Mangsa reformasi di Indonesia |
Kaji selidik rasmi yang dilakukan oleh Indo Barometer pada 25 April
sehingga 4 Mei 2011 menemukan jawapan yang tentu sahaja sukar untuk
diterima oleh para reformis Indonesia yang terlibat secara langsung
dalam gerakan reformasi jalanan pada tahun 1998.
Mengikut kajian tersebut yang dijalankan di sejumlah 33 wilayah
merumuskan Orde baru yakni polisi pemerintahan zaman bekas Presiden
Suharto yang digulingkan ternyata jauh lebih baik berbanding Pasca
Reformasi 1998.
Sejumlah 28.2 peratus responden dari seramai 1,200 orang yang
ditemubual menyatakan pasca reformasi menyebabkan tahap kehidupan rakyat
lebih buruk dan amat tidak memuaskan.
Manakala sejumlah 27.2 peratus lagi menyifatkan pasca reformasi 1998
lebihkurang sama sahaja seperti sebelumnya. Hanya 22.8 peratus sahaja
bersetuju pasca reformasi adalah lebih baik berbanding Orde baru zaman
Suharto.
Kenyataan hasil kajian tersebut ada benarnya kerana tiga tahun
sebelumnya yakni pada tanggal 20 Mei 2008, ribuan mahasiswa dan rakyat
Indonesia telah memprotes kegagalan pemerintahan pasca reformasi yang
gagal membantu kehidupan rakyat.
Jika 10 tahun sebelum itu mereka berhimpun di jalanraya menuntut
pengunduran Suharto sebagai Presiden, tanggal 20 Mei 2008 mereka seperti
menyesali penyertaan rakan-rakan mereka dalam demonstrasi jalanan era
reformasi yang ternyata hanya indah khabar dari rupa.
Dari segi ekonomi pula nyata tiada perubahan yang berlaku walaupun
tampuk pemerintahan berkali-kali bertukar tangan sejak era pasca
reformasi. Indonesia terus kekal sebagai penyumbang terbesar dalam
sektor pembantu rumah kepada negara-negara lain.
Satu-satunya kejayaan mereka disebalik gerakan jalanan reformasi 1998
ialah kebebasan yang lebih baik berbanding zaman Suharto namun
natijahnya pula membawa keburukan dari segi hubungan sesama rakyat
berbilang kaum dan agama.
Sudah 14 tahun era reformasi 1998 di Indonesia berlalu dan dalam
jangka masa tersebut ratusan peristiwa berdarah terjadi yang memburukkan
suasana hubungan kaum dan agama.
Reformasi 1998 terbukti gagal merubah nasib rakyat, realitinya hingga
kini agak ramai rakyat Indonesia seakan merindui kembali ketegasan
Suharto memimpin negara mereka.
Jika demikian hakikat selepas 14 tahun orde reformasi Indonesia gagal
sama sekali dalam merubah nasib rakyatnya, mana mungkin untuk kita
rakyat Malaysia menyambut baik gerakan reformasi yang sama acuannya.
Umum menyedari, sejarah reformasi di Malaysia khususnya yang
dipelopori oleh Anwar Ibrahim segalanya diceduk dan diciplak dari
Indonesia.
Saat Indonesia dilanda permulaan kelam zaman reformasi pada bulan Mei
1998, sebulan kemudiannya yakni pada 18 Jun 1998 Anwar mula melaungkan
teori reformasi dengan harapan tempias di Indonesia akan menyemai ke
sanubari rakyat seterusnya membantu dirinya ke puncak kuasa.
Selepas kehilangan jawatan Timbalan Perdana Menteri, bermula 2
September 1998 Anwar memanipulasi sepenuhnya semangat gerakan reformasi
Indonesia yang akhirnya menyaksikan ibukota Kuala Lumpur hampir lumpuh
dengan demonstrasi jalanan di merata tempat.
Gedung perniagaan dan premis kerajaan terpaksa di tutup, huru hara
dan rusuhan bermaharalela di sekitar Kuala Lumpur. Tika itu sebahagian
besar mahasiswa universiti yang terpengaruh dengan adu domba slogan anti
KKN (korupsi, kronisme dan nepotisme) yang dilaungkan oleh Anwar
beramai-ramai turun ke jalanan.
Manakala masyarakat Cina Malaysia telah mengambil langkah
berhati-hati memandangkan sejarah hitam reformasi di Indonesia yang
menyebabkan berlakunya peristiwa berdarah pembantaian kaum Cina
Indonesia masih segar dalam ingatan.
Bagaimanapun setelah kalut ribut rusuhan di Kuala Lumpur seakan
hampir mirip dengan apa yang berlaku di Indonesia, menyebabkan mereka
secara total menolak perlakuan ganas yang diimport dari negara jiran
tersebut.
Mereka sedar, jika sudah buruk permulaan sesuatu gerakan yang
menyebabkan ramai nyawa tidak berdosa menjadi mangsa hingga ramai gadis
dirogol dan dilapah kulitnya kerana prasangka kaum dan agama, tentu
sahaja sukar sekali untuk mengambil teladannya untuk diimplementasikan
dalam negara sendiri.
Malah kalut malut era reformasi Indonesia diikuti kejadian sama di
Malaysia nyata hanya merosakkan suasana pemulihan ekonomi negara selain
mengancam nyawa dan harta benda rakyat.
Majoriti rakyat Malaysia, baik Melayu, Cina, India dan lain-lain
akhirnya sependapat perubahan ganas di negara jiran bukan jawapan
terbaik apatah lagi ianya disemai oleh seorang politikus yang hanya
mengutamakan kepentingan diri sehingga sanggup menggadaikan ketenteraman
negara.
Justeru itu, budaya politik ciplak dan songsang yang dirintis oleh
Anwar telah terbukti gagal dan tidak sesuai untuk diamalkan di negara
kita yang tercinta ini. Tiada sebab untuk kita meneladaninya apatah lagi
untuk dibudayakan di negara ini.
Reformasi jalanan bukan cara kita dalam membangunkan negara yang
pelbagai kaum dan agama, hanya transformasi yang berhemah dan kepimpinan
yang berdaya saing, jitu pemikiran dan cakna rakyat sahaja yang mampu
membawa kita makmur dan maju ke depan.
Bila kau nk majukan sabah wahai si bangsat?
ReplyDeleteHasil bumi kami habis dikaut kerajaan persekutuan.. tp kami masih berada d tampuk kemiskinan.. malah sabah menjadi salah satu negeri termiskin d Malaysia.. Sampai bila???!!!!!!!!