Saturday, January 19, 2013

Ucaptama Islam di Asia Tenggara : Cabaran Dan Harapan

Sidek baba



Oleh : Ybhg Prof Dato Dr Sidek BabaPensyarah, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM)
MUKADDIMAH

Kedatangan Islam di Alam Melayu selepas jatuhnya kerajaan Islam di Andalusia menarik untuk dikaji. Dikatakan Islam yang datang ke Alam Melayu memberi fokus kepada aliran spiritual atau rohaniah dan tidak banyak terhubung dengan perkara-perkara ketamadunan. Menariknya Sistem Beraja dan Bersultan menjadi benteng pertahanan Islam di rantau ini. Hukum Kanun Melaka pernah dilaksanakan di Melaka sebagai pertanda wujudnya pelaksanaan syariah di negeri itu kerana Melaka adalah permulaan sejarah bagi Malaysia.
Sehingga kini Raja dan Sultan menjadi Ketua Agama bagi negeri dan Majlis Raja-Raja mempunyai kuasa pemutus terhadap Hal Ehwal Islam di Malaysia.  

ISLAM SEBAGAI AGAMA PERSEKUTUAN

Perlembagaan Malaysia menyatakan dengan jelas dalam Artikel 3(1) memperuntukkan bahawa Islam adalah Agama Persekutuan. Ianya dengan sendiri menolak anggapan bahawa Malaysia ialah negara sekular. Konsep negara sekular menolak hubungan agama dengan urusan kenegaraan.

 Di Malaysia peruntukan kewangan negara diberi untuk kemajuan Islam dalam bidang pendidikan, pembangunan ,perundangan syariah dan program patuh-syariah yang bersifat institusi. Kesedaran dakwah yang berlaku sejak awal 70an membangkitkan minat baru di kalangan generasi muda dalam dan luar negara terhadap keperluan Islam tidak saja dalam kehidupan tetapi juga dalam sistem. Ianya menjadi isu yang tidak pernah reda malah menghasilkan polimik dan konflik.

Ianya adalah suatu cabaran dan menuntut kebijaksanaan dalam memahami antara hasrat dan hakikat, idealsime dan realiti. Negara Indonesia mempunyai ramai penduduk Islam. Tradisi pesanteren dan Institut Agama Negerinya sangat berkembang dan menghasilkan warga yang mempunyai asas pendidikan Islam.

 Brunei sebuah negara kesultanan menjadikan Islam sebagai agama negara. Singapura terdapat 15% penduduknya beragama Islam selepas berpisah dengan Malaysia dan masih terdapat sistem madrasah berjalan di sana. Sementara terdapat ramai penganut Islam di Selatan Thailand (Patani), di Selatan Filifina dan juga penduduk Islam di Kemboja.

Dari segi jumlah penduduk, umat Islam di Asia Tenggara merupakan komponen yang terbesar di dunia melepasi lebih 250 juta. Isu yang berbangkit ialah apakah jumlah yang sebesar ini mampu memberikan corak kebangunan Islam yang maju atau umat Islam masih bertarung cuba melepasi diri antara pengaruh globalisasi dan kebangkitan Kuasa Besar Cina Baru untuk memertabatkan Islam dalam masyarakat dan sistem yang sifatnya majmuk.

 CABARAN KEILMUAN DAN PENDIDIKAN 

Cabaran terbesar yang sedang dihadapi oleh umat Islam di Asia Tenggara ialah cabaran keilmuan dan pendidikan. Corak ilmu yang diajar dan proses pendidikan yang terjadi amat penting bagi menentukan jenis manusia, sumber daya atau modal insan yang dihasilkan oleh sistem pendidikan. Tajdid (transformasi) ilmu dan pendidikan perlu terjadi supaya corak kurikulumnya sepadu, masalah dualisme dalam sistem dapat diatasi dan ianya bakal melahirkan insan holistik yang tidak saja baik dalam ilmu diniahnya tetapi baik juga dalam ilmu akademik, professional, sains dan teknologi.


Sekian lama umat Islam menjadi pengguna kepada tamadun orang lain dan belum mampu menyumbang kepada kebangkitan ilmu dan pendidikan berasaskan Acuan Kita Sendiri. Tradisi pendidikan Islam umumnya masih berlegar dalam keperluan Ilmu Mengurus Diri tetapi masih kerdil dalam ilmu Mengurus Sistem.

Produktiviti rohaniah relatif tinggi dengan ritual dan pemahaman terhadap maksud ibadah yang terbatas. Produkiviti amaliah relatif rendah kerana Islam tidak terpancar dalam aktiviti ketamadunan yang mampu menghasilkan peneroka dan perintis yang innovatif dan kompatatif mendepani cabaran perubahan dan kemajuan.

Justeru orientasi keilmuan dan pendidikan di kalangan umat Islam dan institusi pendidikan yang menawarkan pelbagai program wajar memberi fokus kepada pembangunan Ilmu Mengurus Diri dan Ilmu Mengurus Sistem.

Metodologi pengajaran dan pembelajaran tidak sekadar mengambil pendekatan hafazan dan kaedah talaqi semata-mata tetapi mestilah mampu mengambil pendekatan kefahaman, pemikiran, internalisasi dan mampu menghasilkan watak yang berorientasi amal. Kalau tidak Islam tidak akan terlihat kepada binaan peribadi contoh yang tidak saja baik dalam pemahaman syariahnya tetapi mampu menterjemahkan maqasid syariah ke dalam pengkhususan seperti tijarah, muamalah dan juga bisnes.

Tajdid ilmu dan pendidikan adalah sesuatu yang tidak dapat dielakkan sekiranya transformasi dalam sistem ingin terjadi. Ia menuntut pemikiran yang strategik dan berwibawa supaya faedah berbanding dari Barat dan Timur dimanfaatkan dan dalam masa yang sama kekuatan ilmu yang mendukung nilai ketamadunan dijadikan landasan.

CABARAN GLOBALISASI

Globalisasi yang sedang mendepani kita kini tidak saja sifatnya ideologikal tetapi sebagai strategi Euro-Amerika untuk melakukan dominasi terhadap dunia melalui penguasaan teknologi media dan maklumat. Tentu ada faedah berbanding (comparative advantages) dari perkembangan teknologi yang ada.

Dalam tradisi Islam teknologi selamanya alat bukan matlamat. Apa yang terkandung dari nilaiguna alat dan perisian yang terdapat pada alat ada kaitannya dalam menentukan akalbudi manusia.

Disamping perkembangan teknologi tinggi (hi-tech) diraikan, pedoman sentuhan keinsanan (hi-touch) perlu diambil kira. Ianya penting supaya nilai guna alat menjadi lebih manusiawi dan beretika sifatnya.

Ianya bermakna pendidikan Islam tidak sekadar menawarkan hal-hal diniah sekitar ritual dan rohaniah tetapi harus mampu ditingkatkan ke tahap ilmu dan tamadun. Ilmu berbanding dari tamadun lain juga penting supaya ia menjadi pengukuh kepada perubahan dan kemajuan.
PENDEKATAN WASATIYYAH
Barat menghadapi masalah Islamophobia terhadap dunia Islam. Isu-isu mengenai terorisme, fundamentalisme, ekstremisme dan kepelampauan sentiasa menjadi kebimbangan mereka terhadap umat Islam.

Amat penting imej wasatiyyah melatari orientasi berfikir dan bertindak umat Islam supaya watak berimbang ini menjadi sumber kekuatan dalam bidang dakwah dan tarbiyyah dan dalam masa yang sama menampilkan watak maju dan membangun.

 Watak maju dan membangun ini amat penting bagi warga umat supaya umat Islam memiliki kemampuan ilmu dan berfikir secara strategik dan praktis dan tidak menjadi warga reaktif penuh dengan retorik, bidasan tajam terhadap orang lain tetapi tidak memiliki kemampuan untuk membangun agenda umat secara bijaksana.

 Wasatiyyah dalam ertikata yang luas menemukan ulama dan umara dalam satu sinergi atau kerjasama yang baik. Membangun tradisi keilmuan yang sepadu memberi fokus terhadap pembangunan Ilmu Mengurus Diri dan Ilmu Mengurus Sistem.

Tradisi penyelidikan dan pengkaryaan yang berkualiti supaya Umat Islam memiliki sumber rujukan yang terbaik dan keupayaan memiliki daya saring yang tinggi terhadap kehadiran budaya dan tamadun yang pelbagai supaya saripati yang baik dapat disesuaikan dengan keperluan terkini. Malaysia sedang mempelopori tradisi ini supaya wujud perimbangan yang baik antara usaha menghasilkan sumber daya manusia atau modal insane berkualiti dengan kekayaan sumber hasil bumi yang banyak supaya faedah langsungnya dinikmati oleh umat setempat.  

MEMBINA JARINGAN DAN KERJASAMA SERANTAU
Justeru sudah sampai masanya warga umat Islam di Asia Tenggara membina jaringan dan kerjasama serantau dalam bidang ilmu dan pendidikan, ekonomi dan pembangunan, budaya dan kemasyarakatan, kaji selidik dan usaha penterjemahan supaya kekuatan yang ada pada sesebuah negara dapat di manfaatkan dengan baik dan kelemahan yang ada pada sesebuah negara dapat diatasi dengan bijaksana.

Indonesia umpamanya memiliki sumber daya manusia dan sumber hasil bumi yang sangat banyak. Kekuatan dalam menghasilkan proses keilmuan dan pendidikan yang sepadu dengan membangun Ilmu Mengurus Diri dan Ilmu Mengurus Sistem secara seimbang bakal menghasilkan jalur kemajuan yang boleh menjadi contoh kepada orang lain.

Malaysia sebagai sebuah negara majmuk dimana penduduk Islamnya sekitar 60 peratus melalui pengalaman unik bagaimana proses pembangunan dan kemajuan terjadi. Asas-asas fundamental dalam Perlembagaan Negara memberikan ruang yang amat luas memajukan umat Islam yang ketinggalan jauh di zaman penjajahan dalam bidang ekonomi, pendidikan, pembangunan sosial apalagi proses memertabatkan Islam sebagai agama ketamadunan.

 Lebih setengah abad kemerdekaan dilalui banyak perubahan yang terjadi terhadap umat Islam di Malaysia dan menjadikan Malaysia sebagai negara yang menuju negara maju menjelang tahun 2020 dan sekarang ini sedang melalui proses transformasi dalam semua bidang dan lapangan.

 Pendidikan Islam dalam bentuk yang lebih komprehensif menggabungkan Ilmu mengurus Diri dan Ilmu Mengurus Sistem sedang berlaku dalam sistem pendidikan negara samada ianya dilakukan oleh pihak pemerintah mahupun pihak swasta. Pendidikan Islam sentiasa diberi perhatian dari program J-QAFnya hinggalah ke Darul Quran yang ramai melahirkan huffaz.

 Pengukuhan kepada kurikulum Pendidikan Islam di Malaysia adalah amat penting supaya cerminan pendidikan Islam berlaku secara seimbang dan sepadu terjadi. Kesedaran pihak swasta untuk membantu penghasilan generasi muda yang teguh ilmu diniahnya dan tergabung dengan ilmu akademik dan professional berkembang juga. Penubuhan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia dengan pendekatan integrasi ilmu dan islamisasi pendidikannya di datangi oleh lebih 100 negara di dunia mempelajari berbagai disiplin ilmu pengetahuan khususnya pelajar-pelajar dan Indonesia, Thailand, Filifina, Brunei, Singapura dan Kemboja.

 Begitu juga Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), Universiti Islam Malaysia (UIA) yang bakal ditubuhkan membuka peluang kepada pelajar Antarabangsa khususnya di wailayah Asia Tenggara. Sekiranya model universiti dan pendidikan Islam yang diperkenalkan di Malaysia dijadikan model oleh institusi pengajian di wilayah Asia Tenggara ia bakal memberi kesan baik terhadap pembangunan sumber daya manusia yang berkualiti dan mampu memberi respon terhadap pembangunan dan perubahan.

 Model ekonomi Islam yang sifatnya patuh-syariah sedang berkembang dengan pesat dan menghasilkan tradisi perbankan, takaful, kewangan, sukuk, pajak-gadai dan wakaf yang baik dan mampu secara jangka panjangnya membentuk sistem ekonomi Islam yang lebih komprehensif. Bank Rakyat di Malaysia yang menggunakan pendekatan patuh-syariah menjadi bank yang amat diminati oleh penyimpan dan peminjam bukan Islam kerana ia memiliki nilai keuntungan yang tinggi dan kestabilan yang sangat dipercayai.

 Pengurusan Tabung Haji di Malaysia umpamanya mampu menjana tabungan yang meningkat dan berkeupayaan mengurus program haji dengan baik dan berkualiti. Indonesia bakal menjalin kerjasama dengan pihak Tabung Haji bagaimana pengalaman dan profesionalisme Tabung Haji diMalaysia dapat diperkongsi.

 Sebahagian model-model praktis yang disebutkan tadi seharusnya menjadi model contoh kepada negara-negara Islam dan umat Islam di Asia Tenggara. Sebuah Sekretariat seumpama Sekretariat Negara-Negara Asean perlu ditubuhkan dalam kadar segera supaya wujud pemanfaatan model dan keselarasan kerja supaya tidak saja bidang ilmu dan pendidikan diperkukuhkan tetapi dalam masa yang sama penghasilan sumber daya insan yang berkualiti boleh terjadi.

 Sekiranya langkah ini terjadi umat Islam bakal menemukan formula yang baik tidak saja menyelaraskan hal-hal diniah seperti yang dilakukan oleh MABIMS tetapi hal-hal yang lebih fundamental menyentuh isu ilmu dan pendidikan, ekonomi, budaya dan kemasyarakatan sekaligus meneliti kemajuan sains dan teknologi dan juga media baru yang berkembang.
PENUTUP Usaha ke arah penyelarasan ini tidaklah mudah tetapi ia menuntut tekad politik, ilmu dan pendidikan supaya matlamat melakukan tajdid ilmu dan pendidikan berkembang di seluruh Asia Tenggara dan bakal menghasilkan sumber daya manusia atau modal insan yang memiliki kualiti ilmu yang integratif iaitu Ilmu Mengurus Diri dan Ilmu Mengurus Sistem.

No comments:

Post a Comment

Blog Archive

Cili Api Bloggers

Politik N9

PRU13N9

Gerbang Tempur Puteri UMNO (Malaysia)

My Blog List 2

Popular Posts