Fitnah secara umumnya banyak dikaitkan dengan perbuatan mengadu
domba, membuat tuduhan palsu, menyebarkan dakwaan tidak benar yang
bertujuan menjatuhkan aib serta maruah seseorang.
Sebenarnya, pengertian fitnah adalah lebih luas daripada itu malah
jika diteliti dengan berdasarkan al-Quran dan as-Sunnah serta pandangan
ulama muktabar-fitnah merupakan satu perbuatan keji dan mengandungi
unsur-unsur bencana, kezaliman, kefasikan, tohmahan serta pecah belah.
Merujuk kepada maksud sebuah hadis yang dipetik di dalam wawancara
antara Mingguan Malaysia dan Mufti Masjidil Haram, Sheikh Dr. Sulaiman
al-Salumi, minggu lalu Rasulullah SAW pernah bersabda "Fitnah itu satu
benda yang tidur. Allah SWT melaknat sesiapa yang membangunkannya."
Berdasarkan kepada hadis dibacakan oleh Sheikh Sulaiman tersebut
jelas menunjukkan betapa bencinya Allah dan Rasul-Nya terhadap perbuatan
fitnah sehingga ke peringkat Allah melaknat ke atas mereka yang
melakukannya.
Malah di dalam al-Quran ada dinyatakan secara khusus mengenai dosa pelaku-pelaku fitnah yang lebih dahsyat daripada membunuh.
Berbalik kepada perbincangan fitnah dalam konteks lebih luas,
masyarakat Malaysia khususnya umat Islam tidak terkecuali daripada
berhadapan dengan perbuatan keji tersebut.
Malah dalam konteks Malaysia terdapat tiga fitnah yang besar yang terpaksa dihadapi oleh umat Islam negara ini.
Fitnah pertama, menurut Pengerusi Jawatankuasa Kerja, Himpunan Ulama
Muda Malaysia (Ilmu) Fathul Bari Mat Jahya dalam ceramahnya di ibu
pejabat Utusan Melayu (Malaysia) Berhad kelmarin, apabila wujudnya
kelompok-kelompok berimejkan Islam tetapi berfikiran Khawarij.
Kata beliau, fenomena itu amat membimbangkan kerana perkara tersebut berkaitan dengan isu akidah.
Malah beliau berkata, Rasulullah SAW pernah mengingatkan kepada semua
umatnya berhubung kehadiran kelompok-kelompok itu yang begitu licik
bergerak sehingga ke peringkat pelaksanaan amal ibadat mereka seperti
solat dan berpuasa lebih hebat daripada muslim lain.
Bahkan kata Fathul Bari, ada Sahabat menyatakan di dahi kelompok itu
terdapat tanda-tanda hitam bagi menunjukkan betapa hebatnya mereka
bersolat selain sentiasa membotakkan kepala kerana mahu dilihat
meninggalkan keduniaan sedangkan puak-puak tersebut berfahaman Khawarij.
"Tidak dinafikan kelompok-kelompok seperti ini daripada segi pakaian
dan penampilan menunjukkan mereka cukup hebat dalam agama tetapi
malangnya mereka dengan mudah mengkafirkan orang Islam lain dan menuduh
orang Islam lain sesat semata-mata tidak berada dalam kumpulan itu.
"Inilah ideologi puak Khawarij, sikap kelompok-kelompok yang saya
maksudkan juga tidak ubah seperti golongan Syiah yang juga berfikiran
Khawarij. Mereka (Syiah) dengan mudah mengkafirkan para sahabat
Rasulullah SAW,'' ujarnya.
Beliau berkata, kelompok-kelompok seperti itu sebenarnya berada dalam
suasana fitnah syubhah yang cukup berbahaya dan jika dibiarkan
berlarutan, umat Islam akan menerima padahnya.
"Apa yang saya hendak nyatakan, inilah salah satu fitnah paling besar
yang berlaku di negara kita. Kita jangan lupa tentang satu fakta bahawa
puak Khawarij adalah satu gerakan politik,'' ujarnya.
Merujuk kepada sejarah, beliau berkata, puak Khawarij cukup terkenal
dengan gerakan pemberontakan terhadap kerajaan yang sah sama ada dalam
bentuk rusuhan mahu pun provokasi.
"Sebelum mereka melakukan rusuhan, puak Khawarij ini akan bersangka
buruk kepada pemerintah dan kemudian menyemaikan dan menyebarkannya
dengan tujuan untuk menerbitkan rasa benci dalam kalangan rakyat.
"Setelah itu puak tersebut akan membuat tuduhan sama ada dalam bentuk
mengkafirkan pemerintah atau menuduh pemerintah fasik dan sesat.
Tujuannya supaya rakyat bangkit membuat pemberontakan,'' katanya lagi.
Realitinya beliau berkata, fahaman Khawarij amat berbahaya kerana
fahaman itu boleh memecah belahkan umat sekali gus mampu mencetuskan
huru-hara di dalam negara kerana sikap mereka yang terlalu mudah menuduh
orang Islam lain kafir, fasik dan sesat.
Fitnah kedua, kata Fathul Bari apabila menularnya fahaman liberalisme
dan pluralisme ke negara ini hasil daripada gerakan pihak Barat.
Hakikatnya beliau berkata, kejayaan mereka membawa masuk fahaman
songsang itu ke negara ini adalah hasil daripada agenda terancang
pihak-pihak tertentu.
"Ini juga adalah antara fitnah terbesar yang berlaku di Malaysia.
Fitnah ini juga melibatkan soal akidah umat Islam. Mereka menggunakan
hak kebebasan untuk mempengaruhi umat Islam sedangkan jelas fahaman ini
bertentangan dengan Islam.
"Akibat daripada penularan fahaman liberalisme dan pluralisme lahir
pula lesbian, gay, biseksual dan transgender (LGBT) yang juga merupakan
satu fitnah yang wajib dihindari oleh umat Islam. Yang pasti agenda
mereka cukup tersusun,'' katanya.
Menurut beliau lagi, perjuangan DAP menuntut penggunaan kalimah Allah
dalam kalangan penganut Kristian di negara ini juga termasuk dalam
usaha-usaha untuk menyebarkan fahaman pluralisme.
Dalam pada itu beliau berkata, tidak dinafikan dalam perbahasan
ulama-ulama di Asia Barat, penggunaan nama-nama Allah adalah harus
tetapi uruf (adat atau kebiasaan) tetap memainkan peranan sebagai
pendesak perubahan satu-satu hukum.
''Mengikut kaedah ini di Malaysia uruf bagi penganut Kristian di sini
tidak menggunakan kalimah Allah, dan ini berbeza dengan uruf bagi
penganut Kristian di Timur Tengah yang mana mereka di sana pada
kebiasaannya menggunakan kalimah Allah.
"Oleh itu hasil perbahasan ulama-ulama usul fiqh uruf yang termasuk
dalam kaedah 'adat mukamah' bersepakat menyatakan adat setempat boleh
menjadi pendesak terbentuknya satu-satu hukum,'' ujarnya.
Dengan kata lebih mudah, beliau berkata dari segi uruf, penggunaan
kalimah Allah di Malaysia hanya khusus untuk orang Islam sahaja dan
bukannya untuk penganut-penganut agama lain.
Fitnah ketiga kata beliau wujudnya kelompok orang Islam yang sanggup menggadaikan prinsip agama demi kepentingan politik.
Beliau berkata, keadaan itu merupakan satu musibah dan fitnah yang
wajib ditentang kerana agama tidak lagi menjadi keutamaan sebaliknya
kepentingan politik merupakan segala-galanya.
''Sepatutnya isu kalimah Allah yang sengaja dicetuskan baru-baru ini
mampu menyatukan semua umat Islam di Malaysia sekali gus bersama-sama
mempertahankan kalimah tauhid yang suci ini,'' katanya.
Bagaimanapun beliau berkata, impian itu tidak menjadi kenyataan atas sebab desakan politik.
Beliau berkata, semua pihak harus menjadikan Perjanjian Granada
antara kerajaan Islam dan kerajaan Kristian yang dimeterai pada tahun
1491 dijadikan pengajaran.
Dua bulan selepas termeterainya perjanjian itu pemerintah Islam, Abu
'Abd-Allah Muhammad telah menyerahkan kunci Kota Granada kepada Isabella
dan Ferdinand.
''Ketika dimeterai perjanjian itu orang Islam dibenarkan melaungkan
azan dan beribadat seperti biasa. Orang Kristian tidak dibenarkan
mengintai-intai rumah orang Islam lebih-lebih lagi masjid.
''Lebih hebat lagi perjanjian ini membenarkan pelaksanaan undang-undang Islam seperti yang sedia dipakai,'' ujarnya.
Walau bagaimanapun beliau berkata janji hanya tinggal janji apabila
perjanjian tersebut telah dimungkiri. Pemerintah Kristian ketika itu
kata Fathul Bari telah memaksa orang Islam murtad.
''Kisah Perjanjian Granada ini seharusnya menjadi iktibar kepada kita
semua iaitu bagaimana janji-janji indah yang ditaburkan kepada umat
Islam dengan mudah dimungkiri.
''Keadaan yang berlaku itu boleh kita kaitkan dengan situasi politik
semasa di negara kita dan sememangnya situasi yang berlaku sekarang amat
membimbangkan kita,'' tambahnya.
Kesimpulannya, tiga fitnah besar yang melanda umat Islam di negara
ini mampu diatasi sekiranya semua umat Islam di negara ini bersatu
dengan diikat atas nama akidah Islam.
Itu juga kata Fathul Bari menjadi tuntutan Allah dan Rasul-Nya
seperti mana banyak disebut di dalam al-Quran dan al-Hadis.-10/1/2013
-Utusan
No comments:
Post a Comment