SHAH ALAM: Naib Presiden PKR, Nurul Izzah Anwar Ibrahim enggan
mengulas beberapa dakwaan baru yang disiarkan oleh sebuah stesen
televisyen akhir-akhir ini yang memaparkan secara jelas rakaman video
ketika sesi soal jawab dalam forum yang membincangkan topik 'Negara
Islam: Versi Mana, Siapa Bertanggungjawab?
Beliau yang ditemui selepas memberikan aduan dan penjelasan kepada
Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) terus meminta izin untuk beredar dan
enggan menjawab soalan tersebut.
"Setakat itu sahaja ya, saya minta izin dulu," katanya.
TV3 sebelum ini menyiarkan kenyataan Izzah ketika menjawab soalan
lanjutan daripada hadirin yang datang. Rakaman video itu secara jelas
menunjukkan Izzah memberikan pendapatnya bahawa 'kebebasan memilih agama
sepatutnya sama rata dan tidak terpakai kepada orang bukan Islam
sahaja.
Stesen televisyen yang sama juga memaparkan kekecewaan seorang peguam,
Siti Kasim, apabila Izzah dilihat bertukar nada berhubung isu itu
setelah dikritik pelbagai pihak.
Siti adalah individu yang bertanyakan soalan tambahan kepada Izzah semasa forum itu berlangsung.
Dalam pada itu, Izzah berkata beliau menerima layanan yang baik
daripada Jais sepanjang 30 minit beliau memberi penjelasan bersabit
kontroversi yang melanda.
"Saya datang dan berjumpa dengan Pengarah Jais dan menceritakan
perkara sebenar kepada Jais, Datuk Marzuki dan alhamdullilah Jais
memberikan kerjasama yang baik.
"Saya pergi bersama Peguam saya, Fadlina Sidek dan setakat itulah
kenyataan hari ini," katanya kepada wartawan selepas selesai memberi
keterangan.
Izzah kemudiannya memberitahu beliau bersedia untuk memberikan kerjasama kepada Jais pada bila-bila masa.
"Saya fikir setakat ini dan untuk dapatkan maklumbalas, boleh terus dapatkan daripada Datuk Marzuki," katanya.
Difahamkan Izzah membawa bersama beberapa kenyataan medianya dan juga
beberapa keratan akhbar yang turut melaporkan berita berita, bersabit
isu itu.
"Saya berikan kenyataan akhbar fitnah daripada Utusan, beberapa
penjelasan saya dan juga transkrip saya, setakat ini sahaja," katanya.
Sementara itu, Peguamnya, Fadlina Sidek berkata setakat ini mereka
hanya membuat apa yang patut bagi menjelaskan perkara sebenar.
"Kita akan beri kerjasama dari masa ke semasa, bergantung kepada aduan dan penjelasan yang kita buat, itu penting.
"Kita bukan serah diri tetapi beri aduan dan penjelasan," katanya.
Izzah pada Sabtu lalu ketika menjadi panel sebuah forum anjuran
pergerakan Kristian, yang membincangkan topik, 'Negara Islam: Versi
Mana, Siapa Bertanggungjawab?" menyatakan pandangannya tentang kebebasan
memilih agama.
“Tidak harus ada paksaan di dalam agama. Bagaimanakah seseorang itu
boleh berkata maaf.. ini (kebebasan agama) hanya untuk bukan Melayu. Ia
(sebenarnya) harus dilaksanakan sama rata (untuk semua kaum),” katanya
ketika menjawab pertanyaan lanjut dari hadirin yang datang.
Sementara itu, Pengarah Jais, Datuk Marzuki Hussin mengesahkan kehadiran Izzah ke jabatan itu melalui satu kenyataan medianya.
"Jais mengesahkan kehadiran Nurul Izzah Anwar (Ahli Parlimen Lembah Pantai) ke Bangunan Sultan Idris hari ini.
"Beliau hadir memberi penjelasan berkaitan isu yang berbangkit," katanya.
Jais sebelum ini memberitahu, Izzah mungkin akan dipanggil jika
ucapannya pada forum itu bertentangan dan melanggar Majlis Fatwa.
Bagaimanapun, belum sempat siasatan dibuat, Izzah menawarkan diri
untuk hadir memberi penjelasan bersabit kenyataannya sebelum ini.
No comments:
Post a Comment