Ini ibu ku ketika sihat, sekarang tidak lagi sebegini wajahnya namun aku bersyukur kerana ibu masih mengenali kami dan ibu masih boleh makan dan masih ingat dan masih bioleh tersenyum. |
Tiba-tiba minggu ini kita teringat akan ibu,
bersempena Hari ibu. Bukannya pada hari lain kita
tidak ingat, tetapi kesibukan membanting tulang saban waktu membuatkan
kepala sesak dengan survival – perjuangan untuk hidup.
Yang miskin sibuk mencari seringgit dua, yang kaya mencari sejuta dua.
Ada orang menganggap sambutan hari ibu itu tidak perlu. Alasannya, ibu
ibarat nyawa bagi setiap insan. Tanpa ibu, tiadalah kita di dunia ini.
Jadi, hari ibu adalah setiap hari, bukannya disambut pada hari-hari
tertentu sahaja, apatah lagi cuma sehari dalam setahun.
Ada juga yang
mengatakan idea Hari Ibu dicetuskan di barat sebab orang-orang di sana
terlampau ramai yang sesat barat. Mereka tidak menghormati ibu (dan
bapa) lagi. Ibu diherdik, ditipu, ditinggalkan, dibiarkan hidup melarat
malahan ada yang dibunuh!
Bukan maksud kita
untuk membincangkan boleh atau tidaknya menyambut hari ibu itu di sini.
Kalau kita melihat anak-anak di barat itu derhaka dan biadap terhadap
ibu bapa mereka, cuba kita lihat pula anak-anak di Malaysia.
Adakah
anak-anak kita menghormati ibu bapa mereka selayaknya? Adakah ibu-ibu
disayangi dan menjelang hari tuanya, dijaga dengan sempurna sebagaimana
anak-anak itu dijaga sewaktu kecil mereka?
Tidak pernahkah terjadi
peristiwa ibu dimarah, ditengking, ditipu atau diabaikan? Tidak adakah
ibu yang dihantar ke rumah orang-orang tua? Tidak adakah ibu yang
dibunuh oleh anak kandungnya sendiri?
Memang,
ibu adalah ratu hati. Lupakanlah hari ibu sebagai SATU HARI untuk
mengingati orang yang melahirkan kita itu. Sebaliknya, bayangkan
begini... bersempena hari istimewa yang disambut di seluruh dunia itu,
ambillah kesempatan untuk menjadikan Hari Ibu antara hari paling
istimewa buat ibu kita.
Anggaplah ia satu hari PALING istimewa dalam
setahun di samping 364 hari istimewa lain yang kasih sayang dan
perhatian kita tidak pernah pudar walau sedetik pun.
Cuma, dengan
suasana sambutan yang dipromosi dan diuar-uarkan, lebih mudah untuk kita
mendapatkan hadiah yang mengujakan buat ibu kita. Sudah pasti terdapat
jualan istimewa sempena Hari Ibu atau tawaran makan malam menarik di
hotel-hotel, misalnya.
Ertinya, kita mengambil
yang positif daripada apa yang terjadi di sekeliling kita. Lagipun,
apabila melihat ramai ibu diraikan, berbungalah juga hati ibu kita
apabila mendapati dirinya tidak dilupakan.
Bagaimanapun, menyambut Hari Ibu itu bukanlah wajib.
Sekalipun kita
tidak dapat meraikannya pada hari tersebut, ada seribu satu cara dan
masa lagi untuk kita pamerkan kasih sayang kita kepada ibu.
Bersempena dengan Hari Ibu, ramai anak yang mengambil cuti, membawa ibu
berjalan-jalan, makan-makan, dan tidak kurang pula yang berkumpul
sesama ahli keluarga sambil mengadakan doa selamat.
Tidak kurang juga
para bapa yang mengetuai anak-anaknya membuat kejutan kepada si ibu,
menyediakan juadah, kemudian berdoa panjang untuk kesihatan dan
kesejahteraan ibu anak-anaknya itu.
Buat
anak-anak, renungilah pengorbanan ibu. Ibu telah melahirkan kita dan
adik-beradik yang lain bukan sekali, bahkan ada yang sampai tiga belas
kali! Bayangkanlah sekali sahaja kesakitan yang dialaminya ketika
melahirkan kita itu. Darabkan kesakitan itu dengan dua, tiga, lima,
sepuluh atau mengikut berapa ramai adik-beradik masing-masing.
Bayangkan pula kesusahan ibu membesarkan dan mendidik kita hingga kita
menjadi ‘orang’.
Bagaimana pula perasaan ibu apabila anak-anaknya yang
diasuh dan dicurahkan sepenuh cinta tiba-tiba apabila besarnya tidak
menjadi ‘orang’ bahkan berperangai ‘binatang’?
Sampai saat tuanya, darah
daging anak ini dicampakkan ke pusat-pusat jagaan tertentu. Ada ibu-ibu
yang ditempatkan di sini dahulunya dijumpai berkeliaran seorang diri
walaupun anak-anak kandungnya masih hidup. Aduh...
Setiap anak, khususnya yang sudah berkeluarga, mestilah menjadikan
ibunya sebahagian daripada anggota keluarganya, walaupun si ibu tidak
tinggal bersamanya. Apa sahaja yang mungkin berlaku kepada ibu, si anak
mesti bersedia untuk menyesuaikan jadual kehidupannya untuk memenuhi
tuntutan ibunya.
Percayalah, bagi ibu-ibu yang
tinggal berjauhan dari kita , sebenarnya hati kecil mereka sentiasa
merindui kepulangan anak-anak. Cuma ia mungkin tidak dizahirkan.
Sepatutnya zaman sekarang tiada masalah. Jadi, kerap-keraplah menjenguk
ibu yang jauh itu.
Kalau tidak mampu, buatkan giliran dengan semua
adik-beradik supaya setiap hujung minggu sekurang-kurangnya ada seorang
yang akan balik.
Selain itu, selalulah menelefon ibu. Sediakan telefon
tanpa wayar untuk kegunaan ibu yang sudah terlalu uzur. Bagi ibu-ibu
yang lebih ‘up-to-date’, sidang video menerusi internet menjanjikan
pengalaman yang menyeronokkan.
Ibu tidak
mengharapkan balasan wang ringgit kita. Sebaliknya, kitalah yang
mengharapkan doa restu daripadanya. Jadi, gembirakanlah ibu. Ingat, doa
ibu adalah antara doa yang mudah dimakbulkan Allah.
Berbakti kepada ibu,
lebih-lebih lagi kala umur tuanya sangat dianjurkan oleh Islam. Ia
mengundang rahmat dan keberkatan. Keberkatan hidup di dunia dan akhirat
itulah yang kita dambakan.
Kadang-kadang puas
kita berdoa agar dikurniakan kekayaan, tetapi hidup kita tetap sempit
dari segi kewangan. Dalam masa yang sama, kita tidak sedar bahawa ibu
kita selalu mendoakan kebaikan untuk kita.
Rupa-rupanya Allah lebih
mengabulkan doa ibu. Allah Maha Mengetahui, sekiranya kita kaya, kita
akan lupa diri, tenggelam dalam maksiat, hidup jauh dari keberkatan.
Tetapi dengan keadaan sedia ada, kita tetap berada dalam kebaikan.
Ingat, ibu kita hanya seorang, tetapi apa sahaja sikap dan tindakan
kita terhadap insan yang seorang itu akan memberi kesan kepada seluruh
kehidupan kita. Jangan sekali-kali derhaka kepada ibu bapa, lebih-lebih
lagi ibu kita.
Sekali kita derhaka kepadanya dan tidak memohon maaf,
seluruh kehidupan kita tidak bahagia. Kalau kita mati sebelum ibu
memaafkan kita, azab Tuhan pasti menanti dan boleh jadi ditunjukkan
sebelum kita diusung ke liang lahad lagi.
Doakanlah ibu kita setiap kali selesai mengerjakan solat. Doakanlah
untuknya iman, kesihatan dan kebahagiaan. Sedangkan untuk ibu bapa yang
masih kafir pun anak-anak yang Muslim dianjurkan mendoakan hidayah dan
kebaikan, apatah lagi untuk ibu bapa yang sememangnya Muslim.
Untuk
ibu-ibu yang telah pergi ke alam baqa pula, doakanlah keampunan, rahmat
dan belas kasihan Allah buat mereka.
Rebutlah
peluang untuk melayani ibu kita sebaik mungkin ketika umurnya masih ada.
Biar kita menyesal dahulu kerana masih ada waktu lagi untuk kita
berubah, jangan menyesal kemudian kerana menyesal kemudian tidak
berguna.
SELAMAT HARI IBU UNTUK IBU KU ADAWYIAH BTE ILONG YG BARU KU JENGUK DUA HARI LEPAS.
No comments:
Post a Comment