Ariel Peterpan
Ariel Peterpan senyum ketika bebas dari penjara di Bandung, Jawa Barat, Indonesia hari ini. – Foto EPA
BANDUNG -

Vokalis kumpulan muzik pop Peterpan, Ariel menganggap pembebasan bersyarat dari Penjara Kebon Waru, Bandung pada bulan suci Ramadan semalam membawa hikmah yang besar kepada dirinya.
 
Sambil mengucapkan syukur dengan pembebasan itu, Ariel, 31, berkata, satu perkara yang begitu dirasainya selepas menjadi orang bebas pada bulan mulia ini ialah beliau tidak terkejut dengan suasana di luar penjara.
 
Bercakap pada sidang akhbar di sebuah hotel di sini pada majlis kesyukuran pembebasannya, dan acara berbuka puasa bersama peminat serta anak yatim, Ariel bagaimanapun enggan menjelaskan dengan lebih lanjut hikmah yang dirasai kerana bimbang tersilap cakap atau disalah tafsir orang ramai.
 
"Apa yang dapat saya simpulkan mengenai pembebasan ini ialah sesuatu yang tidak disukai, belum tentu tidak bagus buat kamu. Dalam kesulitan ini, saya menemui banyak hal yang positif dalam hidup," katanya.
 
Ariel atau nama sebenarnya, Nazriel Irham telah dihukum penjara tiga setengah tahun oleh  mahkamah pada pada Januari tahun lepas kerana mengedar dua video lucah yang dipercayai membabitkan dirinya sendiri dan dua artis wanita iaitu Cut Tari dan kekasihnya ketika itu, Luna Maya.
 
Sehingga kini, Ariel dan Luna Maya tidak mengaku mereka adalah orang dalam video lucah itu namun Cut Tari membuat pengakuan bahawa beliau dan Ariel adalah orang dalam video itu, dan memohon maaf secara terbuka atas perlakuannya itu.
 
Pembebasan bersyarat hari ini diberikan pihak berkuasa selepas Ariel menjalani dua pertiga daripada tempoh hukuman yang dikira sejak beliau ditahan reman pada 2010. - Bernama