KUALA LUMPUR 10 Ogos - Akuan
bersumpah penyiasat persendirian, P. Balasubramaniam yang menuduh Perdana
Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak terlibat dalam kes pembunuhan Altantuya
Shaariibuu didakwa dirancang pihak tertentu termasuk beberapa pemimpin
pembangkang.
Perkara itu didedahkan pengendali portal propembangkang,
Raja Petra Kamaruddin selepas beliau mendedahkan peraranan seorang pemimpin
Parti Keadilan Rakyat (PKR), Ahli Parlimen Subang, R. Sivarasa bersama seorang
peguam di sebalik akuan bersumpah tersebut bagi memfitnah Najib.
Dalam pendedahan di portal
malaysia-today.net itu beliau turut menyebut pembabitan beberapa pemimpin
pembangkang dan peguam yang terlibat dalam merancang untuk menghasilkan akuan
bersumpah berkenaan termasuk M. Puravalen yang didakwa mempunyai hubungan rapat
dengan ahli perniagaan, Datuk Seri Kalimullah Masheerul Hassan.
Raja Petra
mengakui semua kenyataan yang dibuat Balasubramaniam pada sidang akhbar di Ibu
Pejabat PKR memang telah dirancang lebih awal agar penyiasat persendirian itu
tidak tersalah cakap. Pada masa sama Raja Petra mengakui Balasubramaniam dibayar
untuk membuat akuan bersumpah tersebut dan dakwa beliau, perkara itu memang
diketahui Ketua Pembangkang,
Datuk Seri Anwar Ibrahim. "Saya bertemu
Balasubramaniam 2 Julai 2008 iaitu sehari selepas beliau membuat akuan
bersumpah. Pertemuan itu berlaku selepas saya dihubungi Sivarasa yang meminta
saya pergi ke rumah seorang peguam bagi membincangkan kes pembunuhan Altantuya.
"Kami berbincang bagaimana perkara ini perlu ditangani dan apa yang
Balasubramaniam perlu cakap semasa sidang akhbar yang akan dibuat keesokan hari
di Ibu Pejabat PKR," dakwanya sebagaimana dipetik dari
malaysia-today.net.
Pada 1 Julai 2008, Balasubramaniam mengejutkan negara
apabila mengeluarkan akuan bersumpah mengaitkan Perdana Menteri dalam pembunuhan
tersebut tetapi selang dua hari kemudian penyiasat persendirian itu membatalkan
akuan bersumpah berkenaan.
Dalam pada itu, Raja Petra mendakwa Anwar telah
mengarahkan seorang tauke Cina membayar kepada Balasubramaniam sebanyak RM20,000
sebulan bagi memastikan penyiasat persendirian tersebut terus menyokong
pembangkang.
Katanya, langkah itu diambil selepas Balasubramaniam dikatakan
sedang melakukan rundingan rahsia bagi membolehkan beliau mendapat bayaran RM5
juta menyebabkan Anwar bimbang jika penyiasat persendirian tersebut membongkar
rahsia mereka.
Dalam pada itu, Sivarasa dan Balasubramaniam gagal dihubungi
malam ini untuk mengesahkan dakwaan Raja Petra tersebut.
No comments:
Post a Comment