Ketua Pergerakan Wanita UMNO Malaysia, Datuk Sri  Shahrizat Jalil dalam ucapan dasar Perhimpunan Agung Pergerakan  tersebut, mencabar Ketua Pergerakan PKR, Zuraida Kamaruddin agar  mendesak Presiden mereka, Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail meletak  jawatan sekiranya dia benar-benar mahu menjadi jaguh di medan politik.
Katanya, sekiranya Zuraida boleh mencabarnya untuk meletak jawatan  kerana suaminya merupakan Pengerusi Perbadanan Fidlot Nasional (NFC),  maka seharusna Zuraida juga harus mendesak Wan Azizah meletak jawatan  kerana dia adalah isteri kepada Anwar Ibrahim yang telah dihukum dan  disabit dengan pelbagai kesalahan yang sehingga kini masih belum  selesai.
“Saya tidak ada kena mengena. Saya menjalankan tugas saya, suami saya  menjalankan tugas dia. Dia hendak saya letak jawatan? Kalau itu dasar  dan prinsip dia, saya hendak dia menggesa Presiden PKR untuk meletakkan  jawatan. Barulah dia (Zuraida) itu jaguh, betul tak? Saya belum pun tiup  semboyan lagi,” ujarnya.
Dalam ucapannya juga, Shahrizat berkata, beliau menyerahkan masa  hadapan dan kedudukannya dalam menghadapi Pilihan Raya Umum (PRU) 13  kepada Presiden Parti namun begitu, beliau akan menyerahkan seberapa  ramai nama calon wanita untuk dipertimbangkan sebagai calon pilihan  raya.
“Asas pertimbangan saya mudah iaitu Wanita UMNO sememangnya mempunyai  ramai calon ‘winnable candidate’ ataupun yang boleh menang. Mereka  berada di merata tempat dari Perlis hingga ke Sabah.
“Nasib diri saya, jangan siapa khuatiri. Kedudukan saya biarlah  Presiden parti yang tentukan apabila tiba masanya kelak. Apa yang  penting, Wanita mesti berjuang dalam satu pasukan yang bersepadu dan  berdisiplin, di atas satu landasan dan wawasan yang jelas untuk mencapai  matlamat kemenangan PRU 13,” jelasnya.
Katanya lagi, sekarang ini bukanlah masa untuk Wanita leka di buai  angan-angan Mat Jenin dan berpeluk tubuh serta berasa selesa dengan apa  yang telah dilaksanakan dan dicapai.
“Dengan kekuatan seramai 1.3 juta ahli, kita Wanita UMNO mesti  melipat gandakan usaha, memantapkan jentera parti, melebarkan sayap agar  terus menjadi pemain utama dalam meraih kemenangan besar BN dalam PRU  akan datang,” kata Shahrizat
 

 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
No comments:
Post a Comment