JIKA fail lama dibuka, entah berbakul agaknya janji pembangkang yang tidak ditunaikan di Negeri Sembilan ini.
Jangan pergi jauh, lihat di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) 
Ampangan, Sikamat dan Paroi, di mana dua kerusi itu kini dikuasai Parti 
Keadilan Rakyat (PKR) dan satu Pas.
Mana pembangunan yang dijanjikan pembangkang pada Pilihan Raya Umum 
Ke-12 lalu, sedangkan hasil pembangunan yang ada pada hari ini khususnya
 di tiga kawasan itu adalah usaha kerajaan Barisan Nasional (BN) 
keseluruhannya.
Hari ini mereka berjanji lagi dan kali ini dalam poster yang dipasang
 merata-rata di kawasan Seremban, tanpa diletakkan gambar pemimpin DAP. 
Mereka menjanjikan pendidikan percuma, hapuskan tol, wifi percuma, elaun
 datuk adat RM1,000, imbuhan guru RM500 sebulan, harga kereta lebih 
murah, lebih banyak subsidi kepada rakyat dan banyak lagi.
Siapa lagi di kalangan rakyat negeri ini yang cuba mereka bohongi. 
Harga kereta murah, sekarang pun sudah ada yang murah dan mampu dimiliki
 rakyat. Isu datuk adat, berapa ramai datuk adat yang ada dalam Negeri 
Sembilan ini, yang hendak diheret dalam janji terbaru ini?
Jangan memperbodohkan rakyat Negeri Sembilan terhadap pemberian wifi 
percuma ini, kerana sudah banyak kawasan awam di negeri ini menyediakan 
perkhidmatan sedemikian. Kalau susah sangat, di kedai mamak pun ada 
perkhidmatan wifi percuma dan rakyat boleh buka laptop dan nombor pin 
sudah tertera pada dinding kedai makan.
Cuba lihat pula soal pemberian subsidi kepada rakyat dan berapa banyak yang mereka berikan kepada rakyat Negeri Sembilan ini?
Rakyat hari ini bijak, intelektual, cerdik dan ilmuwan, maka isu 
subsidi ini mereka lebih maklum yang banyak menunaikan janji dalam hal 
ini ialah kerajaan BN.
Perhatikan pula apa yang berlaku dalam DAP. Jangan fikir parti ini 
senyap sebenarnya mereka lebih agresif berbanding PKR dan Pas. Ini 
kerana tunggak sebenar dalam pakatan pembangkang ialah DAP.
Mereka cuba menafikan sentimen anti-Melayu dan anti-Islam. Mereka 
melaungkan prinsip CAT (Compentency, Accountability, Transperancy) atau 
Cekap, Akauntabiliti, Telus dalam semua hal.
Malang sekali, cakap mereka tidak seperti yang diamalkan. Mana ada 
CAT dalam DAP. Buktinya, pemilihan Jawatankuasa Tertinggi Pusat (CEC) 
parti DAP, pada 16 Disember lalu sehingga memaksa ahli akar umbi 
khususnya di Negeri Sembilan ini bangkit menentang.
Naib Pengerusi DAP Cawangan Ladang Paroi, David Dass berkata: "Lain 
kali jangan sibuk bercakap tentang perhimpunan Bersih atau 
memperjuangkan ketelusan dalam Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13), 
sedangkan tiada ketelusan dalam pemilihan parti DAP sendiri."
Ini soal maruah parti, DAP semakin kalut. Pergolakan dalaman DAP 
sebenarnya membusung dan di Negeri Sembilan ini, banyak kelompok di mana
 satu pihak menyokong 'orang lama' seperti Setiausaha Agung DAP, Lim 
Guan Eng; Penasihat DAP, Lim Kit Siang dan Pengerusi DAP, Karpal Singh 
dan satu pihak lagi merupakan penyokong kepada 'tsunami Ramasamy' iaitu 
Timbalan Ketua Menteri Pulau Pinang II, Dr. P. Ramasamy.
DAP jangan cepat melenting dalam perkara ini, akur cakap akar umbi 
supaya diadakan semula pemilihan parti itu dan nafikan keputusan yang 
dibuat pada 16 Disember lalu.
Pernah seorang pemimpin DAP berkata, parti itu bertunjangkan ideologi
 sosial demokrasi, di mana membawa maksud memperjuangkan keadilan 
sosial, kesamarataan peluang, kebebasan dan solidariti. Maka dalam 
konteks ini, bersihkanlah dahulu dalaman parti, sebelum bercakap soal 
yang lebih besar iaitu demokrasi rakyat.
Satu lagi mesej yang menarik oleh David Dass, ''Jika mereka (pemimpin
 tertinggi) tidak mampu memberikan ketelusan dan keadilan dalam parti, 
bagaimana ia hendak diberikan kepada rakyat dan masyarakat negara ini."
DAP harus ingat, jangan lihat kehadiran dua orang akar umbi yang 
membuat sidang akhbar di sebuah kedai mamak yang ada wifi itu sebagai 
perkara kecil.
Kata David Dass, ''Jangan fikir kami kumpulan minoriti ini tidak 
mampu memberi respons, mungkin hari ini jumlahnya dua, tetapi saya 
percaya ia akan menjadi 20 seterusnya 200, kemudian 2,000 dan boleh jadi
 200,000 yang tidak berpuas hati."
Cuba kita perhatikan pula janji pembangkang di Negeri Sembilan ini, 
untuk memberikan imbuhan kepada guru sebanyak RM500 sebulan. Cukuplah 
cubaan untuk mengelirukan rakyat, imbuhan ibu tunggal di Selangor pun 
belum dapat diselesaikan.
Pendek kata, apa yang berlaku dalam DAP, PKR dan Pas hari ini ialah 
mereka sebenarnya takut kepada slogan BN iaitu 'Janji Ditepati' kerana 
pembangkang banyak tidak dapat menunaikan janji mereka sejak dahulu 
lagi.
Perlu ditegaskan bahawa pembangkang juga tidak selamat di Negeri 
Sembilan ini. Jangan angkuh dengan kedudukan sedia ada dan berkempen di 
merata tempat, kononnya Negeri Sembilan ini akan dirampas.
Pembangkang terlupa, undi majoriti kecil di Bahau-DAP (837), 
Sikamat-PKR (499), Ampangan-PKR (165), Port Dickson-PKR (733) dan 
Repah-DAP (533) untuk kerusi DUN dan di kawasan Parlimen di bawah 
majoriti 5,000 undi iaitu di Telok Kemang (PKR) dan Seremban (DAP) boleh
 sahaja kembali menjadi milik BN pada pilihan raya akan datang.
Maka, rakyat perlu menilai kerana hari ini pembangkang sendiri pun 
tidak telus dalam perjuangan mereka dan ini diakui oleh ahli DAP dalam 
sidang media di Seremban dalam isu pemilihan 16 Disember lalu.
Jelaslah, kerajaan yang menepati janji tentulah BN dan jangan pula, 
selepas membaca tulisan ini, penggerak 'Gelombang Biru' terus dibuai 
mimpi kerana inilah titik untuk BN memastikan kawasan yang dinyatakan 
itu selain di Paroi-Pas (1,107) dan Rahang-DAP (1,091) kembali dirampas 
dalam pilihan raya umum kelak.
Bangun dan jangan tidur, masa semakin hampir. Air yang tenang, jangan
 disangka tiada buaya kerana kealpaan BN di Negeri Sembilan ini boleh 
menjadi senjata kepada pembangkang untuk negeri yang menjadi sasaran 
mereka sejak keputusan pilihan raya umum 2008 lagi.
Penulis ialah Ketua Biro Negeri Sembilan Utusan Malaysia.