Friday, November 8, 2013

Petronas ada agenda hapuskan usahawan bumiputera?

KUALA LUMPUR 7 Nov. - Petroliam Nasional Bhd. (Petronas) dilihat seolah-olah mempunyai agenda tersembunyi menghapuskan kepentingan usahawan bumiputera dalam syarikat itu menerusi polisi yang diperkenalkan sejak pengambilalihan barisan kepimpinan baharu.

Pengerusi Kluster Minyak dan Gas, Majlis Tindakan Ekonomi Melayu (MTEM), Tengku Putra Tengku Ahmad berkata, polisi baharu itu meletakkan pelbagai halangan sehingga menyebabkan penggiat industri tempatan sukar mengambil bahagian sekali gus membuatkan mereka terpinggir.
"Polisi ini bercanggah dengan dasar penubuhan Petronas yang sepatutnya membantu melonjakkan ekonomi masyarakat bumiputera.

"Apa yang berlaku hari ini, daripada projek ratusan juta ringgit melibatkan telaga minyak di tengah laut hingga kepada kontrak pembekalan roti, kuih-muih dan nasi lemak di stesen minyak Petronas, semuanya diberikan kepada syarikat asing," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas sesi pertemuan tertutup usahawan-usahawan industri minyak dan gas bersama media di pejabat MTEM, dekat sini hari ini.

Pertemuan itu dihadiri hampir 15 penggiat industri yang sebahagiannya merupakan syarikat-syarikat yang pernah dan masih terlibat dalam Program Pembangunan Vendor (VDP) Petronas.

Menurut Tengku Putra, Petronas kini bukan sahaja lebih mengutamakan syarikat-syarikat asing tetapi mempunyai persepsi negatif terhadap syarikat-syarikat tempatan.

"Seperti yang kita dengar daripada luahan salah seorang bekas VDP yang hadir, jika syarikat asing buat silap, Petronas boleh maafkan. Namun jika syarikat tempatan yang buat silap, mereka akan terus disenaraihitamkan," ujarnya.

Beliau berkata, MTEM yang terdiri daripada 47 buah pertubuhan bukan kerajaan (NGO) ekonomi Melayu akan terus berjuang bersama-sama penggiat industri tempatan dalam menuntut keadilan dan mengembalikan semula agenda sebenar Petronas.

"Sebelum ini, kami telah berjumpa dengan pengurusan tertinggi Petronas seperti yang diaturkan Penasihatnya, Tun Dr. Mahathir Mohamad namun apa yang berlaku selepas itu, kami mendapat maklum balas negatif.

"Tun (Dr. Mahathir) kemudiannya sekali lagi memberitahu akan mengatur semula pertemuan tersebut dengan beliau sendiri menjadi saksi, namun kami difahamkan sehingga kini pengurusan tertinggi Petronas masih belum memberi maklum balas," katanya.

No comments:

Post a Comment

Cili Api Bloggers

Politik N9

PRU13N9

Gerbang Tempur Puteri UMNO (Malaysia)

My Blog List 2

Popular Posts