah
menanamkan benih-benih kebencian di kalangan sesama Islam. Natijahnya,
muncullah tragedi Memali, peristiwa Lubok Merbau, kejadian sembahyang dua Imam,
perceraian suami isteri, perseteruan keluarga serta wujudnya fahaman haram
memakan sembelihan oleh orang-orang UMNO.
98.
Soalnya,
adakah layak pemimpin seperti ini, yang hendak diangkat oleh rakyat untuk
membela untung nasib mereka? Waima, dulu pun, selepas saja satu penggal menjadi
Menteri Besar, orang Terengganu terus menolak kepimpinan beliau.
99.
Tambahan
lagi, kita dapati, hari ini, pemimpin yang sama dan parti yang sama mengecam
UMNO itu, sudah tidak lagi memperjuangkan negara Islam, sebaliknya pula mahu
menubuhkan Negara Berkebajikan. Mereka juga hari ini bekerjasama dengan sebuah
parti yang menentang penubuhan negara Islam malah mahukan Malaysia dijadikan
sebuah negara sekular.
100.
Kenapa matlamat
perjuangan mereka semalam berbeza dengan matlamat perjuangan mereka hari ini? Sedang
ia melibatkan perkara asas. Terbukti, pelaksanaan negara Islam ala PAS di
antara parti itu dan DAP masih belum diselesaikan malah cuba untuk disembunyikan. Kalau isu pokok yang paling
besar membezakan mereka masih belum diputuskan bagaimana halnya hendak membentuk
kerajaan campuran.
101.
Adakah
nafsu untuk berkuasa mengatasi prinsip perjuangan? Adakah matlamat telah
menghalalkan cara? Tidak mengapalah kalau tidak melibatkan orang lain, tetapi
apa yang tragisnya, ia telah menjadi pesta fitnah, propaganda jahat dan
pendustaan yang ditujukan kepada UMNO serta seluruh rakyat Malaysia.
102.
Berbicara
tentang negara Islam, walau apa pun tohmahan yang diasak kepada UMNO, hasil perjuangan
kita dalam memartabatkan Islam di bumi Malaysia ini dan seantero dunia, tetap
menyinar, tetap murni dan akan tetap dipersadakan.
103.
Terbaru,
sekumpulan ulama antarabangsa telah memulakan usaha bebas untuk merangka dan
mengukur negara-negara berdasarkan Indeks Syariah. Kita bersyukur kerana, kajian
mereka di peringkat global mendapati Malaysia menduduki kedudukan lima teratas
dalam pematuhan indeks berkenaan.
KITA ATAU MEREKA
Rakyat Malaysia yang
dikasihi sekalian,
104.
Pilihan
kepada kita semua kini, antara Barisan Nasional sebagai sebuah parti dengan
rancangan holistik tentang halatuju masa depan negara atau parti pembangkang
yang kelam kelibut serta bercelaru dibelenggu matlamat pakatan mereka, sama ada
mahu menjadikan Malaysia sebuah negara sekular, sebuah negara teokratik atau
sebuah negara berkebajikan.
105.
Suka
tidak suka, persoalan ini sangat asasi. Sesungguhnya, rakyat Malaysia berhak
untuk mengetahui secara nyata sebelum membuat keputusan paling penting bersabit
masa depan mereka. Pilihanraya bukan satu uji kaji.
106.
Lima
tahun ialah jangkamasa yang lama dalam pentadbiran sesebuah Kerajaan. Pelbagai
bentuk kerosakan boleh berlaku hatta sebuah negara yang berjaya pun akan gagal
dan tersungkur.
107.
Kerana
itu, menyisir waktu, UMNO bukanlah parti yang mengamalkan taqiyah atau tipu
muslihat dalam kerjasamanya dengan parti-parti komponen Barisan Nasional. Tidak
seperti gabungan DAP, PKR dan PAS, yang tiada bertunjangkan ketulusan.
108.
Contohnya,
di Pulau Pinang yang diterajui DAP, parti PAS tidak menyertai kerajaan, di
Kedah yang diterajui PAS, parti DAP tidak menyertai pentadbiran. Kita maklum,
puncanya, kerana mereka saling tidak mempercayai antara satu sama lain.
109.
Selanjutnya
marilah kita menyingkap tabir di sebalik dakwaan parti DAP, yang mendabik dada
bahawa merekalah yang paling demokratik di negara ini.
Namun begitu, sungguhkah bagai dicanang? Apakah cerita sebenar dalam DAP?
110.
Semua orang
mengetahui DAP ialah parti anak, bapa dan menantu. Walaupun hanya memegang
jawatan pemimpin Parlimen DAP yang tidak dipilih oleh ahli parti, ternyata Lim Kit
Siang ialah individu yang begitu berkuasa dalam DAP.
111.
Anaknya
pula merupakan Setiausaha Agung parti dan Ketua Menteri Pulau Pinang. Manakala
menantunya, merupakan Ahli Dewan Undangan Negeri Melaka merangkap Naib
Pengerusi Seksyen Wanita DAP.
112.
Begitulah
juga kisahnya dengan parti PKR. Di mana ia melibatkan suami, isteri dan anak.
Si suami adalah Ketua Umum yang tidak dipilih. Isteri pula Presiden parti
manakala anak sulung Naib Presiden.
113.
Berbalik
kepada DAP, kalau kita kaji lagi, sifir dan tafsiran demokrasi ala parti itu
amat mudah. Jika bersetuju dengan kepimpinan, semuanya ok. Akan tetapi, seandainya
seseorang ahli mempunyai pandangan berbeza, misalnya Tunku Aziz, mantan Naib
Pengerusi mereka, yang tidak bersetuju dengan demonstrasi jalanan Bersih 3.0, dan
dan tu.... tempoh jawatannya sebagai Senator tidak disambung untuk penggal
kedua.
114.
Inilah
sebenarnya demokrasi cara DAP. Baru saja nak menyuarakan pendapat, hukuman
sudah dijatuhkan. Kita tidak dapat bayangkan sekiranya mereka memegang tampuk kerajaan, apakah yang akan
berlaku terhadap rakyat Malaysia yang tidak bersetuju atau berselisih pandangan
dengan pihak kepimpinan. Apatah lagi seteru politik mereka.
115.
Seperkara
lagi, hari ini, tinggal seorang saja orang Melayu di kalangan 30 kepimpinan
pusat DAP. Inikah yang dinamakan demokrasi? Inikah yang dinamakan tidak
perkauman? Inikah dinamakan kepelbagaian seperti yang selalu dimomokkan? Cubalah
rakyat Malaysia renung dalam-dalam dan fikir masak-masak.
Saudara dan saudari,
116.
Pucuk
pangkalnya, UMNO akan terus memperjuangkan agenda Melayu dan Bumiputera supaya
kita mampu duduk sama rendah dan berdiri sama tinggi dengan bangsa-bangsa lain
di negara tercinta ini. Kaedah yang digunapakai oleh UMNO bagi mencapai
matlamat ini berubah mengikut era yang ditempuhi.
117.
Perjuangan
UMNO semenjak merdeka demi memartabatkan bangsa Melayu bolehlah dibahagikan
kepada beberapa fasa. Fasa pertama, melalui penubuhan agensi seperti MARA,
FELDA dan FELCRA.
118.
Ia juga
diperkukuhkan dengan kewujudan Dewan Latihan RIDA yang berkembang kepada
Institut Teknologi MARA pada akhir 60an dan kemudiannya menyaksikan institusi
ini dinaik taraf menjadi Universiti Teknologi MARA.
119.
Fasa
kedua menyaksikan penggubalan Dasar Ekonomi Baru dan pelaksanaannya melalui
Rangka Rancangan Jangka Panjang Pertama yang merangkumi empat Rancangan
Malaysia selama 20 tahun. Usaha berterusan dijalankan demi membasmi kemiskinan
dan menyusun semula masyarakat.
120.
Ia
menyaksikan penubuhan organisasi seperti RISDA, Lembaga Pertubuhan Peladang,
Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia serta penyediaan kredit mikro melalui Amanah
Ikhtiar Malaysia dan Tekun.
121.
Usaha
juga ditumpukan untuk mencipta masyarakat perdagangan serta perindustrian
Bumiputera. Lantas kerajaan pimpinan UMNO telah menubuhkan Perusahaan Awam
Bukan Kewangan atau syarikat milik kerajaan bagi membolehkan bangsa Melayu
berkecimpung dalam dunia perniagaan.
122.
Bagi
meningkatkan ekuiti Bumiputera, kita mewujudkan Permodalan Nasional Berhad yang
menguruskan skim pelaburan saham amanah seperti ASN, ASB dan lain-lain. Sesungguhnya,
kejayaan terbesar fasa kedua ini ialah tumbuhnya institusi pendidikan menengah
seperti Maktab Rendah Sains Mara, Sekolah Menengah Berasrama Penuh aliran
sains, dan kemasukan ke Institut Pengajian Tinggi Awam melalui program
matrikulasi.
123.
Secara
nyata, perjuangan UMNO semenjak merdeka melalui fasa pertama dan kedua ini
telah memperlihatkan kejayaan yang monumental melalui penciptaan kelas menengah
profesional Melayu yang besar di samping menangani permasalahan kemiskinan di
kalangan bangsa kita.
124.
Bertapak
di atas fasa pertama dan kedua tersebut, kita kini merangka dasar serta program
yang lebih terarah serta berfokus antaranya inisiatif penubuhan Model Ekonomi
Baru, Teraju, Skim Jejak Jaya dan Pelaburan Hartanah Bumiputera. Alhamdulillah,
hasilnya, pemilikan ekuiti Bumiputera telah meningkat daripada 21.9 peratus
pada tahun 2008 kepada 23.09 peratus pada tahun 2010.
125.
Sungguhpun
begitu, dalam helaan nafas yang sama, memetik iktibar daripada Firman Allah
S.W.T, Ayat 8, Surah Al-Maidah, kita tidak pernah leka daripada mempertahankan
hak serta berlaku adil kepada semua kaum. Ia juga terpelihara oleh Perlembagaan
Persekutuan yang digubal berasaskan ijmak Kebangsaan.
126.
Sedang
UMNO komited bagi memperjuangkan nasib bangsa Melayu dan Bumiputera, kita juga
penuh iltizam bagi mempastikan bantuan dan pertolongan kerajaan sampai kepada
dan mampu dinikmati golongan miskin, golongan
berpendapatan rendah dan sederhana rendah daripada semua kaum di
Malaysia. Kita mahu kemakmuran Malaysia dikongsi bersama dan tidak ada rakyat
Malaysia yang akan ketinggalan.
127.
Bahkan,
UMNO menghargai dan menyanjung tinggi sumbangan setiap warga Malaysia tidak
kira apa latar belakangnya demi kejayaan nasional.
128.
Pastinya,
kita sering menginsafi bahawa, kemajmukan
yang kita miliki inilah tiang seri yang mempaterikan kekuatan sebuah negara
bangsa. Sememangnya lagi, sebagai organisasi siasah, kita mendukung
tanggungjawab untuk terus mempersatukan rakyat melalui titik-titik persamaan,
bukannya mendamak racun-racun perbezaan. Itulah jua teras falsafah pemandu
1Malaysia, Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan.
Saudara dan saudari,
129.
Perbezaan
yang terbesar antara kita dan pembangkang ialah bagi kita, janji dibuat untuk
ditepati. Bukan seperti pembangkang yang sering berkata palsu apabila memancing
undi, tetapi sesudah menjadi kerajaan semuanya kosong belaka.
130.
Tanyalah
kepada penduduk Kampung Buah Pala di Pulau Pinang, di manakah kata-kata manis
yang ditabur oleh Ketua Umum PKR semasa pilihanraya 2008?
131.
Beliau
berjanji kononnya dalam masa dua minggu selepas memenangi pilihanraya, akan
selesailah masalah penduduk di sana. Kini sudah hampir masuk empat tahun, bak
kata orang Penang... “ilekkk...”. Akhirnya, Barisan Nasional juga yang
selesaikan masalah ini.
132.
Selain
itu, macam kata orang Tanjung jugak, boleh jadi caca marba seandainya Pakatan Rakyat
membentuk Kerajaan. Tukang buat janji, Perdana Menteri mereka, tak kisahlah
siapa yang akan dilantik sama ada Ketua Umum PKR atau Presiden PAS, tetapi si Ketua
Menteri Pulau Pinang dari DAP akan tetap “buat tak tau dan buat dek jer” atas
janji itu. Mungkin inilah sebabnya Timbalan Ketua Menteri 1 Pulau Pinang
menggelar bosnya sebagai Cocky, Arrogant dan Tokong.
Saudara dan saudari,
133.
Selanjutnya;
“tanyalah kepada oghe Kelate, selesa doh ko masalah air? Sedar tak sedar, dah lebih
dua puluh tahun PAS memerintah, tak selesa-selesa jugak”.
134.
Tanyalah
pulak kepada orang Kedah; “pasai PAS. Depa janji apa kat hampa tahun 2008 hari
tu? Cuba habaq mai, tak ka macam-macam depa tabuq janji kita tau sampai la ni,
macam-macam tak selesai, habuk pun tak dak”.
135.
Seterusnya,
kita tanya pulak penduduk flat kos rendah dan pangsapuri yang memakai meter
pukal di Selangor. Mana janji-janji indah nak bagi air percuma? Satu lagi isu,
kita tanya kepada ibu-ibu tunggal juga di Selangor, apa sudah jadi dengan elaun
bulanan sebanyak RM100 yang nak dibagi? Tak patut,kasihan ibu tunggal ini.
Saudara dan saudari,
136.
Berbeza
dengan kita UMNO dan Kerajaan Barisan Nasional. Buktinya, semenjak saya dan
rakan-rakan mengambil alih kepimpinan parti dan Kerajaan, melalui pelbagai
usaha dan ikhtiar, parti ini dan Kerajaan ini, bukan sekadar suka-suka membuat
janji dan memberi harapan, namun kita juga pasti berusaha, merintis sejuta
jalan untuk menunaikannya.
137.
Misalnya,
di bawah pelan jangka pendek, antaranya :
·
kita ada
BR1M untuk rakyat berpendapatan rendah
·
kita
ada baucer buku 1Malaysia untuk mahasiswa
·
kita
ada bantuan RM100 untuk semua pelajar sekolah
·
kita
ada Skim tayar 1Malaysia untuk pemandu teksi
138.
Untuk
jangka sederhana :
·
kita menyediakan
Pusat Transformasi Luar Bandar
·
kita
menyediakan Pusat Transformasi Bandar
·
kita ada
KR1M, Klinik 1Malaysia, Kedai Kain 1Malaysia, Kedai Buku 1Malaysia, dan
lain-lain.
139.
Bagi jangka
panjang pula, kita dipayungi Dasar Transformasi Nasional melalui inisiatif Program
Transformasi Kerajaan dan Program Transformasi Ekonomi hinggalah kita mencapai
status negara maju. Insya-Allah.
Saudara dan saudari,
140.
Pada
sesetengah pihak, kita ingin ingatkan, kalau tidak pandai menari, janganlah
lantai dikata jongkang jongkit. Hari ini, pelbagai institusi negara diserang dan
dituduh sesuka hati secara melulu, dengan tujuan jahat untuk mengeliru dan
menimbulkan syak di kalangan rakyat.
141.
Misalnya,
Suruhanjaya Pilihanraya yakni SPR difitnah bertubi-tubi. Sehinggakan tunjuk
perasaan dianjur. Kita tahu, mereka lakukan ini sebagai tindakan awal jangka. Sebab,
seandainya mereka kalah dalam pilihanraya nanti, bukan faktor tidak mendapat
sokongan rakyat akan dibangkitkan namun, pihak SPRlah yang akan disalahkan dan
dianggap tidak adil serta tidak berwibawa.
142.
Sebab
itulah tanpa segan silu mereka mengadu kepada kuasa asing bagi
mengantarabangsakan masalah dalaman, sedangkan mereka tahu tindakan berkenaan hanya
mengaibkan negara dan menghina intelek rakyat Malaysia.
143.
Sebenarnya
saudara dan saudari, tak perlulah kita libatkan orang asing untuk menunjuk ajar
bagaimana menguruskan negara. Janganlah menjadi Si Kitul moden sampai sanggup
mengkhianat bangsa dan tanahair.
144.
Dah
lebih separuh abad pun kita merdeka... tahulah kita selok belok negara sendiri.
Persoalannya, selepas mereka menang di lima negeri pada pilihanraya lalu tiada
pula rumah siap pahat berbunyi.
145.
Seperti
yang saya kata, bukankah Parti PAS sudah 22 tahun menerajui Kerajaan Kelantan? Bukankah
juga Parti PAS yang telah memenangi pilihanraya negeri pertama tahun 1959?
Bukankah Parti PAS sedang menerajui Kerajaan Kedah? Bukankah Parti PAS pernah
menerajui Kerajaan Terengganu dan Perak?
146.
Tidakkah
pula PKR sedang menerajui Kerajaan Selangor manakala DAP kini mengepalai Kerajaan
Pulau Pinang?
147.
Selain
itu, barangkali ramai masih ingat, bahawa sebelum menyertai Barisan Nasional,
Parti PBS dan Gerakan merupakan Parti Pembangkang, dan bukankah PBS telah memenangi
pilihanraya Sabah tahun 1985 dan Parti Gerakan telah memenangi pilihanraya
Pulau Pinang tahun 1969.
148.
Akhirnya,
seperti terakam dalam peristiwa, bukankah Barisan Nasional gagal memperoleh
majoriti dua pertiga semasa Pilihanraya Umum 2008?
Saudara dan saudari,
149.
Jadi, jika
sungguhlah tuduhan bahawa SPR tidak berwibawa dan tidak jujur, ini semua tidak
mungkin berlaku. Ternyata, demokrasi tetap berfungsi, malar dan segar di
Malaysia. Ternyata, pilihanraya di negara ini ialah proses yang bersih dan rakyat
sudah matang serta bijaksana untuk memilih.
Saudara dan saudari,
Pilihanraya
Umum ke-13 ini bukanlah satu pilihanraya yang biasa. Ia merupakan titik penentu
kepada destini rakyat dan negara.
Pilihanraya
inilah yang akan mencorakkan rupawajah Malaysia hari esok untuk ditinggalkan
pada anak-anak kita. Antara sebuah Malaysia yang maju berteraskan nilai serta
matlamat dikongsi bersama, atau, Malaysia yang mundur terpisah oleh tembok
ghaib dipalit rasa prasangka dan prejudis.
Hakikatnya,
hasil kerja keras setiap generasi, kita telah membentuk Malaysia yang dikagumi
rakan dan dihormati taulan. Siapa menjangka bumi yang sarat dengan segala
rencam ini, mampu melepasi, apatah lagi berjaya menangani cabaran bernegara.
Pilihannya
juga amat jelas, untuk kita melihat anak-anak tanpa mengira kaum mahupun agama
berhilai ketawa, membesar dan berlibur bersama-sama, atau didewasakan dengan
kebencian yang membara.
Di satu
sudut, jalan mulia yang telah terintis semenjak merdeka, bersiram darah,
bermandi air mata dan dibasahi keringat para patriot sepanjang zaman.
Hendaklah
kita selalu beringat. Betapa susah payahnya bapa-bapa pengasas kita membina apa
yang dinikmati hari ini. Sesungguhnya kita terhutang budi kepada Almarhum Tunku
Abdul Rahman, Allahyarham Tun Abdul Razak, Allahyarham Tun Hussein, Tun Dr.
Mahathir dan Tun Abdullah.
Sebaliknya,
saudara dan saudari, di satu sudut lagi, jalan bersimpang siur, kelam dan gulita,
dibina atas fitnah, kepalsuan dan janji-janji bohong. Jika rakyat terpedaya
dengan siulan menuju lorong itu, percayalah, negara yang permai ini akan
hancur, runtuh dan tenggelam.
Sudah
barang pasti UMNO tidak akan membiarkan semua itu berlaku. Jika kita kehilangan
harta, ia boleh dicari ganti. Jika kita hilang darjat kedudukan, ia dapat
dipulih semula. Tetapi, jika kita kecundang dalam perjuangan ini, kita sudah
tidak punya apa-apa lagi. Kita akan melukut di tepi gantang. Akhirnya,
terbangsat dan merempat di tanah sendiri.
Bumi
mana tak ditimpa hujan, laut mana tidak bergelora, bahagian dunia manakah yang
wujudnya orang, atau pimpinan, atau persyarikatan atau parti yang tidak pernah
tersandung atau tersalah. Di atas segalanya, sebagai kepimpinan parti dan
kerajaan, kami menyusun jari nan sepuluh memohon maaf atas kekhilafan.
Justeru,
saya selaku Presiden UMNO, bersama-sama Timbalan Presiden, serta seluruh saf
kepimpinan parti, bersumpah dengan nama Allah, berikrar dan berjanji, terus
mendahulukan kesejahteraan rakyat, terus memartabat rumpun Melayu, terus
membenteng akidah umat dan terus memelihara agama Islam.
Walau
apapun rintangan yang melanda, biar apapun cabaran menghalang, UMNO tidak akan
berpulang walau setapak, UMNO tidak mungkin berpatah jalan. UMNO takkan berdalih
dalam menjulang sebuah kebaktian. UMNO dan Barisan Nasional akan mara di
barisan hadapan, menghadapi musuh dari luar mahupun dalam.
Saudara dan saudari,
Kita
akan menggunakan segala kudrat yang ada bagi memenangani hati dan fikiran
rakyat di gelanggang demokratik. Kita akan bersaing untuk setiap undi, kita
akan berusaha untuk menyakinkan setiap rakyat Malaysia, kita juga akan mengetuk
setiap pintu hati dan membuka setiap gerbang harapan.
Kita
percaya, rakyat Malaysia berhak mendapat kerajaan yang terbaik dan kita yakin
bahawa, UMNO dan Barisan Nasionallah yang mampu untuk menawarkan yang terbaik
untuk rakyat Malaysia.
Saudara
dan saudari yang dikasihi sekalian,
Di
sini, di sinilah kita dilahirkan, di sini, di sinilah tangis kita mula bergema.
Di sini kita membina keluarga dan di sinilah kita melakar masa depan. Di
sinilah juga, dengan izin Allah yang Maha Berkuasa, kita akan bersemadi untuk
selama-lamanya.
Penuhkanlah
tanah bertuah ini dengan rakyat yang mencintai harumnya perdamaian.
Makmurkanlah watan ini sehingga labanya melimpah ke kaki halaman.
Duhai
putera puteri, duhai para pejuang bangsa, segeralah, segeralah semua menyembah
bakti. Pertahankan, pertahankan satu-satunya Bahtera Merdeka ini, pertahankan,
pertahankanlah Putrajaya.
Fajar
telahpun tiba, nan menyinsing membawa harapan, Tanah Malaysia, Tanah
Malaysiaku, Permata Nilam.
Hidup
UMNO
Hidup
Barisan
Hidup
Malaysia
Wabillahi
Taufik Walhidayah, Wassalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.
No comments:
Post a Comment