Saturday, February 9, 2013

Kerjaya seni tidak menjanjikan kemewahan : Al fatihah pulangnya sebutir permata seni tanah air




Tiada lagi hilai tawa dan lawak jenakanya yang bersahaja. Melihat gelagatnya bersama A R Badul dalam filem Prebet Lapok, ia cukup mencuit hati. 

Kehilangan sebutir lagi permata negara dalam bidang komedi meninggalkan kesan mendalam kepada ramai pihak, terutama rakan seperjuangan dalam dunia seni. Datuk Yahya Sulong, 85, meninggal dunia di Hospital Kuala Lumpur, kelmarin, kerana sakit tua. 

Sebut saja nama artis veteran ini, sudah pasti ramai membayangkan keletah lawaknya yang menggeletek hati penonton, walaupun ada ketika jenakanya kuat dengan sindiran. 

Bakat Yahya atau mesra disapa Pak Ya bermula sejak membintangi bangsawan sekitar era 1940-an, namun disebabkan ketika itu banyak panggung ditutup, beliau memilih untuk berkhidmat dengan pasukan polis hutan sekitar 1948. 

Selepas lebih sedekad berkhidmat dengan pasukan polis, dengan pangkat terakhir sebagai sarjan ketika berkhidmat di Balai Polis Ipoh, Pak Ya berjinak-jinak semula dalam bidang seni dengan membintangi filem pertama berjudul Abu Nawas pada 1961. 

Sejak itu, dia membintangi lebih 24 filem, antaranya Gila-Gila, Putus Sudah Kasih Sayang, Miang-Miang Keladi, Da Di Du, Toyol, Si Luncai, Prebet Lapok dan Senario The Movie.

Presiden Yayasan Artis 1Malaysia, Datuk DJ Dave menyifatkan pemergian Allahyarham kehilangan besar bukan saja kepada industri seni tetapi juga kepada negara kerana jasa dan pengorbanannya yang turut sama terbabit dalam melindungi kedaulatan negara. 

“Saya dapat berita mengenai kematiannya ketika di atas pentas menyampaikan sumbangan untuk artis di Sarawak. Saya memang sangat terkejut dengan pemergiannya kerana dia artis yang berbakat bukan saja dalam bidang lakonan tetapi bidang muzik. 

“Dia juga sangat rapat dengan saya, malah pernah bermain dram untuk saya. Dia pelawak yang sangat disegani dan kehilangannya amat dirasai seluruh industri seni,” katanya sambil memberitahu akan berusaha meringankan beban isterinya, Datin Alisah Ali, 68.

Info: Yahya Sulong

* Yahya pernah menceburi bidang seni suara bersama kumpulan 4 Serama dan menghasilkan album berjudul Rencah Ketawa Asam Pedas bersama Mek Habsah dan Osman Kering.

* Antara album pernah dihasilkannya, Oh Fatimah dan Apa Dah Jadi. 

* Meskipun berdepan masalah kesihatan, minat terhadap muzik masih diteruskan dan sering membuat persembahan bersama kumpulan Ahmad Sharif Trio sebagai pemain gendang.

* Kali terakhir Yahya beraksi bersama kumpulan terbabit ketika membuat persembahan di Konsert Gala sempena Hari Jazz Antarabangsa, Mei tahun lalu.

No comments:

Post a Comment

Blog Archive

Cili Api Bloggers

Politik N9

PRU13N9

Gerbang Tempur Puteri UMNO (Malaysia)

My Blog List 2

Popular Posts