Jadi MB bukan cita-cita saya, kata Salahuddin
16 Februari 2013
Salahuddin Ayub
SHAH ALAM - Jawatan Menteri Besar Johor jika Pakatan Rakyat berjaya 
menawan negeri itu bukan perkara utama yang mendorong Naib Presiden Pas,
 Salahuddin Ayub bertanding di negeri kelahirannya pada Pilihan Raya 
Umum ke-13 (PRU13).
Walaupun namanya disebut-sebut bakal mengisi jawatan menteri besar jika
 Pakatan Rakyat menang di Johor, Salahuddin berkata, beliau ada agenda 
lebih besar di atas kepulangannya itu. 
"Cerita untuk jadi menteri besar ini biarlah kita cerita nanti selepas PRU akan datang.
"Itu bukan matlamat akhir cita-cita politik saya. Yang penting bagi 
saya, apabila saya diminta Datuk Dr Mahfodz Mohamed, Pesuruhjaya Pas 
Johor pada hari ini, beliau telah memikirkan dan berbincang dengan saya 
untuk saya balik ke Johor bagi membantu melonjakkan lagi arus perubahan 
di Johor," ujarnya.
Mengakui tugas berat menanti beliau, namun Ahli Parlimen Kubang Kerian 
ini yakin Pakatan Rakyat yang baru ditubuhkan selepas pilihan raya umum 
lalu punya peluang cerah untuk menawan Johor malah menjejakkan kaki ke 
Putrajaya selepas PRU13. 
"Memang kali ini Pakatan Rakyat ada peluang. 
"Sebab itu saya telah ambil keputusan untuk balik ke Johor, mengapa 
tidak kita sinergikan, kita gabungkan kekuatan yang ada, dibantu pula 
dengan dokongan kuat rakan-rakan DAP dan PKR, itu sebenarnya yang 
mendorong saya balik ke Johor, bukan atas faktor untuk menjadi menteri 
besar," katanya lagi dalam wawancara khas bersama Sinar Harian Online, 
semalam.
Ujarnya, zaman di mana Johor digelar sebagai negeri simpanan tetap 
Barisan Nasional sudah berlalu, malah kini sunami politik yang dahulunya
 berpusat di ibu negara sudah beralih ke selatan negara. 
"Di hadapan kita sekarang ini seolah-olah rakyat Johor ada dua pilihan.
 Dulu mereka tak ada, sukar untuk mereka membuat pilihan. Kalau dulu 
mereka tak nampak ada gabungan parti lain yang setanding atau pun 
sehebat Barisan Nasional. 
"Kini satu anjakan peralihan pemikiran politik rakyat Johor terhadap masa depan politik mereka," ujar beliau.
Pada pilihan raya umum 2008, Pakatan Rakyat berjaya memecahkan kubu kuat Umno dengan memenangi satu kerusi parlimen (dari 26 kerusi) dan enam kerusi Dun daripada 56 kerusi yang ditawarkan.
PETIKAN SINARHARIAN
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
No comments:
Post a Comment