PETALING JAYA: Penyanyi Shila Amzah memohon maaf kepada
peminat kerana tindakan spontannya mencium tangan kekasihnya pelakon
Sharnaaz Ahmad ketika namanya diumumkan sebagai pemenang Lagu Terbaik
menerusi Patah Seribu pada Anugerah IndustriMuzik (AIM) ke-19, malam Sabtu lalu.
Shila atau nama sebenarnya Nur Shahila Amir Amzah, 22, berkata,
tindakan itu dilakukan secara tidak sengaja lebih-lebih lagi pada ketika
itu dia berada di samping orang yang disayanginya apabila pengumuman
dibuat.
"Saya ingin meminta maaf atas kekhilafan saya. Ketika itu saya
terlalu teruja dan pengumuman itu dibuat ketika saya berada di samping
orang yang saya sayang.
"Ia merupakan satu pengajaran besar dan saya bukanlah seorang yang sempurna," katanya yang dihubungi mStar Online, di sini, Ahad.
Pada AIM19 yang diadakan secara langsung di Stadium Malawati, Shah
Alam itu, aksi Shila mencium tangan Sharnaaz selepas diumumkan sebagai
pemenang Lagu Terbaik menimbulkan perasaan kurang senang pada khalayak.
Peminat Shila melahirkan rasa kekecewaan di Facebook dan Twitter
kerana perbuatan itu dianggap telah melanggar batasan sebagai wanita
Muslim yang bertudung.
Patah Seribu yang juga merupakan pemenang bagi kategori Lagu Pop Terbaik telah menewaskan 5 lagu lain iaitu Counting Days (Jaclyn Victor), Aku Maafkan Kamu (Malique & Jamal Abdillah), Idola (Azlan & The Typewritter), Doa (Nora) dan Kuasa Cinta (Noraniza Idris).
Tambah Shila, dia juga ingin menjelaskan kepada mana-mana pihak
tentang ucapannya yang pertama kali memenangi anugerah di negara ini.
"Apabila saya kata tak pernah menang apa-apa dalam negara sendiri, itu bermaksud tentang karier solo saya.
"Memang saya ada menang anugerah tapi ia menerusi 3 Suara
bersama-sama dengan Ning Baizura dan Jaclyn Victor. Saya sangat
bersyukur dengan pengiktirafan tersebut.
"Saya harap tidak ada lagi yang salah faham dengan kenyataan tersebut," tuturnya.
Sementara itu, ketika ditemui selepas majlis AIM, Shila berkata, dia
bersyukur dan berbangga dengan penantian 12 tahun sepanjang berada di
bidang seni muzik berbaloi lebih-lebih lagi apabila lagu yang diiktiraf
itu merupakan hasil ciptaannya sendiri.
"Alhamdulillah, ini adalah rezeki Allah berikan pada saya. Walaupun
tidak pernah diiktiraf selama ini, saya tidak pernah kecewa, tetapi ia
mungkin satu pengajaran bahawa apa yang ditampilkan selama ini belum
cukup kuat.
"Tetapi dalam hati ada juga terfikir bilalah masanya untuk saya
mencapai kejayaan seperti rakan-rakan seperjuangan lain. Bagaimanapun
saya simpan sahaja perasaan itu dan mengharapkan kemenangan itu berpihak
pada saya pula, dan saat itu akhirnya dapat dirasa.
"Terus-terang saya sendiri tidak jangka Patah Seribu dapat diiktiraf ke peringkat yang lebih tinggi kerana ia dihasilkan dalam masa 20 minit sahaja," ujarnya.
TB : Eloklah Andy Lala percepatkan perkahwinana mereka.
Nampaknya dia memang tak jangka dia sendiri menang ye...
ReplyDeleteDia kena ambil masa practice thank you speech... Banyak lagi anugerah yang akan datang. :D