
           
Oleh Ab Jalil Backer (jalil74@myjaring.net)
Setiausaha Sulit Kepada Menteri Datuk Seri Idris Jala (Menteri 
Pemandu), Muhammad Shaahidullah Shayaa, menulis artikel panjang lebar 
mempertahankan  Sistem Penguatkuasaan Automatik atau Automated 
Enforcement System (AES). Artikel beliau boleh dibaca 
di sini.
 
Kita mengharapkan jawapan yang boleh menyenangkan hati rakyat, 
mendamaikan hati majoriti pemandu dan mententeramkan keadaan. 
 Sebaliknya, tulisan Muhammad Shaahidullah penuh kebongkakkan dan 
kebiadapan yang tidak mencerminkan sikap dan peri laku kerajaan yang 
menjulang slogan “Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan.” 
Pegawai 
ini juga tidak mengerti, memahami dan menghayati janji Perdana Menteri 
bahawa zaman kerajaan serba tahu sudah berakhir.
Tiga para pertama permulaan artikel bukan sahaja tidak mampu 
menyejukkan kemarahan ramai orang yang merasakan AES merompak mereka. 
Malahan ia umpama menjirus minyak ke atas api yang membara. Lihat 
tulisan beliau di empat para pertama:
Timbul pelbagai isu tentang Sistem Penguatkuasaan 
Automatik (AES) di dalam media sejak beberapa hari yang lepas, apabila 
ahli-ahli politik pembangkang memperbesarkan isu ini dan menjadikannya 
persis sebuah sarkas.
 
Kenapa kita begitu kuat mempertahankan pesalah-pesalah trafik? 
Bukankah kita menggunakan jalanraya setiap hari dan menyedari betapa 
tingkahlaku sesetengah pengguna-pengguna jalanraya adalah sangat 
menjengkelkan dan merbahaya?
 
Memandu melebihi had laju, melanggar lampu insyarat, memotong 
barisan, memotong di jalan garisan dua selari serta mereka yang memasuki
 jalan-jalan larangan pada waktu-waktu yang sibuk; ini semua adalah 
senario harian dalam pengalaman pemanduan kita semua.
 
Adakah kita ini semata-mata sebuah negara yang dipenuhi 
pengguna-pengguna jalanraya yang tidak bertimbangrasa sehinggakan kita 
harus menyuarakan ketidakpuasan hati kita kepada sebuah sistem baru yang
 boleh memastikan keselamatan jalanraya untuk kita semua? 
 
Dalam empat para pertama ini beliau telah pun membuat andaian mereka 
yang membantah pelaksanaan AES ini sebagai pemandu yang cuai, biadap, 
tidak bertanggungjawab. Dengan kata lain setaraf “mat rempit” dan 
“samseng jalanan.” Apakah dengan tuduhan-tuduhan seperti ini boleh 
menyelesaikan masalah kemarahan rakyat kepada Kerajaan akibat AES?
Ramai rakyat tidak mempunyai masalah jika AES benar-benar mahu 
menangkap “samseng jalanan”, “mat rempit” dan mereka yang memandu secara
 merbahaya. Yang menimbulkan kemarahan rakyat ialah AES menangkap 
sesiapa sahaja yang memandu melebih had laju biar pun dalam keadaan laju
 yang reasonable. 
Kenyataan beliau bahawa AES merakam pelbagai kesalahan 
seperti dalam para 3 artikel tersebut adalah satu pembohongan, penipuan 
dan manipulasi fakta yang memberi gambaran salah kepada orang ramai. 
Sejak bila kerajaan melatih Setiausaha Sulit Menteri berbohong kepada 
rakyat?
AES hanya menangkap mereka yang memandu melebihi had laju dan 
melanggar lampu isyarat merah. Saya tidak mahu membahaskan isu melanggar
 lampu isyarat merah. Sungguhpun ia boleh dibahaskan namun ia tidak 
berguna apa-apa berbahas dengan otak mereka yang beku dan tepu. 
Mereka 
tidak memahami ketakutan pemandu apabila terpaksa berhenti di simpang 
lampu isyarat yang sunyi sepi di tengah malam bertemankan beberapa mat 
rempit di sebelah kiri dan kanannya. Ini kerana pembuat polisi ini 
mempunyai pemandu, pengawal peribadi dan pengikut yang sentiasa 
mengekori mereka.
Saya berminat sekali membicarakan isu had laju. Had laju di negara 
ini ditentukan oleh “jurutera-jurutera tidak berguna” yang memikirkan di
 mana tempat paling baik untuk melakukan saman ekor dan sekarang 
digunakan oleh AES. 
Terdapat corak yang jelas bahawa penentuan had laju di 
kawasan-kawasan tertentu sengaja direndahkan biarpun tidak mempunyai 
sebab fizikal jalan raya atau aliran trafik yang mewajarkan bagi 
pengurangan tersebut. Ambil contoh,  Lebuh Raya Kuala Lumpur – Shah Alam
 (KESAS) yang mempunyai tiga lorong sehala tanpa banyak susur masuk dan 
keluar, had lajunya ialah 90KM/J. 
Had laju ini sama dengan beberapa Jalan Persekutuan yang hanya 
mempunyai satu lorong bagi setiap hala, tidak mempunyai pembahagi jalan 
dengan kenderaan dari arah bertentangan dan terdedah kepada kenderaan 
keluar masuk setiap masa. 
Kita dapati di Kesas inilah paling kerap diadakan perangkap had laju.
 Sekarang di pasang AES bermakna setiap masa terdapat perangkap had laju
 ini. 
Demikian juga di Lebuh Raya Utara Selatan berhampiran Kajang, dalam 
keadaan fizikal yang serupa, had laju kenderaan tiba-tiba sahaja ditukar
 daripada 110 KM/J kepada 90KM/J. Di situlah diletakkan kamera 
penguatkuasaan otomatik ini. Seolah-olah jika kita bawa lebih dari 
90KM/J kita akan terbabit dalam kemalangan.
Tindakan meletakkan kamera ini di kawasan yang had laju berkurangan 
dari kebiasaan had laju lebuh raya adalah satu manifestasi jelas 
kerajaan mahu menambah pendapatan negara melalui kompaun kesalahan jalan
 raya. 
Boleh Setiausaha Sulit Menteri menerangkan mengapa terdapat lebuh 
raya atau jalan raya yang mempunyai dua atau tiga lorong sehala 
diletakkan had laju sekitar 70, 80 dan 90 KM/J yang setaraf dengan jalan
 persekutuan di kawasan luar bandar?
Pernahkan mereka yang menentukan had laju ini memandu sendiri dengan 
kelajuan tersebut di lebuh raya – lebuh raya terbabit? Di sesetengah 
tempat  had laju lebuh raya dikurangkan sehingga 60 KM/J.
 Pernahkan 
mereka ini memandu dengan had laju bawah 60 KM/J terutama di Lebuh Raya 
Kuala Lumpur-Putrajaya atau di  mana-mana lebuh raya 3 KM sebelum plaza 
tol?
Saya tidak menentang penentuan had laju, namunnya janganlah 
melampau-lampau dikurang seolah-olah disengajakan untuk tujuan menangkap
 mereka yang melebihi had laju.
Mengapa kemalangan maut tetap berlaku biar pun saman perangkap laju 
sentiasa diadakan. Jawapannya ialah “Tempat lain yang bernanah, tempat 
lain yang diubati.” 
Menurut bekas Pengarah Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya 
Malaysia (MIROS), Y. Bhg. Dato’ Ir. Dr. Radin Umar Radin Sohadi, dalam 
wawancara dengan Astro Awani baru-baru ini, jumlah kemalangan maut 
membabitkan isu kelajuan ialah sebanyak 25% daripada jumlah keseluruhan 
kemalangan maut di negara ini setiap tahun. Ini bermakna daripada lebih 
6,000 kemalangan maut, hanya  sekitar 1500 membabitkan isu kelajuan. 
Malangnya dalam 8 hari pertama AES diperkenalkan sebanyak 63,558 
pesalah telah dirakamkan. Bayangkan jika setahun AES berfungsi berapa 
banyak yang akan ditangkap berbanding hanya 1500 kemalangan maut yang 
kita hadapi setiap tahun. Dan ini semua dianggap oleh Setiausa Sulit 
yang tidak lagi sulit sebagai orang yang tidak bertanggungjawab. 
Menurut Dr. Radin dalam wawancara yang sama, sistem ini bertujuan 
menangkap mereka yang benar-benar mengancam keselamatan jalan raya 
misalnya memandu melebihi had laju di selekoh berbahaya atau jalan 
tertentu yang telah dikenalpasti sebagai kawasan kemalangan maut akibat 
kelajuan. Namun hakikat ini tidak berlaku dalam AES yang dipasang 
sekarang. 
Justeru adalah sangat menyakitkan hati apabila AES merakamkan 
kesalahan kita di lebuh raya tiga lorong yang sunyi-sepi pada kelajuan 
110 KM/J hanya kerana had laju tempat tersebut 90KM/J.
Apakah had laju yang ditetapkan oleh Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ)
 telah telah dibuktikan secara saintifik sebagai titik kritikal dalam 
menentukan kemalangan di sesuatu kawasan? Saya fikir ia adalah merupakan
 satu hal yang sangat meragukan.
Saya akan mengulas bahagian lain dalam jawapan Setiausaha Sulit Menteri Pemandu ini pada siri kedua.