Kebebasan yang ditawar media alternatif menerusi Internet telah menimbulkan beberapa situasi yang menyaksikan pembohongan boleh dilihat sebagai kebenaran dan sebaliknya, kata bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad.
Beliau berkata, menerusi media alternatif, sesiapa sahaja boleh memuat
naik sebarang kenyataan yang mereka suka secara langsung di Internet,
tanpa sebarang kawalan kerana tidak ada pengurus, editor atau penyunting
untuk mengubah isi kandungannya.
"Bahasa kesat dan berbaur perkauman juga menyebabkan ketegangan semakin
meningkat di kalangan masyarakat. Segala jenis tuduhan dibuat tanpa
sebarang asas. Ketika ini, kita boleh melihat klip video yang telah
diubah, dimuat naik dalam YouTube," kata beliau dalam entri terbaharu
blognya.
Dr Mahathir merujuk klip video yang menunjukkan Perdana Menteri, Datuk
Seri Najib Tun Razak menyoal khalayak di Pulau Pinang baru-baru ini sama
ada mereka bersedia untuk Barisan Nasional (BN), yang seolah-olah
dijawab dengan perkataan 'tidak'.
"Kini didapati perkara itu dilakukan dengan membawa satu kumpulan yang
dilengkapi kamera video dan mikrofon ke dalam khalayak. Apabila PM
menyoal 'Adakah anda bersedia untuk BN', kumpulan ini menjeritkan
'tidak' sebagai respons.
"Ia kelihatan seolah-olah keseluruhan khalayak menjeritkan perkataan
'Tidak'. Walhal hanya satu kumpulan ini yang menjeritkan 'Tidak' kepada
mikrofon mereka. Perkataan 'Ya' daripada sekumpulan besar khalayak lagi
tidak dirakam dan dimasukkan dalam klip video yang dimuat naik di
YouTube.
\
"Rakaman ini segera dimuat naik ke YouTube dan merebak ke blog lain.
Meskipun terdapat video lain, yang menunjukkan khalayak mengangkat
tangan dan menjeritkan perkataan 'Ya', dimuat naik dalam YouTube selepas
itu, kebanyakan orang tidak mempedulikannya. Mereka terus mempercayai
klip video palsu ini," katanya.
Menyedari perkara ini adalah hasil langsung kebebasan yang ditawar
media alternatif, Dr Mahathir berkata, "Kebebasannya hampir mutlak."
Dr Mahathir berkata, meskipun media alternatif memberi kebebasan kepada
semua orang untuk menghebahkan apa sahaja yang mereka suka, penggodam
dan yang lain juga boleh menyekat entri sesiapa yang mereka pilih.
"Setakat ini, saya sendiri terpaksa menukar lima laman untuk blog saya
kerana entah bagaimana ia diusik sehingga menyebabkan orang ramai tidak
boleh mengakses blog saya, dan saya berjaya disenyapkan.
"... Namun saya tidak boleh berbuat apa-apa untuk menghentikan orang
yang mungkin ingin menghalang kebebasan saya menerusi media alternatif,"
katanya. - Bernama
No comments:
Post a Comment