Barisan Nasional (BN) Negeri Sembilan
menampilkan 21 muka baharu sebagai calon yang akan bertanding di lapan
kerusi Parlimen dan 36 Dewan Undangan Negeri (DUN) negeri ini bagi
menghadapi Pilihan Raya Umum (PRU) ke-13.
Pada majlis pengumuman senarai calon BN, Pengerusi BN negeri Datuk Seri
Mohamad Hasan mengumumkan Naib Ketua Umno Bahagian Jelebu Zainuddin
Ismail sebagai calon bagi kerusi Parlimen Jelebu, Selasa.
Pengumuman itu sekali gus mengesahkan Menteri Penerangan Komunikasi dan
Kebudayaan Datuk Seri Dr Rais Yatim tidak disenaraikan sebagai calon.
Bekas Menteri Besar dan Pengerusi Felda Tan Sri Mohd Isa Abdul Samad
dicalonkan semula untuk bertanding di kerusi Parlimen Jempol, sementara
Ketua Pemuda Umno Khairy Jamaluddin Abu Bakar akan mempertahankan kerusi
Parlimen Rembau.
Menteri Kerja Raya Datuk Seri Shaziman Abu Mansor dan Timbalan Menteri
Kemajuan Luar Bandar Datuk Hasan Malek kekal bertanding di kerusi
masing-masing iaitu di Parlimen Tampin dan Kuala Pilah.
Bagi kerusi Parlimen Teluk Kemang pula, Ketua Penerangan MIC Datuk V.S
Mogan diumumkan sebagai calon, sementara kerusi Parlimen Seremban dan
Rasah akan diwakili muka baharu Teo Eng Kian (Timbalan Setiausaha
Organisasi MCA Negeri) dan pengerusi MCA negeri Datuk Yeow Chai Thiam.
Bagi kerusi DUN pula, Mohamad yang juga Menteri Besar akan
mempertahankan DUN Rantau, sementara veteran Umno yang juga Ketua Umno
Bahagian Seremban Datuk Ishak Ismail dicalonkan bertanding di kerusi DUN
Lenggeng.
Sementara penyandang kerusi Parlimen Jempol Datuk Lilah Yasin dicalonkan bertanding di kerusi DUN Palong.
Terdahulu dalam ucapannya sebelum mengumumkan perkara itu, Mohamad
berkata senarai calon kali ini merupakan gandingan antara pemimpin lama
dan baharu mewakili setiap lapisan masyarakat yang diharap mampu
menjulang BN pada PRU ini.
Katanya, nama-nama yang diumumkan telah disaring dan dinilai pucuk
pimpinan atasan dan mereka yang digugurkan atau tidak dicalonkan perlu
menerima dengan hati terbuka dan perlu bekerjasama sebagai satu pasukan
bagi memastikan kemenangan.
"Janganlah merasa terkilan atau sebagainya sebaliknya kita mesti
pastikan BN menang pada PRU ini bukan hanya menang majoriti mudah tapi
dengan majoriti dua pertiga," katanya.
No comments:
Post a Comment