SUBANG JAYA – Pelakon Fasha Sandha menyifatkan kehadiran bayi sulung
yang dikandungkannya sepanjang empat bulan setengah itu memberikan tuah
dan rezeki buatnya dan keluarga.
Fasha atau nama sebenarnya Nur Fasha Sandha Hassan, 28, berkata,
walaupun dia sudah berehat daripada sebarang aktiviti lakonan, namun dia
mendapat tawaran untuk menjadi duta kepada dua produk iaitu kecantikan
dan barangan bayi.
“Alhamdulillah, anak ini memberikan tuah kepada kami sekeluarga. Ada
sahaja rezeki yang datang. Contohnya, saya sudah ditawarkan untuk
menjadi duta kepada dua produk selepas bersalin nanti.
“Malah, setiap perkara yang dilakukan mesti menjadi lebih mudah dan
orang selalu mendahulukan saya daripada pelbagai segi apabila berada di
luar,” katanya.
Tambah Fasha, tuah berkenaan turut dikongsi oleh suaminya Rizal
Ashram Ramli atau Jejai, 36, yang mendapat tempat kedua dalam kejohanan
Lamborghini Blancpain Super Trofeo Asia yang berlangsung pada 15 dan 16
November lalu.
“Ini merupakan kemenangan yang bermakna sejak mendapat tempat ketiga
pada tahun 2004 dan saya percaya kejayaannya itu dek kerana rezeki anak
yang dikandungkan ini.“Selain itu, anak ini juga telah merapatkan hubungan silaturahim antara kedua-dua belah keluarga. Alhamdulillah,” tuturnya yang enggan mendedahkan jantina anak itu.
Sementara itu, Fasha berkata, selepas bersalin nanti, dia akan menjalani tempoh berpantang selama 100 hari.
Dia juga percaya penjagaan yang rapi selepas bersalin amatlah penting untuk mendapatkan tubuh badan asal.
“Saya lebih senang mengikut cara tradisional dalam berpantang, risau juga kalau berat badan naik,” ujarnya.
No comments:
Post a Comment