Beliau tewas dalam usaha merebut jawatan
Ahli Majlis Tertinggi (MT) dalam pemilihan UMNO 2009 dan mencuba nasib
kali kedua dalam pemilihan parti kali ini.
Pemimpin dimaksudkan ialah Menteri Besar
Negeri Sembilan, Datuk Seri Mohamad Hassan yang juga Ahli Dewan
Undangan Negeri (ADUN) Rantau.
Walaupun beliau layak berada dalam
mesyuarat MT atas kapasitinya sebagai Pengerusi Badan Perhubungan UMNO
Negeri Sembilan, namun statusnya sebagai ‘turut hadir’ dan perlu
‘meminta izin’ Presiden jika hendak menyuarakan pandangan dan idea
dianggap agak mengehadkan peranannya membantu mengukuhkan parti.
Ikuti pandangan dan harapan calon MT
nombor 40, Datuk Seri Mohammad Hassan yang juga Ketua UMNO Bahagian
Rembau mengenai pendiriannya bertanding jawatan MT kali ini.
S: Datuk Seri
pernah mencuba nasib bertanding dalam pemilihan UMNO 2008 tetapi tewas.
Apa yang mendorong Datuk Seri bertanding kali ini?
J: Saya menawarkan diri
bertanding jawatan MT bagi membolehkan saya dapat bersama-sama
menyokong dan membantu kepimpinan Presiden, Datuk Seri Najib Razak sama
ada dalam politik atau pentadbiran.
Sebagai Pengerusi Badan Perhubungan UMNO
negeri, saya merasakan berada dalam MT akan membuka ruang lebih luas
dan kukuh bagi saya memberikan sumbangan kepada parti dan dapat membawa
suara dari dan kepada akar umbi.
Jawatan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO
negeri ibarat jambatan. Kiita boleh menjadi jambatan membawa apa saja
pesanan, hasrat dan dasar Presiden kepada akar umbi di Bahagian semasa
mesyuarat perhubungan negeri.
Jambatan dua hala ini juga membolehkan
saya membawa apa saja pandangan dan cadangan serta masalah di peringkat
akar umbi untuk kita bawa, bincangkan dan bentangkan dalam MT. Maka,
berasaskan kepada ada fungsi itu, saya menawarkan diri kali ini untuk
bertanding sebagai calon MT
S: Ada cadangan
dan pandangan daripada pemimpin UMNO supaya Menteri Besar tidak perlu
bertanding merebut jawatan MT kerana mereka lazimnya turut serta dalam
mesyuarat MT. Apa pandangan Datuk Seri?
J: Memang betul Menteri
Besar hadir dalam mesyuarat MT tetapi kita dijemput. Hendak bercakap
perlu minta izin Presiden. Akan tetapi jika kita Ahli MT, salurannya
lebih terus.
Kalau Pengerusi Badan Perhubungan UMNO
negeri menjadi Ahli MT, ia boleh membantu mengukuhkan Presiden. Itu
pandangan saya. Persoalannya bukan sekadar hadir, tetapi apa peranan
kita hendak memperkukuhkan parti.
Presiden adalah satu institusi dan ia
perlu dipertahan dan diperkukuh. Kalau entah siapa-siapa bertanding
nanti, Presiden juga yang susah. Presiden perlu kumpulan yang boleh
memberi sumbangan, sokongan dan dokongan kepadanya untuk memperkukuhkan
parti ini. Saya lihat ketika bertanding pada 2008, saya tidak ada
apa-apa sangat dan tidak keluar (kempen) sangat.
Kali ini saya keluar juga kerana saya
hendak UMNO kuat dan kukuh serta bersedia mulai dari sekarang untuk
menghadapi Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14). Besar kemungkinan kita
(UMNO) akan berseorangan. Apa juga kemungkinan itu, UMNO mesti
menerokainya dan jangan menganggap perkara itu mustahil berlaku.
Kita kena teroka. Kalau kita
berseorangan dalam PRU-14, apa perlu kita buat. Kalau masih bersama, apa
perlu kita buat. Jangan kita jatuh terduduk. Apabila UMNO kuat dan
kukuh, orang selalunya bergantung kepada pokok yang kuat.
Siapa yang hendak bergantung kepada
pokok condong menunggu rebah. Hasrat saya adalah hendak melihat UMNO
kuat, kukuh dan menjadi tempat orang Melayu menaruh harapan.
S: Setakat ini
adakah Datuk Seri dapat membaca peluang merebut jawatan MT kali ini
kerana ada 63 calon bertanding, termasuk mereka yang hendak
mempertahankan jawatan?
J: Adat bertanding
biasanya ada peluang cerah dan tidak cerah. Itu sebab saya keluar
(bertemu perwakilan). Kalau saya tidak keluar, pasti akan kalah. Orang
akan kata saya sombong. Orang juga akan berkata, kita tidak pandang
orang.
Pemilihan sekarang tidak sama seperti
dulu. Format baru sekarang membenarkan 146,000 memilih, maka kita kena
pergi bertemu perwakilan seperti ke majlis memperkenalkan calon anjuran
UMNO pusat, badan perhubungan negeri dan bahagian. Kalau tidak turun
nanti susah orang hendak kenal kita.
Peluang itu insya-Allah. Itu sebab saya
katakan, ahli UMNO perlu buat penilaian baik sebelum pilih pemimpin
untuk diberi tanggungjawab memimpin parti ini. Jangan jadikan pemilihan
kali ini sebagai pesta ria. Kita bukan hendak pergi berseronok.
Perwakilan di cawangan mempunyai tanggungjawab besar untuk meletakkan
kepercayaan pemimpin yang diberi mandat memimpin parti.
Perwakilan kena bijak memilih, parti
kita berdepan masalah besar. Tidak betul memilih orang, kita akan
berdepan masalah. Tujuan kita kali ini adalah hendak memantapkan dan
memperkukuhkan lagi UMNO bagi menghadapi apa juga cabaran dalam PRU-14.
S: Apakah
pandangan Datuk Seri terhadap format pemilihan kali ini. Sejauh manakah
ia selari dengan usaha transformasi dan meremajakan parti.
J: Format pemilihan
yang baru ini adalah sebahagian daripada usaha Presiden melakukan
transformasi parti. Di mana lagi kita hendak cari parti seperti UMNO
yang terbuka seperti hari ini. Sesiapa saja boleh mencabar Presiden dan
ketua UMNO bahagian termasuk saya hadapi hari ini.
Dalam soal hendak meremajakan UMNO, ia
bukan sekadar menyentuh aspek umur sebenarnya, tetapi lebih menjurus
kepada pendekatan kita. Bagaimana kita menjalankan kerja dan merangka
dasar kita. Ia menyentuh soal cara bekerja dan pendekatan kita. Kita
mesti inklusif, bukan lagi eksklusif. Dulu kita syok sesama sendiri.
UMNO parti mewakili orang Melayu dan
UMNO parti kerajaan. Apabila kita menjadi parti kerajaan, secara
automatik pemimpin UMNO adalah pemimpin kerajaan. Maka pemilihan kali
ini adalah juga memilih siapa yang akan bersama Presiden dan Perdana
Menteri untuk merangka dasar negara, dasar luar negara, dasar ekonomi,
kewangan dan keselamatan. Ini ciri-ciri pemimpin yang kita perlu pilih
iaitu yang ada kewibawaan dan pengalaman.
S: Datuk Seri
ada menyatakan yang pemilihan UMNO kali ini amat terbuka. Jika dilihat
senario hari ini, jawatan Datuk Seri sebagai Ketua UMNO Bahagian Rembau
turut dicabar. Adakah keputusan bertanding bertanding jawatan MT adalah
platform untuk menyelamatkan karier politik Datuk Seri seandainya
keputusan di bahagian tidak memihak kepada Datuk Seri?
J: Saya bertanding
bukan untuk menyelamatkan diri. Saya hendak selamatkan apa? Sesiapa saja
hendak bertanding di bahagian, bertandinglah. Saya bertanding MT kerana
mahu menyumbang kepada parti dan hendak memastikan parti kuat lagi
kukuh.
Saya tidak kisah orang bertanding
melawan saya. Ini keterbukaan. Kita pula tidak disekat. Saya juga tidak
nampak pertandingan di peringkat bahagian akan memberi impak kepada saya
kerana pemilihan diadakan dalam sehari.
Lainlah kalau pemilihan di bahagian
diadakan dulu dan selepas seminggu atau sebulan, baru pemilihan MT
diadakan. Misalnya jika tewas di bahagian, sudah tentu akan beri impak
bagi sesiapa yang bertanding di MT. Pemilihan hari ini dibuat sekali,
maka tidak ada impak kepada calon MT.
No comments:
Post a Comment