Situasi
selepas PRU13 berbeza daripada dua belas pilihan raya sebelum ini atas
satu sebab.
Perhimpunan diadakan di beberapa tempat di Semenanjung untuk
menentang keputusan PRU-13 kerana kononnya penipuan besar-besaran
dilakukan" oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dan Barisan Nasional
(BN).
Setakat ini pemimpin-pemimpin pembangkang tertentu yang membuat tuduhan ini gagal mengemukakan sebarang bukti yang kukuh.
Setiap tuduhan liar yang direka - dari 40,000 rakyat
Bangladesh yang diterbangkan ke Malaysia sebagai "pengundi hantu" ke
peristiwa blackout di Bentong - hanya mengesahkan bahawa kita berdepan
dengan pembohong-pembohong bertaraf dunia.
SPR serta beberapa pakar undang-undang telah berulang kali menekankan
bahawa sekiranya pembangkang memiliki bukti tentang penipuan di
mana-mana kawasan pilihan raya, di peringkat negeri mahupun di peringkat
Parlimen, petisyen boleh dikemukakan di mahkamah seperti yang
diperuntukkan dalam Perlembagaan Malaysia.
Ini adalah saluran undang-undang yang digunapakai sejak Pilihan Raya
Umum Pertama pada 1959. Sekiranya ada cara tertib berdasarkan
Perlembagaan untuk menyelesaikan isu-isu pilihan raya, kenapa sebahagian
daripada pembangkang terus memprotes?
Jelas bahawa protes merupakan agenda ketua mereka, Datuk Seri Anwar
Ibrahim, untuk mencapai cita-cita besar beliau iaitu, menjadi Perdana
Menteri Malaysia.
Beliau berharap bahawa siri perhimpunan akan
menjejas kredibiliti kerajaan BN dan ini mungkin dapat memujuk beberapa
ahli parlimen BN melompat masuk pakatan pembangkang.
Kemerosotan kredibiliti BN juga mungkin mendorong lobi-lobi tertentu
di negara-negara Barat seperti Amerika Syarikat (AS) memesatkan kempen
mereka untuk menekan kerajaan Datuk Seri Mohd Najib menyahut
tuntutan-tuntutan Anwar tentang pilihan raya.
Tetapi, Anwar tidak akan mencapai matlamatnya. Majoriti rakyat
Malaysia tahu bahawa keputusan PRU-13 adalah adil dan mencerminkan
realiti sentimen dan kecenderungan politik kini. Pembangkang sebagai
contoh telah memperolehi 89 kerusi Parlimen - yang terbanyak dalam
sejarah politik negara, selain daripada mengekalkan kuasa dalam tiga
buah negeri dengan majoriti besar!
Kerajaan-kerajaan Barat, termasuk kerajaan AS, menerima
keputusan PRU-13 secara rasmi dan liputan dalam media Barat yang
pro-Anwar pun sudah berkurangan.
Pendekatan kerajaan BN juga membantu BN menguasai keadaan. Polis
tidak cuba menyuraikan perhimpunan-perhimpunan dengan gas pemedih mata
dan sebagainya. Cuma beberapa aktivis didakwa kerana melanggar
undang-undang tertentu.
Kerajaan BN yang dipilih secara demokratik harus terus memerintah
secara normal. Kabinet peringkat pusat dan sepuluh buah negeri yang
dikuasai BN harus melaksanakan dasar-dasar dan program-program mereka.
Bertindak secara normal adalah respons yang paling sesuai terhadap
mereka yang ghairah dengan perhimpunan dan demonstrasi.
Pada masa yang sama BN perlu memberi fokus kepada cabaran-cabaran
yang masih belum diatasi. Kos hidup yang meningkat yang memberi dampak
pada golongan yang kurang berada, terutamanya di kawasan bandar -
sebahagian daripada mereka menolak BN dalam PRU-13 - harus ditangani
dengan langkah-langkah yang lebih berkesan.
Pengawalan terhadap harga barangan; perumahan mampu milik oleh
golongan kurang berada; penyediaan sistem pengangkutan awam yang cekap
dan menyeluruh dan struktur gaji yang adil adalah antara
perubahan-perubahan yang harus dilaksanakan melalui penyusunan semula
ekonomi.
Pembanterasan rasuah, yang juga merupakan isu besar dalam PRU-13, memerlukan iltizam yang lebih kuat dari kepimpinan politik.
Dalam hubungan ini, cadangan daripada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah
Malaysia (SPRM) yang pernah disyorkan oleh NGO-NGO sebelum ini, untuk
melarang sanak-saudara ahli-ahli Kabinet, Exco negeri atau
pegawai-pegawai tinggi perkhidmatan awam daripada membidakan kontrak
atau projek kerajaan semasa mereka memegang jawatan, harus
dikuatkuasakan dengan serta-merta.
Begitu juga, suatu mekanisme perlu dibentuk untuk mempertingkatkan
akses masyarakat kepada aset dan liabiliti semua ahli Parlimen dan Dewan
Undangan dan keluarga terdekat mereka, seperti mana terdapat di
beberapa negara yang lain.
Tahap insiden jenayah yang membimbangkan adalah satu lagi cabaran
yang menghadapi kepimpinan BN dewasa ini. Dalam PRU-13, isu ini
diperalatkan oleh pembangkang untuk menunjukkan pengundi bahawa BN gagal
melindungi keselamatan khalayak ramai.
Pendekatan yang lebih berkesan adalah pra-syarat untuk memulihkan keyakinan rakyat terhadap pemerintah.
Dalam suasana politik pasca PRU-13, BN juga memberi perhatian kepada
struktur BN. Dalam keadaan dimana prestasi parti-parti Cina merosot sama
sekali, kita faham kenapa pemimpin-pemimpin BN tertentu bertanya sama
ada sudah tiba masanya untuk membubarkan semua parti komponen dan
digantikan dengan satu parti tunggal.
Ini adalah persoalan yang kompleks yang perlu dikaji secara mendalam.
Yang lebih penting dan lebih mencabar, adalah sikap dan nilai-nilai
kepimpinan dan keahlian parti-parti komponen BN.
Oleh kerana UMNO dan BN sudah berkuasa selama beberapa dasawarsa dan
hidup dalam zon selesa, apakah semangat perjuangan, semangat pengorbanan
pemimpin dan ahli mereka sudah luntur?
Apakah ini iktibar daripada PRU-12 dan 13? Apakah benar BN kini lebih
mengutamakan wang, kuasa dan kedudukan jika dibandingkan dengan
Perikatan pada peringkat awal perjuangannya? Apakah penyakit
materialisme ini yang merupakan tragedi BN yang sukar diubati?
Bagaimana pula dengan parti-parti pembangkang yang menggelarkan diri
sebagai "pakatan rakyat" yang masih belum mewujudkan suatu gabungan yang
mantap yang mempunyai struktur kepimpinan, simbol dan misi perjuangan
yang sama khususnya dalam soal agama dan kaum?
Sebenarnya, jurang ideologi yang membezakan Pas dan DAP amat ketara:
Pas dengan idea negara Islamnya yang ditakrifkan melalui hudud dan DAP
dengan fahaman 'Malaysian Malaysianya' yang meminggirkan sejarah dan
latarbelakang politik negara ini.
Dapatkah pemimpin dua parti ini mengurangkan jurang ini dalam tempoh lima tahun akan datang ini?
Cabaran yang jauh lebih serius yang dihadapi ketiga-tiga parti
pembangkang adalah keikhlasan mereka dalam membendung sentimen-sentimen
politik tertentu yang akan memudaratkan negara kita sekiranya tindakan
tidak diambil dari sekarang.
DAP, sejak ditubuhkan pada 1966, mengeksploitasi sentimen
marah dan kecewa di kalangan sebahagian besar daripada kaum Cina dan
sebahagian daripada kaum India yang berhubungkait dengan kedudukan
istimewa bangsa Melayu dan Bumiputra Sabah dan Sarawak dalam
Perlembagaan Malaysia dan Dasar Ekonomi Baru (DEB).
Gambaran yang diberikan kepada bukan Melayu dan bukan bumiputra
adalah bahawa kerajaan menganugerahkan segala-galanya kepada Melayu dan
bumiputra manakala bukan Melayu dan bukan Bumiputra dianaktirikan dan
dilayani sebagai 'warga kelas dua'.
Keadaan sebenar ekonomi, budaya dan politik masyarakat kita jauh
berbeza daripada persepsi yang dibentuk oleh DAP. Tidak dapat dinafikan
bahawa kaum Cina yang paling kukuh kedudukannya di peringkat atasan dan
pertengahan dalam hierarki ekonomi negara.
Pengamalan budaya dan bahasa Cina yang disokong oleh sistem
pendidikan Cina, berleluasa di negara ini - suatu fenomena yang tidak
wujud di mana-mana negara lain di luar Republik China dan Taiwan.
Begitu juga, penglibatan kaum Cina dalam politik negara, jika dilihat
dari segi sejarah politik Malaysia yang berakar umbi dalam sistem
politik Melayu, adalah luar biasa.
Jelas bahawa kaum Cina tidak dianaktirikan dan bukan warga kelas dua -
walaupun dalam pelaksanaan kedudukan istimewa dan DEB, adakalanya bukan
Melayu dan bukan bumiputra yang layak gagal mendapat tempat di
universiti atau biasiswa atau pun kontrak dan lesen perniagaan.
Tetapi kes-kes khusus - ketidakadilan sedemikian rupa - tidak boleh
dijadikan asas untuk membuat kesimpulan palsu bahawa kaum Cina pada
keseluruhannya dianiaya!
Kesimpulan palsu inilah yang mengghairahkan hampir keseluruhan kaum
Cina untuk mengakhiri apa yang disifatkan mereka sebagai dominasi
Melayu/UMNO dan mencapai "kesamaan" dalam PRU 13.
Ini yang dimaksudkan dengan 'Ubah' - cogankata DAP dalam PRU-13. Oleh
kerana DAP dan kaum Cina gagal ubah kerajaan, mereka harus merenungkan
secara dalam tentang kedudukan mereka, sejarah dan konteks masyarakat
berbilang kaum di negara kita, dan masa depan hubungan kaum di Malaysia.
Secara ikhlas, cuba memahami realiti ekonomi, budaya dan politik
masyarakat kita dan bertindak dengan seimbang berdasarkan realiti ini.
Ini adalah tanggungjawab besar pemimpin-pemimpin DAP, malah cendekiawan
Cina amnya.
Sekiranya renungan ini tidak berlaku dan majoriti kaum Cina terus
dipengaruhi oleh persepsi yang bertentangan dengan realiti, sudah tentu
masyarakat Melayu akan menjadi lebih renggang daripada kaum Cina.
Polarisasi kaum akan bertambah buruk. Polarisasi kaum yang diiringi
oleh ketegangan kaum mengundang pada ketidakstabilan politik yang akan
menjejaskan persekitaran ekonomi.
Sama seperti DAP, Pas juga harus membetulkan persepsi yang
disebarluas dalam kalangan golongan muda Islam bahawa pendekatannya
kepada Islam adalah Islam yang tulen serta mujarab kepada segala cabaran
dihadapi di negara kita.
Pendekatan Pas yang mempunyai ciri-ciri persamaan dengan beberapa
negara yang mengisytiharkan diri sebagai "Negara Islam" serta pergerakan
Islam di tempat-tempat lain, dipersoalkan oleh pemikir-pemikir Islam
kerana lebih mementingkan kulit daripada isi agama.
Itulah sebabnya negara-negara tersebut gagal memberi makna yang
konkrit kepada keadilan sosial dan kemuliaan insan (termasuk kemuliaan
wanita) yang menjadi cita-cita unggul al-Quran al-Karim.
Lagi pun, Pas perlu menyelami persoalan yang masih mencetuskan
perbahasan tentang peranan sebuah parti Islam dalam masyarakat berbilang
agama yang berfungsi dalam persekitaran politik abad 21.
Ini membawa kita kepada PKR. Parti ini juga dibawa oleh arus sentimen
yang dangkal yang berkisar pada ketaksuban terhadap seorang individu.
Sudah tentu ketaksuban sedemikian rupa bertentangan sama sekali dengan
suasana abad 21.
Ahli-ahli PKR harus membebaskan diri mereka daripada belenggu jumud
ini. Parti-parti pembangkang, seperti mana dengan BN, menghadapi banyak
cabaran dalam landskap politik pasca PRU 13.
Mereka harus ambil iktibar daripada cabaran-cabaran ini. Mereka yang
belajar dan buat perubahan yang berkesan secara ikhlas akan berjaya -
Insya-Allah.-
Penulis adalah Pengerusi, Lembaga Pemegang Amanah Yayasan 1Malaysia. Tulisan ini kali pertama disiarkan oleh Mingguan Malaysia.