"PENAT dah usaha, doa lagi, usaha lagi, doa lagi,
usaha lagi. Dah usaha, doa, tawakkal dah. Tapi kenapa tak makbul-makbul
lagi apa yang aku nak dapat dalam hidup ni? Orang lain tu macam mudah
sahaja dapat apa yang mereka ingini. Aduhai memang tak bertuah kot aku
ni?"
Pernah merungut sebegitu? Seakan apa sahaja yang kita nak capai macam
susah laluannya, kan? Kadang-kadang sampai putus asa. Pernah rasa
begitu?
Saya nak kongsi sedikit pengalaman saya. Pengalaman sangat manis bagi
saya apabila Allah SWT tunaikan impian zaman kanak-kanak saya. Allah
SWT limpahkan nikmat dua kali ganda pada hajat saya dan wasiat arwah
ayah saya.
Impian ini baru sekarang Allah SWT tunaikan. Impian semasa usia saya
12 tahun (sehingga sekarang saya masih simpan impian ini). Selepas 27
tahun baru Allah SWT tunaikan dengan kurniaan berganda.
Dua puluh tujuh tahun dahulu arwah ayah pernah membawa saya ke muzium
negara. Kami menaiki bas dari Ulu Yam ke Kuala Lumpur kerana ayah
memang tidak mepunyai kereta. Memandangkan arwah seorang konstabel
polis, ke mana sahaja laluan bas yang kami naiki adalah percuma dengan
sekadar ayah pamerkan badgenya bernombor 26200 pada pemandu mahupun
kondukter bas.
"Onn (ini panggilan manja saya) nak pergi muzium kat KL tak?"
"Muzium? KL? Best ke yah?"
"Jomlah ayah bawak. Boleh tengok kapal terbang kat luar muzium tu. Dah tu kita jalan kat lake garden, nak?"
"Bila?" tanya saya teruja.
"Sabtu!" balas ayah saya.
Pada hari Sabtu itu, awal pagi lagi arwah ayah dah bangun. Ditanaknya
nasi seusai solat subuh. Kemudian, dia menggoreng ikan kembung rebus
cili padi dan belacan dengan kacang panjang. Menu istimewa ikan masak
lompok-lompok ini memang terkenal dalam kalangan adik-beradik kami.
Nasi putih yang masih panas ayah letakkan di atas alas daun pisang
dan lauk sambal ikan tersebut diletak di atas bucu nasi. Kemudian, ayah
balut ia umpama nasi lemak yang besarnya seperti induk ayam.
Ayah bancuh air sirap panas yang kemudiannya dimasukkan ke dalam
termos. Inilah bekalan kami nanti kerana kami tidak punya banyak wang
untuk makan di restoran. Ayah bungkus teliti dalam beg plastik yang
dirapikan dengan balutan getah bulat.
"Siap dah bekalan kita, Onn. Ni nanti bila dah mesra sambal ikan
lompok-lompok ni dengan nasi dan harum daun pisang, sedap ni nanti,"
ucap ayah selesai membungkus bekalan kami kelak.
Kami tiba di muzium. Sambil berjalan-jalan, ayah ceritakan sejarah
hampir setiap ruang dan galeri yang kami lewati. Sebagaimana dijanjikan,
kami menyusur jalan di belakang muzium negara ke lake garden dan
sama-sama kami jamah bekalan nasi bungkus tadi.
"Onn kat sekolah pandai, kan? Nak tak masuk universiti tak nanti bila dah besar nanti?"
"Eh, mestilah," pendek sahaja jawapan saya.
"Kalau ayah bawak ke satu universiti paling best kat Malaysia ni nak
tak? Ayah nak bagi semangat kat Onn. Universiti ni orang pandai-pandai
aja yang dapat masuk. Macam Onnlah orang pandai." Bersemangat betul ayah
mempelawa saya.
Saya mengangguk tanda setuju.
Kami menaiki bas mini di hadapan muzium. Setelah sekitar 15 minit
berlalu, ayah menekan loceng dan kami turun dan terus menyeberang jalan.
Ayah pimpin tangan saya melewati pintu utama yang dijaga oleh dua orang
'Pakcik Jaga' (ini panggilan kami untuk kakitangan sekuriti).
Saya baca tulisan yang terpapar di pintu gerbang masuk; "Selamat datang ke UNIVERSITI MALAYA," bisik saya dalam hati.
Saya lihat ayah tersenyum.
"Inilah universiti tempat budak-budak pandai tu. Nanti bila dah besar
Onn belajar kat sini tau. Tak ramai orang dapat masuk sini. Orang yang
hebat-hebat sahaja yang boleh belajar kat sini," ulas ayah pada saya.
Ayah pimpin tangan saya berjalan sekitar kampus. Kami lewati Dewan Tunku Canselor dan tasik kecil di sekitar kampus.
"Onn sukalah universiti ni. Onn mesti belajar kat sini nanti. Ayah suka kan Onn belajar kat sini?"
Ayah saya tersenyum bangga!
Kadang kadang aku post sasja apa yang aku rasa yang mahu aku kongsikan , aku tidak peduli ada orang akan baca atau tidak , pastinya yang baca adalah orang yang meminati apa yang aku post itu , kalau tidak suka yang ini baca lah posting lain. YANG INI AKU BUKAN HANYA PINTA ANAK ANAK BACA , AYAH AYAH PUN PERLU BACA. BESABAR LAH HINGGA AKHIR TULISAN. tb
Semenjak dari itu hati saya sudah tetap untuk ke Universiti Malaya.
Saya tidak tahu kursus apa yang akan saya ambil tapi itulah dia
universiti pujaan hati saya.
Apatah lagi, semasa saya bersekolah di
sekolah asrama Sekolah Teknik Tuanku Jaafar, kawan-kawan semua
menggelarkan universiti ini sebagai "Harvard University of Malaysia".
Namun, tak semua yang kita impikan jadi kenyataan, bukan? Kecewanya
jiwa saya apabila mengetahui keputusan peperiksaan SPM saya tidak begitu
baik, sekaligus tidak melayakkan saya menyambung pelajaran di
matrikulasi Universiti Malaya. Walaupun saya mendapat pangkat satu, tapi
keputusan untuk subjek matematik dan sains saya sangat teruk.
Saya tahu ayah kecewa. Tapi ayah simpan perasaan itu dengan memujuk
saya. Kata ayah, belajar di mana-mana universiti pun sama sahaja. Tak
apa, bukan rezeki saya untuk ke Universiti Malaya.
Ramai juga kawan-kawan saya ke Universiti Malaya, terutamanya yang
mengambil jurusan perdagangan. Itu tambah mengecewakan saya. Dengan
keputusan SPM yang tidak begitu cemerlang, saya hanya diterima
melanjutkan pelajaran di peringkat diploma di Universiti Teknologi
Malaysia (UTM).
Masa ayah, mak dan angah hantar saya mendaftar kursus di UTM Skudai, saya hampiri ayah.
"Ayah, Onn mintak maaf ya, yah. Patutnya kita ke Universiti Malaya,
kan? Ayah harap sangat Onn ke sana dulu. Onn ingat lagi, yah. Maaf ya,
yah. Onn tak pandai macam Achik. (Achik saya belajar hingga ke UK dan
dia sentiasa menjadi inspirasi saya semasa saya kecil.)"
Ayah pandang wajah saya. Tak ada apa yang keluar daripada bibirnya.
Dia hanya pandang tepat ke mata saya dan mengusap kepala saya.
Setelah tamat pengajian peringkat diploma, saya meneruskan pengajian
peringkat ijazah di UTM. Namun, harapan saya untuk belajar di UM tak
pernah padam walau saya tak tahu bila ia akan tercapai. Sehingga ayah
meninggal dunia, saya gagal memenuhi impian arwah ayah untuk menuntut di
"Harvard University Malaysia".
Tapi Allah SWT maha adil. DIA temukan saya dengan Ain. Ain lulusan
sarjana muda jurusan matematik daripada Universiti Malaya. Bukan setakat
itu, Ain juga merupakan salah seorang pelajar pintar yang berjaya
menamatkan pengajiannya di Universiti Malaya satu tahun awal daripada
tempoh pengajian yang ditetapkan.
Allah SWT tidak tunaikan impian saya dan arwah ayah melalui saya.
Tetapi Allah SWT penuhi hajat kami melalui Ain. Masya-Allah, hebatnya
perancangan Allah SWT, kan? Saya kira tertunai sudah hajat kami. Saya
fikir perkara saya dan Universiti Malaya sudah tamat setakat itu.
Akan tetapi, rupa-rupanya Allah SWT tunaikan juga hajat arwah ayah
dan impian saya dengan 'double promotion'. Kurniaan limpahan dua kali
ganda ini bukan melalui peluang untuk saya menimba ilmu di Harvard
Malaysia. Allah SWT beri peluang untuk saya memberi ilmu kepada 29 orang
mahasiswa daripada Universiti Malaya untuk menuntut ilmu daripada saya.
Lebih manis apabila Allah SWT terbangkan mereka dari kampus
Universiti Malaya (UM) di Kuala Lumpur ke Liverpool John Moores
University (LJMU) untuk saya ajari mereka tentang bidang kepakaran saya;
pengurusan fasiliti.
Hari ini sesi pertama saya sebagai 'program leader' menerajui 'outbound reach out program' antara UM dan LJMU.
Mereka akan bersama saya selama hampir sebulan dan saya diberikan
kuasa penuh untuk merangka program bagi kesemua 29 orang mahasiswa tahun
kedua Sarjana Muda Ukur Bangunan daripada Universiti Malaya itu.
Semasa mereka diserahkan kepada saya tadi, hati dan perasaan saya
bercampur baur; gembira, terharu, sedih dan sebak. Penuh emosi dalam
jiwa ini. Sambil saya tatap 29 wajah anak Malaysia yang merupakan antara
pelajar terbaik tanah air itu, saya hela nafas panjang sebelum saya
mulakan kuliah pertama saya.
"First and foremost, I wish to welcome you to LJMU. Secondly, I wish
to extend my gratitude to all of you for making my late father and my
childhood dream a reality today. I have been holding on to this dream
for 27 years. I am sure if my late dad was here with us today, he will
be smiling at me with a huge sense of pride and happiness."
Kemudian saya ceritakan kepada mereka kisah impian arwah ayah dan
saya. Saya tegaskan yang mereka ini antara yang bertuah kerana mereka
adalah antara mahasiswa terbaik di Malaysia dan betapa bangganya saya
kerana berpeluang berkongsi sedikit ilmu dan pengalaman kepada mereka.
Perkongsian ini khas buat arwah ayah saya, Hj Mohd Noor Bin Habib.
Saya mohon maaf kerana agak lambat menunaikan impian ayah.
Tapi Allah
SWT lipat gandakan kejayaan ini pada impian kita yang tak pernah padam.
Saya doakan ayah damai di sana di samping mak dan insan-insan yang
beriman. Terima kasih atas segala pengorbanan dan jerih perih ayah
membesarkan kami. Walau kadangkala hati ini buta menghargai kasih sayang
ayah.
Kepada semua, kadangkala perjalanan kita mencapai impian tidak
seperti denai yang kita harapkan. Tapi bersangka baiklah dengan Allah
SWT. Ada ketikanya Allah SWT lewatkan sedikit kurniaanNYA kerana DIA
mahu memberikan kita suatu yang berlipat kali ganda kejayaannya.
Bersabarlah ya, teman. Sesungguhnya Allah SWT Maha Mengetahui lagi Maha Pemurah dan Mengasihani.
Saya akhiri perkongsian dari hati kali ini dengan sedikit nukilan
yang saya temui di sebuah blog yang coretannya benar-benar menyentuh
hati saya:
"Bila Allah SWT cepat makbulkan doamu, maka DIA menyayangimu,
Bila DIA lambat makbulkan doamu, maka DIA ingin mengujimu,
Bila DIA tidak makbulkan doamu, maka DIA merancang sesuatu yang lebih baik untukmu.
Oleh itu, sentiasalah bersangka baik pada ALLAH SWT,
dalam apa jua keadaan pun kerana kasih sayang Allah itu mendahului kemurkaanNya."
Sumber: iluvislam
No comments:
Post a Comment