SEREMBAN 28 Okt. - Kerajaan negeri akan mengambil
tindakan tegas terhadap pihak yang terlibat dalam sebarang aktiviti
menggugat akidah umat Islam termasuk ajaran Syiah Imamiah.
Menteri Besar, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, amaran telah diberikan dan pewartaan menghalang ajaran itu sudah dibuat.
''Jangan ingat kita tidak pantau atau tidak tahu apa yang mereka
lakukan. Kita tahu gerakan mereka dan jangan salahkan kerajaan jika
individu terlibat ditahan.
''Tindakan tegas akan diambil dan amaran sudah diberikan. Jangan
rosakkan akidah umat Islam dan kerajaan sedang mengumpulkan semua
bukti," katanya di sini hari ini.
Mohamad berkata demikian ketika mengulas program penjelasan dan
pencerahan bahaya ancaman Syiah Imamiah yang bertentangan dengan
pegangan Ahli Sunnah Wal Jamaah di negeri ini.
Menurut beliau, terdapat pelbagai ajaran Syiah dan paling ekstrem
adalah puak Syiah Imamiah kerana ada ahli kumpulan tersebut mengkafirkan
orang lain dan menghalalkan darah umat Islam yang menentang ajaran
mereka.
''Puak ini beroperasi secara berselindung dan sampai satu peringkat
mereka wajib berbohong jika terdesak. Syiah Imamiah ini tidak boleh
bertolak ansur jika ajaran yang dibawa tergugat, malah pengikutnya boleh
melakukan apa sahaja keputusan drastik dan bahaya," katanya.
Mohamad yang juga Pengerusi Majlis Agama Islam Negeri Sembilan
(MAINS) berkata, antara penyelewengan Syiah Imamiah berkaitan perkara
ketuhanan ialah mendakwa Saidina Ali adalah tuhan mereka.
''Jangan pandang ringan hal ini kerana ia ada elemen yang
memporak-perandakan akidah umat Islam sehingga boleh mendorong kepada
permusuhan dan menghancurkan negara," katanya.
No comments:
Post a Comment