Nurul Izzah sangkal ibunya, Presiden PKR, tidak bertanding pilihan raya
Nurul Izzah Anwar
                                
KUALA TERENGGANU - Tidak sampai 24 jam berita Presiden Parti Keadilan 
Rakyat (PKR) Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail tidak akan bertanding 
dilaporkan media, anaknya Naib Presiden parti Nurul Izzah Anwar 
menyangkal kebenaran berita itu.
"Itu hanya cakap-cakap politik," katanya malam tadi, walaupun menyedari
 berita itu berpunca daripada KeadilanDaily.com yang memetik bapanya 
Ketua Umum PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim memaklumkan perkara itu kepada 
stesen televisyen  Al-Jazeera Rabu lepas.
"Itu kenyataan dikeluarkan oleh Jabatan Pilihan Raya Pusat (JPRP) 
Keadilan (merujuk kepada KeadilanDaily.com) saja. Setakat ini tidak ada 
perancangan sebegitu dan ia akan dimuktamadkan semasa hari penamaan 
(calon) nanti.
"Saya rasa pengumuman rasmi akan dibuat pada Rabu (depan) oleh Datuk 
Seri Anwar Ibrahim. Beliau akan tahu pastinya mengenai persiapan calon,"
 katanya kepada pemberita selepas menyampaikan ceramah di Chabang Tiga 
di sini.
Kenyataan Dr Wan Azizah tidak akan bertanding dimaklumkan Anwar semasa 
temu bual secara langsung dengan Al-Jazeera pada Rabu, menurut 
KeadilanDaily.com di www.keadilandaily.com semalam.
Nurul Izzah juga tidak percaya Anwar akan beralih angin bertanding di Perak seperti yang dibayangkan bapanya.
"Saya fikir beliau tidak menyatakan yang beliau bersedia bertanding di 
Perak. Ini spekulasi media dan saya sendiri telah mendapat memorandum 
daripada warga Permatang Pauh yang meminta beliau (Anwar) kekal di sana.
"Ada satu dimensi sentimental yang amat unik di Permatang Pauh. Ibu 
saya Wan Azizah telah tiga penggal menjaga kerusi dan berkhidmat di sana
 dan ternyata permintaan mereka untuk (Anwar) kekal di sana harus 
diambil kira," katanya.
Anwar menyandang kerusi Parlimen Permatang Pauh selepas menang pilihan 
raya kecil yang diadakan pada 26 Ogos 2008 ekoran tindakan Dr Wan Azizah
 mengosongkan kerusi itu untuk suaminya.
Mengenai pembahagian kerusi PKR dan PAS di Terengganu, Nurul Izzah 
berkata perkara itu masih dalam perbincangan di peringkat akhir dan akan
 akan ditentukan dalam sehari dua lagi.
Sementara itu di GERIK, Anwar kembali berteka-teki tentang pilihannya 
sama ada bertanding kerusi di Perak atau kekal di Permatang Pauh.
Malam tadi beliau menggunakan alasan 'mahu berbincang' dengan pengundi 
di Permatang Pauh supaya 'mereka tidak berkecil hati' dan meminta tempoh
 24 jam untuk membuat keputusan.
Ini kerana  penyokongnya di Permatang Pauh telah membantu PKR 
mempertahan kerusi itu semasa Dr Wan Azizah bertanding sehinggalah 
beliau mengambil alih, katanya ketika berucap pada ceramah program 
Jelajah Merdeka Rakyat di situ.
Dalam pada itu beliau juga menimbulkan soalan: "Kalau saya bertanding 
di Perak, boleh ka? Saya memang bercadang bertanding di Perak, saya 
tujuh tahun di Kuala Kangsar (Kolej Melayu Kuala Kangsar), dan saya dua 
tahun (sebagai tahanan Akta Keselamatan Dalam Negeri) di Kamunting, 
Perak. Sembilan tahun di Perak, takkan tak boleh jadi ahli Parlimen 
Perak kot".
Anwar turut mengumumkan bekas Ketua Staf Logistik Markas Armada 
Laksamana Pertama Mohamad Imran Abdul Hamid sebagai calon PKR bagi 
kerusi Parlimen Lumut manakala Ketua Angkatan Muda Keadilan Perak Dr 
Meor Ahmad Isharra Ishak calon
kerusi Parlimen Padang Rengas.
Ketua pembangkang itu sebelum ini mengumumkan Dr Lee Boon Chye akan 
mempertahan kerusi Parlimen Gopeng, Mustafa Kamil Ayub pula sebagai 
calon PKR bagi kerusi Parlimen Pasir Salak dan Dr Muhammad Nur Manuty di
 Bagan Serai.- Bernama
 

 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
No comments:
Post a Comment