DALAM satu perjumpaan dengan bloggers pelbagai kaum di Kuala Lumpur
pada Januari 2011, bekas Menteri Besar Kelantan Datuk Nik Aziz Nik Mat
ditanya kenapa Pas seolah-olah tidak mahu melaksanakan hudud. Jawabnya:
“Dr Mahathir datang ke Kelantan memberi amaran sekiranya (kerajaan)
Kelantan laksanakan hudud, kerajaan Pusat akan mengambil tindakan.
Sebelum ini, Kelantan pernah digantung perlembagaan oleh Mageran.”
Beberapa bloggers yang hadir hairan kerana Nik Aziz mengaitkan
pelaksanaan hudud dengan Mageran (Majlis Gerakan Negara). Mageran di
Kelantan pada 1977-78 adalah untuk menyelamatkan negeri itu yang dilanda
sengketa politik. Ia bertujuan mententeramkan keadaan dan memulihkan
pentadbiran sivil. Selepas reda, kuasa diberi semula kepada kerajaan
pilihan rakyat untuk berfungsi. Mageran tidak ada kena mengena dengan
hudud.
Dalam kempen pilihan raya, pemimpin Pas sering beri alasan bahawa
perdana menteri ketika itu Tun Dr Mahathir Mohamad menentang pelaksanaan
hudud. Mereka ulang-ulang kenyataan Nik Aziz yang takut Mageran
dikenakan di Kelantan jika hudud dilaksanakan. Padahal Tun Dr Mahathir
hanya memberi ingatan secara umum agar pelaksanaan hudud tidak sebabkan
kekecohan, tetapi pemimpin Pas telah memutar belit dan mengaitkan
kegagalan dan ketidaksediaan kerajaan negeri dengan kenyataan bekas
perdana menteri itu.
Surat Tun Dr Mahathir bertarikh 8 Jun 1994 tidak langsung menyebut
Mageran atau sebarang tindakan khusus terhadap mana-mana pemimpin Pas.
Dalam suratnya, Tun Dr Mahathir menyatakan bahawa kerajaan Pusat akan
berpandukan kaedah Islam dalam tindakannya, iaitu menjaga kepentingan
ramai. Beliau menekankan perlunya kerajaan bertindak secara adil untuk
mengelak berlakunya kezaliman dan huru-hara.
Oleh kerana ada kesangsian di kalangan pakar perundangan bahawa hukum
hudud yang hendak dilaksanakan Pas adalah benar-benar adil dan menepati
ajaran Islam, Tun Dr Mahathir mengingatkan tindakan Pas yang dianggap
berat sebelah atau zalim akan memberi gambaran negatif kepada bukan
Islam, sebabkan mereka menjauhkan diri daripada Islam dan tidak berminat
memeluk Islam.
Bahagian penting dalam surat Tun Dr Mahathir kepada Nik Aziz ialah:
“Hudud Islam bertujuan memberi keadilan kepada semua, bukan untuk
kezaliman. Undang-undang Pas jika zalim tentunya bukan menepati Islam.
Kerajaan Pusat tidak berhajat bersubahat dengan Pas (dan) akan terus
mempertahankan ajaran dan nilai agama.
Jika Pas menjalankan sesuatu yang bercanggah dengan prinsip keadilan
dalam Islam, kerajaan Pusat akan ambil tindakan yang sewajarnya demi
menjaga maruah dan ketinggian martabat Islam dan penganut-penganutnya.”
Jelas, Tun Dr Mahathir tidak membantah hajat Pas. Beliau juga
memperingati Pas agar memastikan undang-undang syariah yang hendak
dilaksanakan mestilah adil, tidak berat sebelah atau menzalimi sesiapa.
Kerajaan Pusat bertanggungjawab ke atas kebajikan dan kepentingan semua
rakyat, justeru hanya bertindak jika pelaksanaannya menimbulkan
huru-hara.
Tidak disebut pasal sekatan, bangkangan atau Mageran. Malah, dalam
ucapannya di Nilam Puri pada tahun 1994, beliau menyebut: “Kita tidak
tolak hukum hudud. Kita cuma tolak tafsiran dan undang-undang Pas yang
tidak serasi dengan maqasid syariah. Menolak sesuatu yang salah adalah
wajib.”
Ada pihak bertanya adakah hudud hendak diperkenalkan Pas Kelantan sama
seperti di Arab Saudi atau pernah dilaksanakan puak Taliban di
Afghanistan. Beberapa NGO bukan Islam juga bimbang hudud berwajah Pas,
bukan berpandukan perundangan Islam. Sebelum ini, rakyat melihat
bagaimana pemimpin Pas yang terbabit dengan skandal seks dan
penyelewengan kuasa tidak diambil tindakan oleh pucuk pimpinannya.
Manakala pemimpin yang cuba menegah penjualan arak di kedai dalam
kawasan bermajoriti Melayu telah dipecat dari parti.
Ada kekeliruan sama ada hudud boleh dikenakan ke atas bukan Islam.
Kebetulan, ada pemimpin Pas yang kata ya, ada yang kata tidak. Pada
April lalu, Timbalan Pengerusi DAP Johor, Norman Fernandez menyeru
rakyat bukan Islam tidak undi Pas selagi perkara ini tidak dijelaskan.
Umumnya, orang bukan Islam melihat Pas sebagai parti hanya fokus kepada
hudud sahaja, tapi kurang idea mengenai ekonomi dan pembangunan taraf
sosioekonomi rakyat.
No comments:
Post a Comment