-
Mohd Nizam Mahshar
BERAPA ramai antara kita yang pergi ke stesen minyak Petronas setiap
pagi untuk membeli nasi lemak, roti dan kuih-muih yang dibekalkan
syarikat kecil Melayu atau makcik-makcik di kampung untuk dijadikan
sarapan?
Semua itu dikhuatiri hilang tidak lama lagi apabila Petronas didakwa
mengamalkan dasar baharu, bercanggah dengan dasar penubuhan syarikat
minyak negara itu untuk membantu peniaga tempatan.
Daripada projek ratusan juta ringgit melibatkan telaga minyak di tengah
laut sehinggalah kepada kontrak bekalan roti di kedai Mesra Petronas,
semuanya didakwa mula diberikan kepada syarikat asing tanpa memberi
peluang adil kepada peniaga tempatan.
Ketua Pegawai Eksekutif Majlis Tindakan Ekonomi Melayu (MTEM) Mohd
Nizam Mahshar berkata, badan bukan kerajaan itu menerima banyak aduan
daripada syarikat dalam industri minyak dan gas negara mengenai sikap
Petronas yang didakwa mereka sebagai pilih kasih dalam memberikan
kontrak.
“Pembekal perkhidmatan minyak dan gas, pengusaha stesen minyak,
kontraktor atau syarikat logistik, semuanya mengadu mengenai Petronas,”
katanya dalam satu pertemuan dengan Sinar Harian, baru-baru ini.
Dasar Petronas mula berubah
Beliau mendakwa Petronas cuba mengetepikan syarikat Bumiputera dan
Melayu dalam pemberian kontraknya dan tersasar daripada peranan asalnya
untuk membantu membangunkan syarikat Bumiputera dalam industri minyak
dan gas.
Menurut Mohd Nizam, MTEM dan syarikat tempatan dalam sektor itu
berkongsi pendapat sama dengan Petronas bahawa pemberian kontrak harus
dilakukan berdasarkan keupayaan dan prestasi syarikat.
“Memang kita pun mahu syarikat yang layak sahaja diberikan kontrak
tetapi jangan guna alasan itu untuk hentikan semua projek kepada
syarikat Melayu,” katanya.
Mohd Nizam berkata, MTEM pernah mengadakan pertemuan dengan pengurusan
tertinggi Petronas berhubung isu ini pada Februari lalu namun hasilnya
tidak memuaskan.
“Mula-mula nampak hasil pertemuan seolah-olah baik, (pengurusan
tertinggi Petronas) janjikan pelbagai perkara, termasuk kerjasama antara
MTEM dan Petronas.
“Tetapi dua minggu selepas pertemuan itu, Petronas hantar surat jawapan
memaklumkan syarikat itu tidak bersedia memberi komitmen kepada perkara
dibincangkan dengan MTEM dalam pertemuan itu, terutama berhubung agenda
Bumiputera dan Melayu,” dakwanya.
Petronas lebihkan mat salih
Mohd Nizam berkata, tiga isu utama dibangkitkan syarikat tempatan dalam
sektor minyak dan gas adalah sikap Petronas yang didakwa berat sebelah
kepada syarikat asing, cubaan Petronas mengetepikan syarikat tempatan
dan tidak ada arah tuju jelas bagi Petronas berhubung agenda membina
keupayaan negara.
Beliau mendakwa, berdasarkan aduan diterima, kontrak Petronas didakwa
mula menetapkan pelbagai syarat yang dianggapnya tidak masuk akal serta
tidak memberi sebarang kelebihan kepada syarikat tempatan.
Menurutnya, masalah ini bermula selepas Petronas diambil alih pengurusan baru sejak 2010.
“Pengurusan sebelum ini faham dan cuba bantu pembangunan kapasiti
syarikat tempatan tetapi pengurusan sekarang ini gunakan alasan
keupayaan untuk mengetepikan mereka dan lebihkan syarikat asing,” dakwa
beliau.
Nasi lemak pun dibekalkan syarikat asing
Selain itu, Petronas juga didakwa memberikan monopoli kepada sesetengah
syarikat luar, termasuk bagi pengangkutan minyak dan pembekalan produk
makanan di stesen Petronas.
“Nasi lemak, kerepek dan roti di stesen Petronas tak boleh lagi
dibekalkan oleh makcik-makcik di kampung, semuanya diberikan kepada satu
sahaja syarikat, yang berasal dari luar negara,” dakwanya.
Menurutnya, Petronas didakwa menggunakan alasan inginkan syarikat berdaftar untuk membekalkan makanan di stesen Mesra.
“Apa yang mereka buat sebenarnya adalah menolak keluar peniaga Melayu
sedikit demi sedikit daripada rangkaian perniagaan Petronas, dari
pelantar minyak ke kedai Mesra.
“Kami bukan menentang Petronas, kami sayangkan Petronas sebagai khazanah negara. Kami ingin selamatkan Petronas,” katanya.
Usaha berterusan Sinar Harian untuk mendapatkan maklum balas Petronas
berhubung semua dakwaan ini tidak berjaya sehingga artikel ini
disiarkan.
sumber : sinarharian