Friday, January 3, 2014

Mercedes Benz S300L: Cara Guan Eng Tunjuk Prihatin Pada Rakyat

Pembelian kereta mewah Mercedes Benz S300L oleh kerajaan Pulau Pinang baru-baru ini bagi kegunaan Ketua Menteri mengundang pandangan sinis rakyat. Ogos lalu, Pulau Pinang baru sahaja membeli 15 buah kereta Toyota Camry 2.5 Auto dengan jumlah RM1.7 juta bagi menggantikan kereta rasmi yang lama.

Hari ini, biarpun bajet negeri menunjukkan angka defisit, Lim Guan Eng tetap mempertahankan tindakannya membeli kenderaan mewah itu.

Menurut Pegawai Kewangan Negeri, Datuk Mokhtar Mohd Jait, kerajaan negeri telah mendapat harga yang murah bagi kereta itu iaitu RM298,263.75 berbanding harga atas jalan RM659,888.

Mokhtar juga menegaskan bahawa Ketua Menteri berhak menggunakan dua kereta Mercedes dan Guan Eng hanya menggunakan satu sahaja selama ini, iaitu sebuah Camry.

Mungkin kerajaan Guan Eng terlepas pandang bahawa kita bukan mempersoalkan hak seorang Ketua Menteri mahupun harga kereta tersebut, tetapi kita mempersoalkan pendiriannya. Nampaknya, perkataan hipokrit sudah menjadi sinonim dengan Ketua Menteri ini.

Guan Eng pernah mengkritik kerajaan Terengganu pada tahun 2008 kerana membeli 14 Mercedez Benz E200 bagi menggantikan Proton Perdana. Katanya, “kerajaan Pulau Pinang akan menggunakan apa yang ada bagi menjimatkan kos selagi kenderaan itu boleh bergerak dan mampu tiba ke destinasi.”

Justeru, apa yang berlaku pada ‘menggunakan apa yang ada’ sekarang?

Apakah kenyataan itu tidak lagi boleh digunapakai dalam tahun 2014 yang semakin sukar ini? Lagipun, jika Guan Eng hanya menggunakan satu kereta sahaja selama ini, kenapa perlu dibeli satu lagi? Lebih-lebih lagi apabila beliau sering membangkitkan soal penjimatan oleh kerajaan pusat?

Guan Eng sering mendabik dada konon beliau prihatin terhadap kebajikan rakyat dan megah mewar-warkan bagaimana beliau berjaya melakukan penjimatan melalui amalan tender terbuka. Bagaimanapun, pembelian kereta bagi kerajaan negerinya jelas tidak melalui tender terbuka. Alasannya, perbincangan langsung (direct-nego) adalah lebih murah pula.

Matlamat utama sebuah perniagaan ialah keuntungan dan tidak ada seorang peniaga yang akan menjual sesuatu di bawah harga pasaran tanpa menerima apa-apa keuntungan. Oleh itu, perbincangan langsung antara kerajaan Pulau Pinang dengan syarikat menjual kereta tadi haruslah membawa keuntungan kepada syarikat itu dalam apa cara sekali pun.

Perlu diingatkan bahawa keuntungan boleh jadi dalam bentuk barangan mahupun perkhidmatan sepertimana yang dipersetujui oleh kedua pihak pembeli dan penjual.

Oleh yang demikian, kita ingin tahu apakah keuntungan sebenar yang diperolehi oleh syarikat menjual kereta melalui penjualan kereta Mercedes Benz di bawah harga pasaran kepada kerajaan negeri?

Guan Eng mungkin boleh menawarkan penjelasan atau membentangkan pengiraan mengenai pembelian tersebut namun, mengenali sikap beliau kita tidak akan tahu sama ada Ketua Menteri ini berkata benar berkenaan ‘urusan’ yang berlaku dengan syarikat menjual kereta itu. Lebih dari itu, kita juga tidak akan tahu sama ada beliau telah mengumumkan harga kereta yang betul memandangkan DAP cukup terkenal dengan kes tersalah taip dan tersalah kira sepertimana yang berlaku dalam pemilihan CEC.

Kesimpulannya, Guan Eng adalah seorang Ketua Menteri yang hipokrit dan bercakap tidak serupa bikin.

No comments:

Post a Comment

There was an error in this gadget

Cili Api Bloggers

Politik N9

PRU13N9

Gerbang Tempur Puteri UMNO (Malaysia)

My Blog List 2

Popular Posts