KOMENTAR,
29 JAN : Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Azizan Abdul Razak tegas.
Beliau tidak mahu berganjak dari keputusannya enggan menarik balik
hukuman menggantung lima pelajar Kolej Universiti Insaniah (KUIN).
Baginya, peruntukan Akta Universiti dan Kolej Universiti (AUKU) perlu
dikuatkuasakan untuk mendisiplinkan pelajar.
Dengan
perkataan lain, beliau enggan menghiraukan pandangan pihak lain,
termasuk dari partinya sendiri PAS bahawa semangat AUKU kini sudah lapuk
dan harus dimansuhkan.
Pas, dan kerabat
Pakatan Rakyat berjanji sebelum ini bahawa AUKU akan dihapuskan jika
berjaya menawan Putrajaya. Ini termaktub dalam Buku Jingga, manifesto
Pakatan Rakyat.
Namun Azizan bersedia dipecat
dari kedudukan Menteri Besar kerana yakin AUKU mestilah digunakan untuk
menyaring disiplin pelajar. Pandangan itu seiras dengan pemikiran bekas
Presiden Umno, Tun Dr Mahathir Mohamed bahawa AUKU masih relevan dengan
iklim politik mahasiswa hari ini.
Pemimpin
pelajar “lima serangkai” KUIN dihadapkan pada Jawatankuasa Disiplin 25
Mei 2011 kerana melanggar AUKU dengan terbabit dalam tunjuk perasaan
memprotes keputusan KUIN mahu menjadikan bangunan tahfiz menjadi sekolah
bestari.
Mereka didakwa menggunakan pembesar
suara, memanggil sidang media dan berucap dalam tunjuk perasaan
berkenaan. Seorang daripada mereka, Mohd Faiz Mohd Arshad digantung
pengajian dua semester sementara empat yang lain digantung satu
semester. Mereka juga diberikan surat amaran.
“Lima
serangkai” ini juga telah mengemukakan kes mereka ke mahkamah.
Bagaimanapun Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur menangguhkan perbicaraan 18
Januari lalu ke satu tarikh yang belum ditetapkan.
Sikap
Azizan ini tegas dan berani. Suara penentangan daripada pihak Pakatan
Rakyat dan “orang luar” seperti Profesor Abdul Aziz Bari, tidak
menggerunkannya. Kata Azizan, KUIN ialah produk kerajaan Negeri.
Beliau
berhujah KUIN diserahkan kepada pasukan pentadbir yang perlu
berpandukan AUKU dalam pengurusan ehwal pelajar. Maka menteri besar ini
memberi kepercayaan penuhnya kepada pasukan pentadbir KUIN untuk membuat
keputusan berhubung kes itu.
Sukar hendak
pastikan mengapa dan apa yang mendorong Azizan begitu tegas. Tidak pasti
sama ada faktor usia menyebabkan Azizan bersependapat dengan Mahathir
atau beliau menganggap pandangan parti tidak bijaksana. Di peringkat ini
sukar juga hendak dipastikan cara dan unsur apa yang mempengaruhi
Azizan dalam membuat sikapnya.
Yang pasti,
menjelang pilihanraya umum ke-13, pemimpin kanan parti, terutama seperti
Azizan seharusnya lebih berhemah menyatakan pendirian dan menguruskan
isu-isu politik yang melilit kepemimpinannya. Nampaknya Azizan tidak
ambil peduli soal persepsi pengundi. Baginya, yang benar tetap benar.
Dalam isu KUIN beliau yakin akan ketepatan keputusannya.
Kenyataan Azizan ini benar-benar mencabar kesesuaian nasihat Rasulullah S.A.W perbezaan pendapat adalah satu rahmat.
Ini
Namun menurut kebijaksanaan apu pun, di ambang pilihanraya umum, adalah
tidak bijaksana untuk menyerlahkan perbedaan pandangan di kalangan saf
pemimpin. Sebab itu, PKR tangguh mengambil tindakan terhadap menteri
besar Selangornya walau tidak disenangi oleh ramai pemimpin parti.
Di
satu segi mungkin Azizan mahu bersikap adil dan demokratik terhadap
pasukan pentadbir KUIN. Mungkin pada perkiraan Azizan memperkasakan
pasukan akademik dan pentadbiran KUIN pun mungkin boleh meraih sokongan
golongan pentadbir kolej itu khususnya dan rakyat di Kedah amnya. Namun
bagaimana dengan persepsi pengundi di luar lingkungan ini? Seriuskah
Pakatan Rakyat hendak memberi kebebasan akademik kepada golongan
pelajar?
Soalnya, benarkah isu KUIN adalah
soal kerajaan Negeri dan tidak kena mengena dengan urusan peringkat
nasional, baik bagi kerajaan BN mahupun Pakatan Rakyat? Jika Azizan
di”lepaskan” dengan sikap dan pemikiran begini, di mana Pakatan Rakyat
hendak letak muka? Belum memerintah, ia sudah menunjukkan kelemahan
tidak mampu mendisiplinkan pandangan pemimpin-pemimpin di kalangan
kerabatnya?
Tidakkah isu ketegasan Azizan (atau
kedegilannya) ini akan mendorong pemimpin kerabat Pakatan Rakyat untuk
campurtangan dan memulas sekali lagi tangan pemimpin PAS supaya
mengambil tindakan mendisiplinkan Azizan seperti dalam kes bekas
Pesuruhjaya PAS Selangor, Datuk Hasan Ali?
Bila
Hasan melanggar sempadan protokol berkerabat Pakatan Rakyat dengan
mempertikai kewibawaan Ketua Umum Parti Keadilan Rakyat (PKR), Anwar
Ibrahim, PAS memecat Hasan. Adakah Azizan akan menghadapi nasib yang
sama?
Jika demikianlah kesudahanya, apakah
isyarat dan persepsi yang terbina terhadap mutu dan falsafah
kepemimimpan PAS? Tidakkah ini akan membenarkah persepsi bahawa PAS
hanya parti ‘Pak Turut” dalam Pakatan Rakyat?
Adakah
Pas akan mengulangi persepsi yang sama dalam rentetan kes Hasan Ali?
Apabila kewibawaan dan citra parti Islamnya dipersoalkan bila Menteri
Besar Selangor, Tan Sri Khalid Ibrahim mengambil alih portfolio Exco
Agama Islam dari Pas, pemimpin-pemimpin kanan PAS Selangor bergegas
mengadakan sidang media untuk menyatakan keyakinan terhadap pengetahuan
agama Khalid dan kesesuaian beliau menjawat Exco Agama Islam!
Yang
mempertikaikan tindakan Azizan bukan sekadar ahli biasa. Ia termasuk
sayap pemuda PAS yang dipimpin ulama muda. Adakah perbezaan pendapat ini
membawa rahmat? Mungkin ia akan menonjolkan sikap tolenrasi dan
demokratik PAS terhadap perbedaan pandangan di kalangan pemimpinnya.
Namun tidakkah gelagat Azizan ini mengesahkan ada pemimpin parti itu
sendiri yang masih bersilang pendapat dan halatuju kerabat Pakatan
Rakyat lain?
Jika demikian keadaannya,
persoalan yang pasti berlegar di kalangan rakyat atas pagar ialah,
bagaimana hendak percaya Pas benar-benar berjuang di atas motto “PAS for
All” jika pandangan komponen dalam kepemimpinan partinya sendiri mampu
(dan dibiarkan) menyanggah pendirian kerajaan campuran Pakatan Rakyat
yang hendak didirikan?
Apapun ketegasan Azizan
mungkin menyemarakkan semangat sesetengah ahli Pas bahawasanya Buku
Jingga yang menjadi anutan Pakatan Rakyat bukan Al-Quran. Azizan telah
membuktikan bahawa lantaran itu, ahli PAS boleh memilih untuk menuruti
piagam Buku Jingga atau menolaknya bila-bila perlu.
Isyarat
yang jelas dari gelegat Azizan ini ialah rakyat juga bebas percaya atau
tidak percaya keikhlasan Pakatan Rakyat mahu memimpin Malaysia ke arah
pembentukan Negara yang lebih adil dan demokratik.
Nota : TB tersilap kerana menyangka semua pemimpin PAS sudah taksub kepada Nabi Nik , Rupa rupanya ada lagi yang masih celik dan faham serta berani menafikan bahawa buku Jingga bukan Al Quran.Taksub betul juak juak PAS ini yang boleh menganggap buku jingga bagaikan sebuah Al Quran.Nik aziz sebagai nabi, Anwar Ibrahim sebagai Imam Mahadi.
No comments:
Post a Comment