Wednesday, March 13, 2013

Yakinlah Kepada Kerajaan BN, Kata Najib


KUALA LUMPUR-- Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak menggesa rakyat Malaysia agar menaruh keyakinan kepada kerajaan Barisan Nasional (BN) untuk membawa mereka masa depan yang lebih baik dan negara ke tahap lebih tinggi.

Meskipun Malaysia mencapai pertumbuhan ekonomi yang signifikan dan rakyat meraih manfaat daripada agenda transformasi kerajaan sejak empat tahun lepas, beliau berkata yang terbaik masih belum tiba.

"Ini adalah masa untuk kita menaruh keyakinan terhadap kerajaan yang mempunyai rekod pencapaian kukuh, pelan masa hadapan yang amat jelas dan sebuah kerajaan yang berupaya menunaikan janji," katanya dalam program 'Conversation With The PM' yang disiarkan menerusi TV3 Selasa malam.

Beliau berkata rakyat tidak seharusnya memperjudikan masa depan mereka dengan membuat ujikaji dengan pakatan pembangkang yang jelas mempunyai agenda berbeza.

"Mereka tidak ada platform bersama, mereka mempunyai ...perbezaan ideologi yang sangat bertentangan antara sebuah parti dan parti yang lain," katanya dan menambah pakatan pembangkang terdiri daripada DAP, PAS dan Parti Keadilan Rakyat tidak berdaftarpun sebagai sebuah entiti politik.

Najib berkata mereka malah bertelagah mengenai siapa yang harus menjadi ketua sekiranya mereka membentuk kerajaan.

Bagaimanapun, perdana menteri menyuarakan keyakinan bahawa rakyat memberi sokongan padu kepada kerajaan ketika negara membuat persediaan untuk mengadakan pilihan raya umum ke-13 yang sangat dinanti-nantikan itu.

Berdasarkan penilaian, beliau berkata rakyat berdiri teguh bersama kerajaan dan berasa lebih selamat dengan BN selaku peneraju.

Najib berkata beliau menjadi lebih bersemangat berikutan sambutan yangditerimanya ketika menjelajah ke seluruh negara, dengan rakyat keluarberamai-ramai untuk menyambut beliau dalam pelbagai acara. Dalam nada yang serius, perdana menteri berkata masa depan Malaysia dan rakyatnya sentiasa berada dalam fikirannya memandangkan beliau melaksanakan tanggungjawabnya itu sepenuh jiwa raga.

"Ini kerana saya percaya banyak yang boleh kita lakukan untuk Malaysia, kita boleh membawa Malaysia ke suatu tahap lebih tinggi," katanya, sambil menyifatkan Malaysia mempunyai potensi yang "amat besar".

Mengenai bilakah beliau akan mengadakan pilihan raya umum akan datang, Najib berkata beliau terlebih dahulu ingin menunjukkan kepada rakyat apa yang sebenarnya dicapai menerusi pelbagai inisiatif di bawah agenda transformasi negara.

Sambil menegaskan bahawa cabaran sebenar telah mengambil tempat sejak beliau menyandang jawatan pada 2009, perdana menteri berkata kerajaan memerlukan lebih masa untuk memastikan rakyat merasai hasil positif daripada agenda transformasi.

"...kerana apabila kami merancang sesuatu, ia memang mengambil masa (untuk menampakkan hasil), namun saya gembira kerana hasilnya positif," katanya.

Ditanya mengenai manifesto pilihan raya pakatan pembangkang, Najib berpendapat janji yang terkandung dalam manifesto itu mustahil untuk ditunaikan.

"Soalnya dari mana pembiayaannya...itu mereka tidak nyatakan dan berdasarkan kepada apa yang mereka telah lakukan, manifesto (pilihan raya umum) 2008 banyak tinggal sebagai janji, banyak janji kosong," kata Najib.

"Pokoknya pembiayaan...tidak ada benda yang percuma di dunia ini, mesti ada pihak yang terpaksa tanggung pembiayaan (bagi) perkara yang hendak diberi secara percuma atau hendak dikurangkan," jelas beliau.

Mengenai janji pembangkang untuk menurunkan harga kereta, Najib berkatakerajaan telahpun mengambil pendekatan langkah demi langkah berhubung perkara itu.

"Pada dasarnya rakyat Malaysia boleh mengharapkan kereta yang lebih murah, tetapi pada masa sama ia tidak akan memusnahkan pasaran kereta terpakai," katanya.

Perancangan kerajaan itu akan turut memberi masa kepada pembuat kereta tempatan Proton untuk menjadi lebih kompetitif, katanya, dan menambah ini akan mewujudkan situasi yang menguntungkan semua dan cara terbaik untuk mara ke hadapan bagi semua yang terlibat.

-- BERNAMA

No comments:

Post a Comment

Blog Archive

Cili Api Bloggers

Politik N9

PRU13N9

Gerbang Tempur Puteri UMNO (Malaysia)

My Blog List 2

Popular Posts