
Filem terbitan Pesona Pictures, Tanda 
Putera akan mula ditayangkan di seluruh pawagam pada 15 November 2012 
akan datang. 
Menurut pengarah filem ini, Datin Paduka Shuhaimi Baba, 
pertukaran tarikh tayangan sama sekali tidak menjadi isu kepada pihaknya
 dan bersetuju dengan tarikh tersebut.
“Tarikh ini dikira paling sesuai kerana 
bersempena dengan permulaan cuti sekolah hujung tahun dan memberi lebih 
ruang dan masa bagi FINAS dan kami merancang promosi filem ini.”
Sebelum ini filem Tanda Putera dihentam 
hebat oleh sesetengah pihak dan timbulnya dakwaan yang menyatakan watak 
seorang pemimpin DAP telah digambarkan dalam filem ini. Akan tetapi 
Shuhaimi Baba telah menegaskan bahawa itu sama sekali tidak benar dan 
kesemua jalan cerita dipetik daripada kisah sejarah Malaysia yang 
lampau. Oleh itu, ia langsung tiada kene mengena dengan propaganda 
politik sekarang.
“Dia tidak ada  dalam filem ini. Kami 
telah beberapa kali menegaskan dan ingin mengulang bahawa tidak ada 
watak pemimpin DAP itu dalam Filem Tanda Putera,” jelas Shuhaimi Baba 
sewaktu sidang media filem ini berlangsung semalam.
“Terlalu banyak tuduhan palsu dan 
dakwaan yang membingungkan serta tidak berasas. Serangan berterusan ini 
memberi tekanan berat kepada tenaga penerbitan serta artis filem Tanda 
Putera.”
Filem Tanda Putera turut menyelitkan 
adegan berkaitan peristiwa sekitar 13 Mei, akan tetapi ia hanya 
ditayangkan dalam waktu yang singkat dan ia hanya merupakan latar kepada
 cerita utama.
“Adegan berkaitan peristiwa sekitar 13 
Mei memakan masa hanya selama 10 minit daripada filem berdurasi 115 
minit ini. Adegan tersebut hanya merupakan latar kepada cerita utama 
bagi menjelaskan mengapa Tun Dr.Ismail yang telah bersara terpaksa 
kembali menyertai Kabinet. 
Cerita utamanya ialah tentang Perdana Menteri
 Malaysia kedua, Tun Abdul Razak dan Timbalannya Tun Dr Ismail, 
persahabatan dan perjuangan mereka memulihkan negara daripada trauma 13 
Mei dan kematian mereka yang tidak diduga.”
Selain itu, pihak produksi filem Tanda 
Putera berharap agar sebarang spekulasi negatif yang dilemparkan sebelum
 ini segera diberhentikan dan kata-kata terakhir pengarah filem ini 
adalah, “Saksikan filem ini dan buatlah kesimpulan sendiri.”
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
Patutnya ada sebab sejarah tidak menipu...memang benar dia ada kencing kat tiang bendera pada malam kejadian tu...
ReplyDelete