Perbezaan di antara Barisan Nasional
(BN) dan pakatan pembangkang yang ditekankan Tan Sri Muhyiddin Yassin
dalam ucapan perasmian serentak sayap Wanita, Pemuda dan Puteri Umno
diharap dapat menyedarkan rakyat akan kepincangan dalam pembangkang.
Naib Presiden Umno Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata ucapan Timbalan Presiden Umno itu boleh dilihat sebagai suatu yang menginsafkan bukan sahaja kepada anggota parti, tetapi juga kepada orang ramai.
Beliau berkata ucapan bersandarkan fakta sebenar permasalahan dalam pakatan pembangkang yang mentadbir Selangor, Pulau Pinang dan Kedah itu perlu dihayati, dan diterjemah di peringkat akar umbi oleh ketiga-tiga sayap parti menjelang pilihan raya umum akan datang.
"Dengan ini kita dapat memahami politik kebencian dan politik fitnah yang diguna oleh pembangkang untuk menghantui atau memberi gambaran buruk terhadap Umno dan juga parti-parti komponen BN," katanya kepada pemberita selepas perasmian itu, di sini Selasa malam.
Seorang lagi Naib Presiden Umno Datuk Seri Mohd Shafie Apdal berkata Muhyiddin turut menekankan kesepakatan dan perkongsian dalam BN bukan ungkapan semata-mata, tetapi satu kebenaran yang terbukti dengan perbuatan. Mohd Shafie berkata Umno yang memiliki banyak kerusi Parlimen berbanding rakan komponen tetap memberikan peluang kepada setiap parti komponen untuk dilantik dalam kabinet.
Mohd Shafie berbeza keadaan itu berbeza dengan pembangkang yang kononnya satu pasukan, satu pakatan yang berpadu, tapi jelas hanya janji kosong yang tidak dapat diterjemahkan dalam pemerintahan mereka.
Bagi seorang lagi Naib Presiden Umno Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, doa yang memohon umat Islam termasuk anggota PAS kembali ke jalan Allah dan menyambut salam perpaduan, merupakan doa lazim yang dilakukan mengikut sunnah Rasululullah.
"Kita mengambil pendekatan 'bilhikmah wabil hasanah' iaitu pendekatan kebijaksanaan dan berlemah lembut dengan tidak mendoakan rakan kita yang telah mendoakan kebinasaan kita, sebaliknya mendoakan supaya mereka terbuka hati, berpadu demi agama Islam di samping tidak mengetepikan agama lain," katanya.
Ketua Wanita Umno Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil berkata ucapan Muhyiddin mengiktiraf sumbangan Wanita Umno sebagai srikandi negara yang menyumbang kepada kestabilan parti.
Katanya Wanita Umno lebih berminat kepada politik untuk membela nasib rakyat bukan yang menimbulkan fitnah serta tohmahan yang menjurus kepada rusuhan dan kekacauan di negara ini.
Ketua Pemuda Umno Khairy Jamaluddin pula berkata ucapan Muhyiddin itu jelas merupakan seruan kepada Umno dan BN untuk mengembleng tenaga mempertahankan Putrajaya.
"Pemuda Umno sahut cabaran menjadi hulubalang parti, kita akan lipat ganda usaha ke kawasan masing-masing dan pastikan jentera kita mantap dan penerangan kita jelas, dan dengan usaha yang tidak mengenal penat-lelah ini kita yakin lebih ramai orang muda dan pengundi muda dapat kita tarik bersama Umno," katanya.
Sementara itu, Ketua Puteri Umno Datuk Rosnah Abdul Rashid Shirlin berkata amanat serta doa yang dilafaz Timbalan Presiden Umno tersebut akan sentiasa dipegang setiap anggota Puteri dalam melaksanakan tugas teras memperkasa Umno.
"Sebagai Ketua Puteri, saya akan pastikan jentera Puteri sentiasa bersiap siaga dalam apa jua keadaan demi menjadikan kemenangan sentiasa berpihak kepada parti biarpun ketiga-tiga sayap menggalas cabaran yang berbeza," katanya.
Sementara itu pemimpin parti komponen BN menyifatkan ucapan Muhyiddin sebagai menceritakan senario sebenar yang berlaku di kalangan parti pembangkang dalam usaha mereka meraih sokongan rakyat.
Ketua Wanita Gerakan Datuk Tan Lian Hoe yang juga Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, berkata rakyat diharap dapat membezakan parti politik yang benar-benar telah membantu mereka.
"Kita semua tahu bahawa di sebelah sana (pembangkang) buat banyak janji, tetapi tidak ditepati, malah penuh dengan penipuan dan Timbalan Perdana Menteri malam ini telah mengingatkan rakyat supaya memilih parti yang boleh menjamin masa depan anak cucu-cucu mereka," katanya.
Ketua Pemuda Parti Progresif Penduduk Harridz Mohan pula berkata ucapan itu jelas mengajak rakyat berfikir secara rasional dan membuat keputusan bijak untuk memilih sebuah kerajaan yang boleh membawa negara maju dan aman.
Bagi Ketua Pemuda MIC T. Mohan, ucapan Muhyiddin memberi semangat kepada Pemuda dan Puteri BN dalam menghadapi pilihan raya umum ke-13.
Setiausaha Pergerakan Pemuda Parti Rakyat Sarawak (PRS), Alexander Kadir berkata pakatan pembangkang memang tidak mampu memimpin negara kerana tiada persefahaman antara mereka dan tidak mampu duduk semeja.
Ketua Pemuda Parti Bersatu Sabah (PBS) Datuk Jahid Jahim pula berkata rakyat Malaysia tidak boleh membiarkan negara diperintah oleh pihak yang tidak dapat memberikan sebarang kebaikan kepada rakyat dan negara.
No comments:
Post a Comment